Kenali Undang-Undang dan Peraturan Asas Sukan Lumba Basikal Keirin

Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom telah memulakan cabaran mereka dalam sukan Olimpik dalam acara pecutan di Velodrome Izu pada hari Rabu, 4 Ogos 2021.

Pada hari Sabtu, 7 Ogos nanti, kedua-dua mereka akan membuka cabaran dan acara kegemaran mereka – keirin.

Dalam sukan Olimpik di Rio pada tahun 2016, Datuk Azizulhasni berjaya membawa pulang pingat gangsa, namun pada kali ini, sasaran yang diletakkan adalah lebih tinggi – pingat emas pertama negara.

Kalau acara pecutan tu, mudah sahaja kita nak faham, kan?

Penunggang yang catat masa terbaik dan paling pantas dikira juara. Tapi kalau keirin ni agak berbeza sedikit di mana acara ini ada syarat tambahan.

Jadi, atas rasa tanggungjawab sosial, kami kongsikan peraturan asas acara keirin ini.

Pengenalan

Keirin berasal dari Jepun, dan ia bermaksud ‘perlumbaan beroda’, dan mula dimainkan pada tahun 1948.  Asalnya, sukan ini hanyalah satu acara untuk perjudian, sama seperti lumba kuda tetapi lama kelamaan sukan ini dilihat berpotensi untuk pergi lebih jauh, tambahan pula dengan golongan barat mula mempromosi acara ini di negara masing-masing, maka akhirnya diiktiraf sebagai acara rasmi Union Cycliste Internationale (UCI) – Kesatuan Basikal Antarabangsa.

Pada tahun 1996, acara Keirin ini dimasukkan ke dalam mesyuarat jawatankuasa olimpik, untuk diundi sama ada perlu dijadikan sebagai satu acara olimpik atau tidak, dan pada Olimpik Sydney 2000, keirin menjadi acara rasmi dan dimenangi pengayuh dari Perancis, Florian Rousseau.

Sir Chris Hoy, pengayuh dari Britain, boleh dikatakan antara pengayuh yang paling hebat dalam sejarah perbasikalan di atas trek, di mana dia  telah memenangi dua pingat emas dalam acara keirin – pada 2008 di Beijing dan pada 2012 di London.

Sir Chris Hoy | Gambar : Chrishoy.com

Sir Chris Hoy | Gambar : Chrishoy.com Dalam edisi Olimpik di Rio pula, acara Keirin dimenangi oleh Jason Kenny, juga dari Great Britain, dengan Matthijs Buchli dari Belanda memenangi Perak.

Syarat sah keirin

Antara syarat sah acara keirin menurut jumhur pengayuh adalah pertama sekali perlulah mempunyai sebuah basikal, topi keledar keselamatan yang diiktiraf dan juga cermin mata serta kasut.

Basikal yang digunakan pula mestilah basikal yang boleh dibeli oleh orang awam dan terdapat di dalam pasaran. Tujuan UCI meletakkan peraturan ini adalah untuk mengelakkan mana-mana pasukan menggunakan basikal yang terlalu canggih umpama kereta yang boleh pergi ke angkasa lepas dalam cerita Fast Furious 9.

Perlumbaan keirin dimainkan dalam jarak 2km, atau 8 pusingan trek velodrome 250m, atau 6 pusingan trek velodrome 333m. Dari pusingan pertama, pelumba akan mengikut seorang manusia yang menaiki motosikal atau basikal eletkrik yang dipanggil pacer atau The Derny. Kelajuan pelumba perlahan-lahan dinaikkan dari 25km/j ke 50km/j.

The Derny / Pacer | Gambar :
The Derny / Pacer | Gambar : rollapaluza.com

Ketika di belakang The Derny, pelumba tidak dibenarkan memotong The Derny dan tatkala kelajuan mencecah 50km/j, dan jarak garisan penamat sekitar 600m, The Derny akan bergerak ke tepi dan memberikan laluan kepada pelumba untuk memecut sepenuh hati sehingga ke garisan penamat.

Derny tak semestinya seseorang lelaki yang berbadan gempal atau tua, sebaliknya sesiapa sahaja boleh menjadi Derny dengan syarat dia faham apa tugasnya.

Carta pertandingan

Pusingan pertama

Senarai pelumba yang layak ke olimpik akan ditapis sehingga 24 orang dan mereka akan dibahagikan kepada empat saringan pusingan pertama, dan setiap saringan mengandungi enam pelumba. Pemenang tempat pertama dan kedua akan layak secara automatik ke pusingan kedua, yang akan dijalankan sebanyak dua saringan manakala yang lain akan bersaing di pusingan repechage.

Repechage

Repechage ialah pusingan khas untuk menentukan kelayakan pelumba ke pusingan kedua. Repechage akan dijalankan dalam empat saringan, dengan penyertaan lima pelumba setiap saringan.

Dari empat saringan, hanya pemenang di tempat pertama akan layak ke pusingan kedua.

Pusingan kedua

Pusingan kedua dibahagikan kepada dua saringan, dengan enam pelumba setiap saringan. Pelumba yang berjaya mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga dari setiap saringan  akan layak ke pusingan akhir, manakala pelumba di tempat keempat, kelima dan keenam akan berlumba di pusingan penentuan tempat ke-7 sehingga 12.

Pusingan akhir

Pemenang pingat keirin Olimpik Rio | Gambar : FB Astro Arena
Pemenang pingat keirin Olimpik Rio | Gambar : FB Astro Arena

Pusingan akhir terdiri daripada enam pelumba dan pelumba yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing dianugerahkan pingat emas, perak dan gangsa.

Rujukan :

  1. RIO 2016
  2. Wikipedia
  3. Radio Times
BACA:  Azizulhasni Awang: Seorang Role Model, Suami Dan Ayah Penyayang, Berjuang Dengan Tragedi, Influencer Dan Atlet Bertaraf Dunia.