Kesilapan Dungu Alisson Becker

Penjaga gol terhebat di alam semesta, Alisson Becker telah melakukan kesilapan dungu yang sangat kelakar antara detik menghiburkan dalam saingan Piala FA ketika Liverpool menentang Wolverhampton Wanderers.

Untuk rekod tiga hari berturut-turut penjaga berprofil tinggi melakukan kesilapan bodoh, Kepa Arrizabalaga ketika Chelsea bertemu Manchester City di saingan Premier League dan David De Ge, Manchester United vs Everton juga di Piala FA.

Selepas 24 jam kesilapan David De Gea dan 48 jam kecuaian Kepa Arrizabalaga terhasil kini sudah tiba giliran penjaga gol Liverpool, Allison Becker. Rasanya dalam ketiga-tiga aksi kelakar ini, Alisson Becker boleh diangkat sebagai juara terpaling dungu.

Bunga-bunga kesilapan mula hadir apabila Alisson Becker cuba mencari Thiago Alcantara dengan satu hantaran namun bola tidak sampai dan bola sampai kembali kepada penjaga gol Brazil itu.

Penjaga gol Liverpool itu terus cuba untuk memainkan bola dan cuba membuat hantaran pantas, malangnya bola itu tepat ke kaki Goncalo Guedes dan apa terjadi seterusnya hanya aksi kelakar.

Goncalo Guedes tidak mensia-siakan hadiah seperti itu apabila dengan tenang menolak bola ke gawang terbuka untuk gol pembukaan Wolves.

Ketika peminat Liverpool bersuka ria menyaksikan kesilapan yang telah dilakukan oleh Kepa Arrizabalaga serta David De Gea dengan menyatakan penjaga gol itu bodoh dan dungu, nada mereka berubah apabila terkena batang hidung sendiri.

Mereka mula berhujah dengan membuat analisis dan karangan bagi merelevankan kedunguan Alisson Becker itu dan menyatakan itu adalah sebahagian dari bola sepak.

Selain itu gaya permainan Alisson Becker yang terkenal sebagai ball playing goalkeeper antara alasan mereka, gaya permainan seperti ini akan mengundang aksi bodoh seperti ini.

Mereka menyatakan gaya permainan ball playing goalkeeper berisiko tinggi demi membela pemain kesayangan mereka, hakikatnya sebarang kesilapan dalam bola sepak adalah berisiko terhukum oleh lawan tidak kira macam mana pun kau main.

Gol pembukaan pada minit ke-26 oleh Goncalo Guedes itu kemudiannya telah dipadamkan oleh Andy Carrol 2.0 atau Darwin Nunez yang akhirnya berjaya menjaringkan gol selepas menyempurnakan hantaran cantik Trent Alexander Arnold.

Tujuh minit bersambung separuh masa kedua, Mohamed Salah meletakkan Liverpool di hadapan untuk satu kebangkitan sensasi selepas ketinggalan dengan penyudah tenang dari kesilapan pertahanan Wolves.

Hwang Hee-chan kemudiannya menyamakan kembali kedudukan dari satu gerakan cantik disudahkan dengan tolakan jarak dekat.

Dua kali Liverpool telah diselamatkan oleh Video Assistant Referee (VAR) dalam perlawanan ini yang boleh menyingkirkan mereka dari saingan Piala FA.

Gol Mohamed Salah ketika Cody Gakpo membuat hantaran, Salah sudah berada dalam keadaan offside yang jelas namun bola cuba diselamatkan oleh Toti Gomes dan sampai kepada Salah.

Sentuhan dari Toti Gomes itu telah membatalkan offside Salah namun Toti Gomes cuba menyelamatkan bola itu kerana posisi Salah ketika itu yang mengundang bahaya.

Namun keputusan VAR menyatakan Salah tidak offside kerana sentuhan terakhir dari Toti Gomes itu bukan kerana Liverpool menggunakan sebarang voucher.

Toti Gomes menebus kesilapannya yang menjadi punca gol pendahuluan Liverpool terhasil dengan jaringan ketiga Wolves yang berpunca dari sepakan sudut.

Selepas beberapa minit VAR bersidang, mereka memutuskan gol itu tidak sah kerana salah seorang pemain Wolves yang tidak diketahui siapa berada dalam kedudukan offside.

Peminat yang menyaksikan ulang tayang berkali-kali di tv juga bingung apatah lagi yang berada di stadium cuba mencari siapa yang offside seperti gol Harimau Malaya dibatalkan kerana ada sikuan namun tidak tahu siku siapa.

Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2 dan akan dilansungkan sekali lagi untuk mencari pemenang. Cody Gakpo membuat debut dan mempamerkan aksi yang agak memberangsangkan.

BACA:  Aksi Heroik Alisson Becker Sekali Lagi Selamatkan Maruah Liverpool