Kuala Lumpur City Cipta Kisah Dongeng Final Piala Malaysia ‘David vs Goliath’

Kuala Lumpur City FC telah mencipta kisah dongeng mereka yang tersendiri di Final Piala Malaysia edisi yang ke-100 tahun umpama kisah terkenal ‘David vs Goliath’.

David vs Goliath sering digunakan dalam bola sepak Inggeris untuk memberi gambaran perlawanan antara pasukan kerdil yang digelar underdog (bawah anjing) menentang pasukan gergasi yang nyata menjadi pilihan sebagai pemenang.

Dalam perlawanan final Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC merupakan pasukan underdog manakala Johor Darul Takzim pula sebagai pasukan gergasi yang hampir mustahil untuk ditumbangkan.

Di atas kertas, di atas layar telefon pintar secara logiknya ramai menjangkakan bahawa perlawanan ini akan menjadi milik JDT dan semuanya mudah buat JDT dengan barisan pemain bintang berkualiti tinggi.

Kali terakhir Kuala Lumpur menjejakkan kaki ke final dan kali terakhir bergelar juara adalah pada 32 tahun yang lalu berbanding JDT yang bergelar juara bertahan yang dimenangi pada 2019.

Sejak 2013, JDT telah memenangi 18 piala utama dan pemenang liga super buat kali ketujuh berturut-turut ketika Kuala Lumpur dalam tempoh yang sama ada naik turunnya dan bergelut untuk kekal di liga.

Namun dalam perlawanan akhir segalanya mungkin dan itulah yang telah dilakarkan oleh Kuala Lumpur City dalam perlawanan ini, juara bertahan dibenam dengan dua gol tanpa balas.

Serangan bertali arus JDT pada separuh masa pertama terutamanya diserap dengan permainan bertahan penuh berisiko kerana umum mengetahui pasukan liga Malaysia tidak mampu bertahan dengan baik untuk tempoh yang lama.

Namun Kuala Lumpur City berjaya melakukannya dengan penuh berdisiplin untuk tempoh 45 minit pertama dan penjaga gol mereka Kevin Ray Mendoza cermerlang sebagai benteng terakhir.

Separuh masa kedua menyaksikan Kuala Lumpur City mengubah corak mereka dengan bermain lebih menyerang kerana mereka sedar hanya jaringan akan membawa kejayaan kepada mereka.

Bukan satu tapi dua gol berjaya dijaringkan dan mereka terus berdisiplin dan fokus untuk mempertahankan dua gol itu sehingga tamat perlawanan.

Malam yang menjadi milik Bojan Hodak dan anak buahnya, menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia selama 32 tahun dengan menewaskan pasukan terkuat dalam liga Malaysia.

Kuala Lumpur City 2-0 JDT

Final Piala Malaysia 2021 edisi 100 tahun boleh dikatakan agak istimewa kerana diadakan di pertengahan minggu pada hari Selasa melawan arus kebiasaannya dilangsungkan pada hari Sabtu.

Tahun ini merupakan ulang tahun ke-100 dan edisi ke-95 Piala Malaysia sejak Piala HMS Malaya pertama diadakan pada tahun 1921 (Pertandingan ini ditangguhkan selama 6 tahun dari 1942 hingga 1947).

Selangor merupakan juara terbanyak dalam pertandingan ini dengan rekod 33 kejuaraan (Termasuk berkongsi kejuaraan dengan Singapura pada tahun 1928 dan 1929).

Manakala Singapura pula berada di tempat kedua dengan 24 kejuaraan.

Semua sudah tahu bahawa Final Piala Malaysia 2021 menemukan juara bertahan 2019, JDT (2020 batal) dan pasukan underdog Kuala Lumpur City FC.

Ini merupakan pertemuan pertama Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Perlawanan Akhir Piala Malaysia selepas era penswastaan penuh.

Tahun ini merupakan kali ke -14 perlawanan akhir Piala Malaysia akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. KL City menamatkan kemarau 32 tahun untuk mara ke perlawanan akhir pada musim ini.

Ini merupakan kali kelima Kuala Lumpur mara ke perlawanan akhir, dengan rekod menang tiga kali berturut-turut ke atas Kedah (1987, 1988 & 1989) dan tewas 0-2 dengan Johor FA pada tahun 1985.

Manakala bagi JDT, ini merupakan kali keempat di pentas akhir. Dua kemenangan juga ke atas Kedah (2017 & 2019) dan tewas sekali dengan Pahang pada tahun 2014.

Kedua-dua calon juara ini tidak pernah ditewaskan sepanjang 10 perlawanan sebelum mara ke pusingan akhir ini.

