Kerana Seri 1-1 Bertemu Everton, Bintang Chelsea Ini Teruk Dimaki Peminat

Penyokong Chelsea telah menyerang dan memaki hamun Saul Niguez tanpa belas selepas tamat aksi terikat 1-1 bertemu Everton awal pagi tadi.

Saul Niguez dihentam kerana peminat merasakan beliau mempamerkan aksi persembahan yang sangat hambar dan mendukacitakan sepanjang perlawanan.

Chelsea mensia-siakan kesempatan untuk mengutip tiga mata penuh bertemu skuad Everton yang sedang tidak berada di tahap prestasi terbaik mereka di Stamford Bridge.

Mason Mount terlebih dahulu meletakkan The Blues di hadapan sebelum Jarrad Branthwaite memadam gol pendahuluan itu hasil kesilapan dari Saul Niguez.

Anthony Gordon menghantar bola cantik ke dalam kotak penalti, dengan pemain midfield Sepanyol itu gagal menanduk keluar bola tersebut.

Kegagalan Saul Niguez mengeluarkan bola dari kawasan bahaya memberi ruang kepada Branthwaite untuk memastikan bola berakhir dalam jaring gawang gol lawan.

Melihat kepada insiden tersebut, para penyokong Chelsea tidak menunggu lama untuk terus membantai Saul Niguez seperti singa lapar membaham mangsanya.

Hanya kerana satu kesilapan kecil itu Saul Niguez teruk dimaki dan dihentam oleh peminat, dan mungkin juga ia bakal jadi detik hitam untuk beliau sepanjang tempoh berada di Stamford Bridge sebagai pemain pinjaman.

“Secara jujurnya saya rasa Saul Niguez merupakan pemain paling teruk dari kesemua pemain yang ada dalam saingan Premier League.”

“Kita tandatangani Saul menerusi perjanjian pinjaman dan kita dapatkan dia untuk bantu kita menang liga, tapi apa dia buat? Dia menyebabkan kita bakal terlepas gelaran liga.”

“Saya rasa sangat kelakar melihat dia mengeluh tak dapat minit permainan sebelum ini, dan sekarang bila diberi kesempatan untuk bermain, ini yang dia sajikan.”

“Membazir untuk kita simpan pemain macam ini, patutlah Atletico Madrid sendiri main-mainkan masa depan dia, dia langsung tak boleh diharapkan.”

“Harap kita akan pulangkan balik dia kepada Atletico Madrid pada Januari ini, saya tak rasa ada kepentingan untuk kita terus simpan pemain macam ini.”

Agak mengejutkan untuk melihat penyokong Chelsea terlalu beremosi hanya kerana satu kesilapan dari Saul Niguez, tetapi pada masa sama mereka tak pertikai jentera serangan kerap sia-siakan peluang untuk menjaringkan gol.

Keputusan seri ini menyebabkan Chelsea semakin tercicir dari perebutan untuk merebut kejuaraan liga musim ini, dengan Manchester City dan Liverpool semakin jauh di hadapan.

Chelsea kini berada di kedudukan ketiga dalam carta saingan Premier League dengan mengumpul 37 mata, tiga mata dibelakang Liverpool yang berada di kedudukan kedua.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu memulakan kempen saingan musim ini dengan sangat baik, dan mereka turut dianggap sebagai pencabar utama untuk menjuarai saingan Premier League musim ini.

Namun begitu, selepas beberapa kali keciciran mata, peluang untuk mereka muncul Juara semakin tipis dan sepertinya mereka tak boleh melakukan kesilapan lagi selepas ini.

The Blues perlu memastikan mereka menang semua perlawanan akan datang, termasuk menewaskan City dan Liverpool untuk menjamin tempat sebagai juara saingan musim ini.

Seandainya mereka keciciran mata lagi, maka sukarlah untuk The Blues muncul sebagai Juara, dan mereka juga berisiko untuk hilang tempat dalam kedudukan empat teratas dalam carta liga.

West Ham, Arsenal, Manchester United dan Tottenham Hotspur sepertinya sedang dalam usaha mereka untuk berada di kedudukan empat teratas, dan Chelsea perlu mengelak dari hal itu berlaku.

Setakat ini, Chelsea masih selesa di kedudukan ketiga, namun keciciran mata dalam perlawanan yang sepatutnya mereka dapat tiga mata seperti ini, bakal sangat merugikan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Thomas Tuchel Akui Saul Niguez Pamer Aksi Hambar Ketika Debutnya