Kenyataan Penuh Inspirasi Daripada Ronaldo Selepas Bantu United Benam Arsenal

Penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo memuat naik status penuh inspirasi untuk menaikkan semangat rakan sepasukannya selepas kejayaan mereka menewaskan Arsenal 3-2 awal pagi tadi.

Setan merah memulakan era baru mereka dengan sangat cemerlang dengan mereka mencatatkan kemenangan pertama dalam saingan Premier League, tanpa Ole Gunnar Solskjaer di tepi padang.

Selepas tamat perlawanan, Cristiano Ronaldo telah memuat naik status di laman media sosial miliknya, dengan beliau meminta rakan sepasukannya untuk terus beri tumpuan kepada aksi perlawanan seterusnya untuk mereka.

Beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kesemua rakan sepasukan dan penyokong atas kemenangan yang mereka catatkan hari ini.

“Fikiran kita sepatutnya sudah ditetapkan untuk perlawanan seterusnya, tidak ada masa untuk keraian! Kemenangan hari ini sangat penting untuk bawa kita kembali ke landasan sebenar, tapi masih ada perjalanan panjang yang perlu kita lalui untuk sampai ke destinasi yang kita tetapkan.”

“Tahniah untuk semua rakan sepasukan saya, semangat yang menakjubkan malam ini! Dan ucapan terima kasih yang sangat istimewa untuk para penyokong kita, kami mungkin tak boleh lakukan ini tanpa kamu semua.”

Cristiano Ronaldo pemain terbaik ketika aksi kemenangan Manchester United menewaskan Arsenal

Cristiano Ronaldo merupakan nadi penting yang membantu Manchester United untuk merekodkan kemenangan 3-2 menewaskan Arsenal di Old Trafford.

Setan merah berjaya mencatatkan kemenangan dalam aksi terakhir Michael Carrick sebagai pengurus sementara kelab.

Bekas pembantu Ole Gunnar Solskjaer itu secara rasminya telah mengundurkan diri dari kelab, dengan Ralf Rangnick bakal mula mengambil alih kelab selepas ini.

Arsenal terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 permainan menerusi Emile Smith Rowe sebelum Bruno Fernandes menyamakan kedudukan sebelum tamat aksi babak pertama permainan.

aksi babak kedua jelas menjadi milik Cristiano Ronaldo, dengan pemain berusia 36 tahun itu cemerlang meledak gol pendahuluan untuk bantu Man Utd mendominasi perlawanan.

Arsenal walau bagaimanapun kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Martin Odegaard untuk mengikat United 2-2.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or, Ronaldo kemudiannya menjaringkan gol kedua beliau menerusi sepakan penalti, seterusnya membantu United catat kemenangan 3-2 menewaskan Gunners.

Kemenangan ini merupakan kemenangan pertama United dalam saingan Premier League di Old Trafford, sejak kali terakhir mereka menewaskan Newcastle United pada September lalu.

Setan merah berjaya mengutip tiga mata penuh, seterusnya membantu mereka untuk mendaki ke kedudukan ketujuh dalam carta saingan Premier League pada ketika ini.

Sementara untuk Arsenal pula, kekalahan ini menyebabkan mereka gagal untuk masuk ke kelompok empat teratas dalam carta saingan liga.

Cristiano Ronaldo tidak dinafikan berjaya menemui semula rentak jaringan beliau ketika beraksi bertemu Arsenal hari ini.

Hal ini kerana bintang berusia 36 tahun itu agak sendu sejak kebelakangan ini, dengan kali terakhir beliau menjaringkan gol dalam saingan liga adalah ketika aksi kemenangan 3-0 United menewaskan Spurs sebelum ini.

Lebih manis lagi untuk Cristiano Ronaldo, dua gol yang beliau jaringkan dalam perlawanan ini turut membantu beliau untuk menambah baik rekod jaringan sepanjang kariernya.

Beliau kini menjadi satu-satunya pemain dalam sejarah dunia bola sepak, yang mampu untuk menjaringkan 801 gol di peringkat kelab dan negara, sepanjang kariernya.

Beliau kini sudah berjaya menjaringkan enam gol dari 11 penampilan dalam saingan Premier League, dengan bekas bintang Juventus dan Real Madrid itu pada musim ini merupakan penjaring terbanyak kelab.

Walau dalam saingan liga beliau jauh ketinggalan di belakang pemain seperti Mo Salah, Jamie Vardy, Sadio Mane dan Diogo Jota, namun Ronaldo berjaya mencipta rekod yang lebih baik dalam saingan Champions League.

Beliau berjaya menjaringkan enam gol dalam saingan Champions League pada musim ini, dan turut cemerlang membawa United untuk layak ke pusingan kalah mati.

Ronaldo bersama rakan sepasukannya selepas ini akan turun beraksi bertemu Crystal Palace di Old Trafford, dengan Ralf Rangnick akan mengendalikan perlawanan tersebut buat pertama kalinya sebagai pengurus interim kelab.

Sementara Arsenal pula, mereka selepas ini akan berkunjung ke Goodison Park untuk beraksi bertemu Everton.

BACA:  Peminat Teruja Melihat Cristiano Ronaldo Kembali Ceria Selepas Tamat Aksi Kemenangan Bertemu West Ham