Seperti biasa final Piala Malaysia pasti meriah walaupun kapasiti stadium hanya dihadkan kepada 20,000 orang penonton sahaja lantaran SOP yang sudah ditetapkan.

Penyanyi terkenal Dato’ Hattan menghiburkan 20,000 penyokong Kuala Lumpur City FC dan Johor Darul Ta’zim menjelang sepak mula perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

JDT bermula dengan sangat garang apabila berterusan melancarkan serangan demi serangan untuk tempoh 10 minit pertama perlawanan dan Bergson da Silva mendapat dua peluang percubaan.

Bergson da Silva mencipta satu peluang terbaik selepas mendada kemas bola sebelum melepaskan rembatan dari jarak jauh tapi tiang menjadi penyelamat gawang KL City.

KL City tenang menyerap segala asakan JDT hanya menunggu peluang terbaik untuk melakukan serangan balas pantas.

Pada minit ke-15 serangan balas mengancam berjaya dihadirkan KL City tetapi berjaya dipatahkan dengan pertahanan yang compact dengan lima pemain.

Walaupun JDT menguasai perlawanan dan KL City sesekali datang menyerang, permainan tetap berlangsung dengan rancak dan pengadil pula masih lagi berada di prestasi terbaik.

Kevin Ray Mendoza telah melakukan satu aksi menyelamatkan yang terbilang dengan menafikan tandukan Mauricio yang berpunca dari sepakan percuma Arif Aiman.

Kemudian Safawi Rasid pula datang menyundul dengan satu tandukan lemah, mudah buat Kevin Ray Mendoza.

Arif Aiman terlalu OP (Over powered) yang berada di kiri terus merobek bahagian kanan KL City dengan kerap datang memotong ke dalam.

KL City beraksi baik sehingga tamat separuh masa pertama, ketenangan jelas kelihatan dibarisan pertahanan menyerap asakan dan bahagian tengah tidak kalut serta gopoh apabila ada peluang menyerang.bo

Separuh masa kedua menyaksikan KL City menggunakan gear tinggi meningkatkan tempo permainan dan mengambil risiko untuk bermain secara lebih menyerang.

Ini perlawanan akhir nak tak nak KL City perlu mencari gol untuk bergelar juara. Main bertahan terlalu ke dalam pun tinggi juga risikonya.

Beberapa kekasaran terpaksa dilakukan pemain JDT untuk menyekat pergerakan pemain KL City dan bahagian pertahanan JDT mula diuji.

Gerakan satu dua dari Romel Morales yang menarik hampir membuahkan hasil namun tolakan kepada Romel Morales sedikit kuat. Sedikit je.

Akram Mahinan menjadi pemain pertama yang mengutip kad kuning dalam perlawanan ini pada minit ke-61 selepas menerjah Afiq Fazail dari belakang.

Pemain paling lama yang beraksi bersama Kuala Lumpur City dengan 142 perlawanan, Zhafri Yahya membuka tirai jaringan jaringan pada minit ke-65.

Hantaran J Partibhan pantas disambar dengan satu rembatan jarak dekat Zhafri Yahya untuk gol ketiga peribadi disaingan Piala Malaysia.

Jaringan Zhafri Yahya nyata memberi tekanan kepada JDT yang terus menyerang untuk mencari gol penyamaan.

J.Parthiban yang melakukan assist dikeluarkan pada minit ke-71 dan digantikan dengan Hadin Azman ketika JDT memperoleh sepakan percuma.

Ketua pasukan KL City Paulo Josue menggandakan kedudukan selepas menyempurnakan hantaran sempurna dari Ryan Lambert.

Kevin Ray Mendoza masih lagi cemerlang apabila menafikan percubaan Nazmi Faiz Mansor dan dua lagi sepakan penjuru dari JDT.

Berbaki lima minit lagi permainan, Kuala Lumpur masih lagi selesa mendahului dengan dua jaringan dan segala serangan JDT dapat dipatahkan.

Kevin Mendoza terus cemerlang menafikan segala percubaan JDT dan masih kebal.

Shukor Adan, pemain legenda mencuri tumpuan masuk di detik akhir perlawanan untuk perlawanan terakhir dan akan bersara sebagai pemain bola sepak profesional selepas ini.

Pengadil meniup wisel penamat dan Kuala Lumpur City mencipta kejutan di final Piala Malaysia 2021 menumbangkan pasukan gergasi JDT.

Sejarah dan kisah dongeng dicipta Kuala Lumpur City apabila menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia mereka selama 32 tahun.

