Shahidan Kassim Sokay Walau Diabaikan Dan Umum KL Cuti Jumaat Ini

Menteri Wilayah Persekutuan, YB Dato’ Seri Shahidan bin Kassim telah mengumumkan bahawa tarikh 3 haribulan Disember 2021, Jumaat merupakan hari cuti kelepasan Am bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Cuti kelepasan am yang diumumkan oleh YB Dato’ Seri Shahidan bin Kassim selaku Menteri Wilayah Persekutuan bersempena dengan kejayaan Kuala Lumpur City FC menjuarai Piala Malaysia 2021.

Kuala Lumpur City FC sebagai pasukan underdog telah membenam pasukan gergasi serba lengkap dan penuh hebat, JDT dalam perlawanan akhir yang sungguh epik dan menarik.

Berita gembira buat penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan diumumkan oleh YB Dato’ Seri Shahidan bin Kassim melalui siaran langsung di laman muka buka rasmi beliau.

“Semalam pasukan Kuala Lumpur City FC telah menjuarai Final Piala Malaysia 2021 edisi 100 tahun di Stadium Nasional Bukit Jalil.”

“Pencapaian semalam adalah pencapaian terbaik KL City FC setelah 32 tahun penantian untuk menjuarai Piala Malaysia yang mana kali terakhir pada tahun 1989.”

“Justeru adalah dimaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju supaya hari Jumaat 3 Disember 2021 diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sempena kejuaraan pasukan KL City FC.”

“Perisytiharan hari kelepasan am tambahan ini dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) akta hari kelepasan am 1951 akta 369 bagi Wilayah Persekutuan.”

“Terima kasih kepada semua dan tahniah kepada KL City FC.”

Ditanya mengenai bonus yang bakal diterima pasukan KL City FC, YB Dato’ Seri Shahidan bin Kassim berkata perkara itu akan diumumkan:

“Akan diumumkan mengikut fasa-fasa. Akan dimaklumkan, bila sampai masa saya akan maklumkan.”

YB Dato’ Seri Shahidan bin Kassim telah menafikan bahawa bonus yang akan diumumkan ini bukan bertujuan mencari publisiti.

“Apa saya umumkan ini bukan mencari publisiti, tetapi sebagai hadiah kepada mereka yang telah menjuarai Piala Malaysia.”

Untuk rekod YB Dato’ Seri Shahidan bin Kassim merupakan bekas Menteri Besar Perlis dan pernah memegang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis yang muncul dua kali Piala Malaysia.

“Saya Menteri Besar Perlis suatu ketika dahulu telah memenangi dua kali Piala Malaysia dan saya memahami perasaan mereka yang berjuang habis-habisan untuk menang Piala Malaysia.”

Menteri Wilayah Persekutuan itu mencuri perhatian pada pagi ini apabila memuat status seperti berkecil hati diabaikan oleh pengacara di majlis penyampaian Piala kepada sang juara.

“SEMALAM SAYA HADIR PERLAWANAN BOLA SEPAK KLCity LAWAN JDT.KLcity champion.Tahniah.Pengacara tidak jemput saya turun kepadang.Pengacara juga tidak sebut nama saya…SOKAY”

Kecik besar kecik besar je luahan rasa YB Dato’ Seri Shahidan bin Kassim di laman muka bukunya yang mempunyai DNA penulisan Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Haji Musa.

Luahan itu nyata mencuri perhatian dan ada merasakan perkara itu sangat lucu serta tidak kurang juga yang mengecam kerana beranggapan beliau mahu mencari perhatian.

Ketika siaran langsung YB Dato’ Seri Shahidan bin Kassim berada di tempat duduk VIP bersama Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Seri Faizal Azumu (Menteri Belia dan Sukan), Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Haji Musa (Menteri Komunikasi dan Multimedia), Datuk Hamidin Mohd Amin (Presiden FAM), Datuk Ab Ghani Hassan (Presiden MFL) dan Khalid Samad (Presiden KLFA).

Namun hanya Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Haji Musa selaku penasihat KL City FC dan Khalid Samad, Presiden KLFA dijemput pengacara majlis. Kesian, Sokay.

BACA:  Final Piala Malaysia 2021: Kuala Lumpur City 2-0 JDT