Liverpool Semakin Hampir Pasti Bakal ‘Sailang’ Nunez Dari Man Utd

Liverpool telah menghantar bidaan bernilai £68 juta dan ditambah bonus tambahan bernilai £17 juta untuk mendapatkan bintang Benfica, Darwin Nunez.

Wartawan dari media Portugal, Pedro Sepulveda mendakwa yang The Reds telah menghantar bidaan rasmi kepada Benfica untuk mendapatkan pemain kebangsaan Uruguay itu.

Seandainya Benfica menerima tawaran tersebut, maka ia akan memecahkan rekod perpindahan termahal kelab, Virgil Van Dijk yang ditandatangani dengan nilai £75 juta.

Wartawan tersebut mengesahkan hal tersebut selepas manusia paling jujur dalam dunia bola sepak, Fabrizio Romano memuat naik hal tersebut di laman twitter miliknya.

Nunez merupakan pemain paling hangat dalam pasaran pemain pada ketika ini, dengan beberapa pasukan gergasi Eropah dilaporkan sangat berminat mahu mendapatkan khidmatnya.

Liverpool, Manchester United dan Newcastle United merupakan antara pasukan yang paling berminat mahu mendapatkan khidmat Darwin Nunez pada musim panas ini.

Beliau berjaya menjaringkan 26 gol dari 28 perlawanan dalam saingan liga bola sepak Portugal dan beliau juga turut berjaya menjaringkan enam gol dalam saingan Champions League.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp dikatakan sangat berminat dengan Darwin Nunez dan beliau sudah tertarik dengan bintang Uruguay itu sejak dari pertemuan antara skuadnya bertemu Benfica di peringkat suku akhir saingan Champions League sebelum ini.

Pengurus dari Jerman itu bahkan turut menghamburkan pujian menggunung kepada bintang berusia 22 tahun itu atas aksi hebat yang beliau persembahkan ketika bertemu Liverpool.

“Seorang budak yang mempunyai para rupa yang sangat menarik. Sangat bagus, sangat-sangat menarik.”

Jelas Jurgen Klopp.

“Dia bermain dengan sangat baik di depan saya, dengan kekuatan dia bersaing dengan Ibou Konate.”

“Fizikal yang sangat kuat, pantas, tenang dengan penyudah dia. Jika dia kekal sihat, dia ada masa depan yang sangat besar.”

Nunez sebenarnya dijangka bakal menjadi calon pengganti terbaik untuk menggantikan Sadio Mane yang mahu meninggalkan kelab pada musim panas ini.

Sadio Mane dilaporkan sangat terdesak mahu meninggalkan kelab dengan beliau memilih untuk menjadikan Bayern Munich sebagai destinasi pilihannya.

The Reds sebelum ini telah menolak tawaran bernilai £30 juta dari Bayern Munich untuk mendapatkan Sadio Mane.

Liverpool dilaporkan telah meletakkan tanda harga bernilai £42.5 juta untuk melepaskan bintang Senegal itu dan Bayern Munich juga dikatakan bakal bersetuju untuk menerima tawaran tersebut.

Sebagai calon pengganti, Nunez sebenarnya akan menawarkan sesuatu yang berbeza untuk Liverpool berbanding Sadio Mane.

Beliau memiliki skill yang berbeza berbanding pemain kebangsaan Senegal itu, namun satu hal yang pasti, Nunez jelas sekali akan mampu memberikan banyak gol kepada The Reds.

Selain Liverpool, Manchester United juga sudah menghubungi Benfica untuk berunding mendapatkan khidmat Darwin Nunez pada musim panas ini.

Kedua-dua pasukan sangat terdesak mahu mendapatkan pemain penyerang itu dan sukar sebenarnya untuk meramal ke mana destinasi pilihan Darwin Nunez selepas ini.

Berbicara soal gaji, jelas sekali Manchester United akan lebih berpotensi untuk mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Uruguay itu.

Walau bagaimanapun, seandainya Darwin Nunez memikirkan tentang kariernya dan mahu beraksi di pentas saingan Champions League, maka beliau sudah tentu akan memilih untuk menyertai Liverpool.

Melihat kepada situasi hangat pada ketika ini, sepertinya Darwin Nunez bakal melengkapkan perpindahannya menyertai pasukan lain dalam masa terdekat ini.

Tidak pasti ke mana arah tuju beliau selepas ini, satu hal yang pasti, beliau sudah tentu akan meninggalkan Benfica pada jendela perpindahan musim panas ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Darwin Nunez Istikamah Menembak Langit Meskipun Dalam Latihan