Kad Merah 3 Tahun Lepas Menyebabkan Rusuhan Dalam Perlawanan Copa Libertadores

Gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan pihak penganjur Copa Libertadores yang mengenakan penalti 3-0 sebelum bermula perlawanan bermula, penyokong Santos bertindak ganas ketika perlawanan sedang berlangsung dan menyebabkan perlawanan tidak dapat ditamatkan.

Dalam aksi timbal balik pusingan 16 pasukan terbaik yang menemukan Santos dan Independiente, perlawanan tersebut terpaksa ditamatkan lebih awal kerana kekacauan yang dicetuskan oleh penyokong Santos yang tidak berpuas hati dengan denda yang dikenakan terhadap pasukan mereka sebelum perlawanan bermula.

Penyokong Santos bertindak liar kerana keputusan kontroversi CONMEBOL menyebabkan peluang Santos untuk ke pusingan seterusnya terkubur

12 jam sebelum sepak mula aksi timbal balik tersebut, penganjur Copa Libertadores, CONMEBOL mendapati Santos melanggar peraturan kerana salah seorang pemain mereka, Carlos Sanchez tidak menjalani hukuman penggantungan perlawanan dengan penuh.

Sanchez menerima kad merah ketika beraksi untuk River Plate 3 tahun lepas dan Santos bersalah kerana menurunkan Sanchez yang masih digantung perlawanan dalam perlawanan pertama di gelanggang Independiente minggu lalu. Perlawanan tersebut berakhir tanpa sebarang jaringan.

Disebabkan kesalahan tersebut, CONMEBOL mengambil keputusan untuk menganugerahkan kemenangan 3-0 kepada Independiente 12 jam sebelum sepak mula aksi timbal balik yang akan berlangsung di tempat Santos.

Pemain antarabangsa Uruguay, Carlos Sanchez pernah menerima kad merah 3 tahun lepas ketika bermain untuk River Plate. Benda lama pon nak ungkit lagi

Santos mendakwa mereka telah memeriksa sistem online CONMEBOL untuk memeriksa status Sanchez dan mendapati pemain tersebut tidak mempunyai sebarang penggantungan perlawanan.

Santos menghantar rayuan tetapi CONMEBOL tetap dengan keputusan mereka menghadiahkan kemenangan 3-0 kepada Independiente dalam perlawanan pertama.

Seramai 45,000 penyokong Santos membeli tiket dengan harapan untuk melihat pasukan mereka melangkah ke peringkat suku akhir tetapi tindakan CONMEBOL memberikan kemenangan 3-0 kepada pasukan lawan menyebabkan keadaan menjadi lebih panas.

Ketika perlawanan berbaki 8 minit dan kedudukan masih lagi 0-0, penyokong Santos mula membuat rusuhan dengan melempar mercun ke arah bangku simpanan Independiente. Ada antara mereka cuba memanjat pagar untuk masuk ke padang tetapi dihalang polis anti rusuhan yang sudah bersiap sedia dengan batang kayu untuk memukul penyokong yang memanjat.

Pemain Independiente meninggalkan padang dengan kemenangan aggregat 3-0 walaupun gagal menjaringkan sebarang gol.

Keadaan mula menjadi tidak terkawal apabila lebih ramai penyokong Santos cuba memanjat pagar dan menyebakan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan keadaan.

Perlawanan akhirnya terpaksa diberhentikan lebih awal oleh pengadil kerana keadaan semakin sukar untuk dikawal. Dengan keputusan semasa dalam perlawanan timbal balik masih lagi 0-0, Independiente layak secara ke pusingan suku akhir dengan aggregat 3-0 walaupun sebenarnya mereka tidak menjaringkan sebarang gol.

BACA:  Bekas Penyerang JDT Pastikan Bekas Kelab Neymar Dan Pele Tersingkir Ke Divisyen Dua Brazil