Selepas 32 tahun mencuba mereka ke final dan muncul juara Piala Malaysia edisi ke-100 tahun. Semuanya dileraikan.

Diatas kertas tiada ruang dan peluang untuk KL City muncul juara namun Bojan Hodak dan anak buahnya membuktikan yang sebaliknya di padang.

Kredit gambar: MFL

Sejarah Piala Malaysia

Piala Malaysia merupakan kejohanan tahunan yang tertua dan paling berprestij lagi agung yang pernah dianjurkan di dalam sejarah bola sepak Malaysia, piala yang menjadi rebutan semua pasukan saban tahun.

Walaupun Piala Malaysia merupakan kejohanan tertua namun kejohanan ini merupakan satu kejohanan yang berada dikedudukan kedua di belakang Piala FA di mata FIFA kerana tidak menawarkan sebarang slot untuk kejohanan lain di Asia.

Hanya prestij peringkat domestik sahaja yang ada pada piala ini. Sebelum ini Piala Malaysia diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM) tetapi pada 2016 Malaysian Football League (MFL) telah mengambil alih peranan itu.

Pada 2016 juga menyaksikan format baru Piala Malaysia diperkenalkan di manan 11 pasukan terbaik Liga Super dan 5 pasukan terbaik Liga Perdana layak untuk bertanding di Piala Malaysia.

Jadi apa yang kau perlu tahu mengenai Piala Malaysia?

Piala Malaya (1921 – 1932)

Jika dibaca balik sejarah Piala Malysia ini boleh dikatakan langsung tiada kaitan dengan kisah pedagang arab yang membawa susu untuk mengembara dan oleh kerana terlalu lama perjalanan susu itu bertukar menjadi keju.

Pada mulanya Piala Malaysia dikenali sebagai Piala Malaya dan pertama kali di pertandingkan pada tahun 1921 dengan disertai oleh negeri-negeri Tanah Melayu ketika itu.

Perlawanan akhir pula melibatkan hanya melibatkan Juara Utara dan Juara Selatan selepas melepas kejohanan yang diadakan di bahagian masing-masing.

Perlawanan akhir Piala Malaya yang pertama melibatkan pasukan Selangor dan pasukan Singapura yang diadakan di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur (kini Dataran Merdeka) dan dimenangi oleh Singapura dengan jaringan 2-1.

Piala HMS Malaya (1933 – 1941)

Piala Malaya telah ditukar nama sebagai Piala HMS Malaya sempena nama sebuah kapal perang pada tahun 1933. Pegawai pemerintah kapal tersebut telah menyumbang sebuah piala untuk menjadi rebutan pasukan-pasukan yang bertanding.

Pada tahun 1942 sehingga 1947 pertandingan ini telah dihentikan apabila Jepun telah mendarat di Kota Bharu dan menggunakan basikal untuk menjajah, itulah Perang Dunia Kedua.

Selepas perang tamat, Piala HMS Malaya disambung semula pada tahun 1948.

Trofi HMS Malaya yang telah menghampiri usia 100 tahun itu kini berada dalam simpanan rapi di Muzium Negara sejak tahun 1968.

Piala Malaysia (1967 – Kini)

Piala sumbangan kapten kapal perang HMS Malaya, Ion Beauchamp Butler tidak lagi digunakan dan digantikan dengan piala baru iaitu Piala Malaysia dan peristiwa ini terjadi pada tahun 1967.

Ketika inilah pasukan dari Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei menjadi pasukan yang turut bertanding di Piala Malaysia.

Satu liga kejohanan diperkenalkan pada tahun 1982 untuk menentukan pasukan yang layak mara ke final dan diadakan selepas liga bola sepak Malaysia tamat.

Krisis antara FAS dan FAM menyaksikan Singapura menarik diri dari Liga Malaysia pada tahun 1995. Namun Singapura semapt bergelar juara buat kali terakhir pada 1994.

Pada tahun 2020 Piala Malaysia tidak dapat dijalankan seperti yang dijadualkan lalu dibatalkan ekoran wabak Covid-19 yang melanda dunia pada ketika itu yang menyaksikan banyak kejohanan sukan dibatalkan.

Pasukan, Kelab dan 16 Pasukan

Pasukan yang bertanding di Piala Malaysia pada tahun 1999 telah bertambah kepada 12 pasukan sebelum menjadi 16 pasukan seperti sekarang pada tahun Y2K atau 2000.

Johor FC dalam kenangan merupakan pasukan kelab yang pertama berjaya menyertai Piala Malaysia dan pasukan kelab pertama menjadi juara Piala Malaysia adalah MPPJ Selangor pada 2003 yang juga dalam kenangan.

