El Clasico : Iniesta Mahu Hadiahkan Kemenangan Kepada Cruyff

MADRID: Memenangi perlawanan Clasico berdepan Real Madrid pada hujung minggu ini akan menjadi cara terbaik untuk menghormati mendiang Johan Cruyff, kata pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta.

Lagenda bola sepak Belanda, yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada usia 68 tahun itu menjadi sebahagian besar dalam kemajuan bola sepak Barcelona menjulang trofi termasuk sebagai pemain dan jurulatih.

“Sangat bagus untuk mengalahkan Madrid dan mendedikasikan kemenangan kepada Cruyff,” kata Iniesta pada sidang akhbar di Barcelona.

“Banyak sumbangannya kepada kami, peminat dan dunia bola sepak.”

Barcelona akan melakukan satu penghormatan kepada Cruyff sebelum perlawanan di Nou Camp, yang mana 90,000 kad dipegang oleh peminat akan memaparkan perkataan ‘Terima kasih Johan’ dalam Bahasa Catalan.

Pemain kedua-dua pasukan akan memasuki padang disertai kanak-kanak memakai baju dengan mesej yang sama di bahagian depan dan dengan nama Cruyff Foundation dan Barcelona di belakang.

Sebelum sepak mula, mereka akan bertafakur selama seminit dan tayangan video Cruyff dalam ingatan akan dimainkan pada skrin besar stadium.

Kesemua lapan Presiden Barcelona dijangka menghadiri perlawanan Sabtu ini.

“Ia akan menjadi satu perlawanan yang istimewa dan berharap akan memberi motivasi tambahan kepada kami,” kata Iniesta. – AP

Baca :6 Cara Untuk Menjadi Attacking Midfielder Yang Bagus Seperti Andres Iniesta

BACA:  Bintang Barca Dikecam Kerana Minta Naik Gaji Walau Sumbangan Tak Seberapa