Barcelona terus mempamerkan peningkatan menakjubkan di bawah Xavi, apabila mengakhiri lima kekalahan berturut-turut kepada musuh utama Real Madrid dalam pertemuan El Classico pada hari Ahad di Santiago Bernabeu selepas membelasah tuan rumah empat gol tanpa balas.
Salah seorang daripada watak penting kepada kebangkitan pasukan yang dibelenggu masalah pada awal musim ini adalah Pierre Emerick Aubameyang yang telah menjaringkan dua gol, dengan dua gol lagi dijaringkan oleh Ronald Araujo dan juga Ferran Torres.
Aubameyang is the first player to score in the Der Klassiker, North London Derby and El Classico. pic.twitter.com/pIRY8udDis
— Av (@aviv_lavi) March 20, 2022
Ousmane Dembele yang buat pertama kali berada di kemuncak prestasi sejak memakai jersi Blaugrana sejak awal tahun ini, telah menyumbang dua bantuan gol dalam aksi yang menyaksikan Barcelona membuli pasukan lawan yang bermain tanpa Karim Benzema dan Ferland Mendy.
Kemenangan ini – pertama kali sejak 2019 – telah melonjakkan Barcelona kembali ke tangga ketiga, hanya tiga mata di belakang Sevilla dengan satu perlawanan di dalam tangan. Meskipun dimalukan sedemikian rupa di tempat sendiri, kedudukan Real Madrid di puncak liga masih lagi tidak mampu dicabar mana-mana pasukan dengan jurang sembilan mata, selepas Sevilla hanya mampu seri ketika menentang Real Sociedad.
Pasukan kendalian Carlo Ancelotti dilihat sangat berterabur dan kelam kabut tatkala mereka terpaksa bermain tanpa penyerang asli dan kesempatan ini diambil Barcelona yang mula menguasai perlawanan sejak sepak mula dan berpeluang mendahului lawan pada awal perlawanan sebelum berjaya menemukan jaringan pada minit ke-29.
Dembele berjaya memperkotak-katikkan Nacho yang diturunkan bagi menggantikan Mendy, dan berjaya membuat satu hantaran cantik kepada Aubameyang yang melakukan larian di tengah-tengah antara dua pertahanan Real Madrid, Eder Militao dan David Alaba. Aubameyang kemudiannya berjaya melakukan tandukan sipi ke arah far-post sekaligus menewaskan Thibaout Courtois.
Ousmane Dembele has been reborn at Barcelona 🤩 pic.twitter.com/4OJzfDE6jq
— GOAL (@goal) March 20, 2022
Jaringan ini merupakan jaringan dalam lima perlawanan berturut-turut penyerang Gabon ini ke atas Real Madrid selepas dia berjaya melakukannya dalam empat perlawanan ketika menyarung jersi Borussia Dortmund.
Sembilan minit kemudian Dembele sekali lagi menjadi watak utama apabila melakukan hantaran lencong yang cantik daripada sepakan sudut. Bola tersebut singgah tepat di kepala Araujo dengan pertahanan Real Madrid dilihat terpinga-pinga dalam melakukan marking yang berkesan.
Dembele kini menerajui takhta pencatat assist tertinggi dalam lima liga utama di Eropah dengan tujuh kali, sejak bermulanya tahun 2022.
Madrid berpeluang untuk menyamakan kedudukan sebelum gol Araujo tersebut tetapi Vinicius Junior telah hilang kawalan imbangan badan [baca dive] di dalam kotak penalti meskipun hanya berdepan dengan Marc Andre ter Stegen. Junior kemudiannya cuba membodek pengadil untuk mendapatkan tendangan penalti namun permintaannya ditolak mentah-mentah.
EL CLASICO IS GETTING HEATED!
Vinicius Jr. was FURIOUS after no penalty was called after this Ter Stegen challenge 😳 pic.twitter.com/rSealUdjUv
— ESPN FC (@ESPNFC) March 20, 2022
Dua minit selepas sepak mula separuh masa kedua, perlawanan dikira sudah tamat dari segi saingan. Walaupun Ancelotti melakukan dua pertukaran, Barcelona tanpa rasa bersalah terus menerus menguasai perlawanan.
Ferran Torres menjadikan kedudukan 3-0 dengan satu gerakan penyudah yang sangat tenang selepas menerima bola hantaran daripada Aubameyang, sekali lagi hasil kebingungan para pertahanan Madrid.
Empat minit kemudian Aubameyang menjaringkan gol kedua peribadi dalam perlawanan ini dan gol ini telah mencetuskan sedikit kontroversi di mana para pertahanan Real Madrid dilihat telah berhenti berlari selepas melihat penjaga garisan mengangkat bendera tanda ofsaid ketika Torres melorongkan bola kepada bekas penyerang Arsenal tersebut.
Tanpa dicabar, Aubameyang melakukan satu chip ketika Courtois cuba melakukan terjahan persis penjaga gol Tok Janggut Warriors ketika menentang pasukan Projek MSN, lalu bola melambung cantik ke dalam gol.
Pengadil mengesahkan gol tersebut dan menerima bantahan daripada para pemain Madrid. Namun selepas disemak semula VAR, ternyata Aubameyang tidak berada dalam kedudukan ofsaid dan pemain Madrid dihukum sebegitu rupa kerana menghentikan permainan tanpa tiupan wisel daripada pengadil dan ini boleh dikatakan sebagai satu kesilapan bertaraf liga veteran di Lembah Klang.
Aubameyang hit the Dragon Ball Z celebration after his second goal 🐉 pic.twitter.com/UEdFni51Lm
— B/R Football (@brfootball) March 20, 2022
Kalau ikutkan, jumlah jaringan boleh menjadi lebih banyak daripada Barcelona tetapi pemain di bahagian serangan mereka dilihat terlalu bersahaja di hadapan gol dan terlepas banyak peluang untuk memerah limau nipis di luka Real Madrid.
Kemenangan ini menjadikan kem Barcelona semakin ceria dan para penyokong sudah semakin percaya bahawa next year is our year, selepas mereka tampil tidak terkalah dalam 13 perlawanan berturut-turut.
Rujukan ulasan sangat padu ini : ESPN