Pasukan Selangor yang mendapat jolokan Raja Malaya merupakan pasukan pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Malaysia apabila muncul juara sebanyak 33 kali dan 15 kali naib juara.

Singapura merupakan pencabar utama Selangor tetapi sehingga tahun 1995 sahaja telah muncul juara sebanyak 24 kali dan naib juara 19 kali diikuti Perak ditempat ketiga dengan gelaran juara 8 kali.

Selangor 33 kejuaraan

Singapura merupakan juara pertama Piala Malaya, Piala HMS Malaya dan juara pertama di Stadium Shah Alam manakala Perak merupakan juara pertama Piala Malaysia serta juara Pertama di Stadium Merdeka dan Stadium Bukit Jalil.

Juara terakhir di Stadium Merdeka adalah Brunei. Jangan kau tanya JDT yang dah menang 2 kali kat mana dalam sejarah Piala Malaysia. Aku tumbuk muka kau.

JDT yang diwujudkan pada tahun 2013 menjadi kuasa baru bola sepak Malaysia dan bakal menempa sejarah yang tersendiri.

Penjaring terbanyak dalam perlawanan akhir sepanjang kejohanan ini berlangsung ialah Allahyarham Datuk Abdul Ghani Minhat dengan 4 gol pada tahun 1961.

Selain itu terdapat beberapa pemain yang berjaya menjaringkan hatrik pada perlawanan akhir iaitu S.Thanabalan (1961), Ervin Boban (1991), Abbas Saad (1994), Juan Manuel Aristegui (2003) dan Bambang Pamungkas (2005).

Senarai Juara Piala Malaysia

Selepas sudah memasuki edisi yang ke-100 inilah senarai perlawanan akhir berserta pemenang Piala Malaysia dari tahun 1967 sehingga kini.

1967 – Perak 2-1 Singapura

1968 – Selangor 8-1 Pulau Pinang

1969 – Selangor 1-0 Pulau Pinang

1970 – Perak 1-0 Kelantan

1971 – Selangor 3-1 Perak

1972 – Selangor 3-1 Perak

1973 – Selangor 2-1 Terengganu

1974 – Pulau Pinang 2-1 Perak

1975 – Selangor 1-0 Singapura

1976 – Selangor 3-0 Singapura

1977- Singapura 3-2 Pulau pinang

1978 – Selangor 4-2 Singapura

1979 – Selangor 2-0 Singapura

1980 – Singapura 2-1 Selangor

1981 – Selangor 4-0 Singapura

1982 – Selangor 1-0 Terengganu

1983 – Pahang 3-2 Selangor

1984 – Selangor 3-1 Pahang

1985 – Johor 2-0 KL

1986 – Selangor 6-1 Johor

1987 – KL 1-0 Kedah

1988 – KL 3-0 Kedah

1989 – KL 2-1 Kedah

1990 – Kedah 3-1 Singapura

1991 – Johor 3-1 Selangor

1992 – Pahang 1-0 Kedah

1993 – Kedah 2-0 Singapura

1994 – Singapura 4-0 Pahang

1995 – Selangor 1-0 Pahang

1996 – Selangor 0-0 (5-3 Penalti) Sabah

1997 – Selangor 1-0 Pahang

1998 – Perak 1-1 (5-3 Penalti) Terengganu

1999 – Brunei 2-1 Sarawak

2000 – Perak 2-0 Negeri Sembilan

2001 – Terengganu 2-1 Perak

2002 – Selangor 1-0 Sabah

2003 – MPPJ 3-0 Sabah

2004 – Perlis 1-0 Kedah

2005 – Selangor 3-0 Perlis

2006 – Perlis 2-1 N.sembilan

2007 – Kedah 3-0 Perak

2008 – Kedah 3-2 Selangor

2009 – N.Sembilan 3-1 Kelantan

2010 – Kelantan 2-1 N.sembilan

2011 – N.sembilan 2-1 Terengganu

2012 – Kelantan 3-2 ATM

2013 – Pahang 1-0 Kelantan

2014 – Pahang 2-2 (5-3 Penalti) JDT

2015 – Selangor 2-0 Kedah

2016 – Kedah 1-1 (6-5 Penalti) Selangor

2017 – JDT 2-0 Kedah

2018 – Perak 3-3 (4-1 Penalti) Terengganu FC

2019 – Kedah 0-3 JDT

2020 – Dibatalkan

2021 – Kuala Lumpur City FC 2-0 JDT

BACA:  Piala Malaysia 2021 Separuh Akhir Kedua : Melaka United 1-1 Kuala Lumpur (Agg. 2-2, Pen. 5-3)