Kelantan FC Jadi Kelab Pertama Dalam Sejarah Tidak Dapat Berlatih Kerana Disekat Jabatan Pertanian

Kelantan FC menjadi kelab pertama di dalam sejarah sukan ini tidak dapat menjalani latihan kerana laluan ke padang latihan kelab itu disekat oleh Jabatan Pertanian.

Sebelum ini peminat bola sepak di negeri itu kehairanan mengapa tiada lagi hantaran di media sosial rasmi kelab yang sebelum ini tidak pernah putus berkongsi perjalanan latihan harian pasukan.

Persoalan itu akhirnya terjawab apabila beberapa akaun media sosial penyokong mendedahkan punca sebenar ketiadaan hantaran media sosial sedemikian.

“Dalam tempoh lima bulan 2x pihak Jabatan Pertanian blok laluan ke padang latihan.

“Patut lah lama takde gambar training player di padang pertanian dalam offcial page Kelantan FC,” kata seorang peminat di sebuah group Facebook bola sepak Kelantan.

Akaun Berita Bolasepak Kelantan pula menulis: “Kalau dah tahap kena tukar tempat latihan sebab jalan masuk ke padang latihan disekat pemilik padang ini dah kes luar biasa dah.

“Kalau tidak mampu lepaskanlah sebelum barah menjadi lebih parah.”

Bukan perkara yang perlu diselindungi lagi, Kelantan FC adalah salah sebuah kelab bola sepak di Liga Malaysia yang sedang berhadapan masalah kewangan meruncing.

Deretan pemain dilaporkan telah meninggalkan pasukan itu sejak beberapa bulan yang lalu setelah tidak mendapat bayaran gaji masing-masing.

Malah kelab itu kini turut berhadapan dengan tindakan perundangan daripada bekas pemain ekoran kemelut kewangan yang melanda.

Pada bulan lalu pemain sayap dari Indonesia, Natanael Siringoringo mengambil tindakan undang-undang terhadap Kelantan FC selepas dia tidak dibayar gaji oleh kelab yang dimiliki Norizam Tukiman atau Zamsaham itu.

Natanael bukan satu-satunya pemain yang mengambil tindakan undang-undang terhadap Kelantan.

Sebelum ini bekas pemain, Rozaimi Rahamat turut mengambil langkah sama terhadap Zamsaham dan bekas kelabnya itu.

Dakwa isteri Rozaimi yang hanya mahu dikenali sebagai Rose, suaminya bertindak demikian setelah beliau mendakwa difitnah oleh pemilik kelab, bahawa Rozaimi memboikot aksi menentang Sabah pada Ogos lalu.

Sedangkan penjaga gol itu sebenarnya dihalau dari menyertai pasukan ekoran menagih bayaran gaji penuh kepada pihak pengurusan.

BACA:  Penyokong 'Ditahan' di Tengah Padang, Cermin Bas Pecah Sulami Aksi Kelantan Menentang Perak