Luis Suarez Cipta Cara Baru Untuk Lengahkan Masa Permainan

Luis Suarez sememangnya dikenali sebagai pemain yang luar biasa, sama ada dari segi aksi ataupun perangai. Sejak mula mencipta nama bersama Ajax, dan kemudiannya berpindah ke Liverpool sebelum menyeberang selat Inggeris pergi ke Sepanyol, Suarez tidak pernah jemu menjadi bahan utama berita sukan.

Siapa yang boleh lupa ketika Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, ketika minit-minit akhir dalam masa tambahan perlawanan suku akhir antara Uruguay dan Ghana, Suarez telah menahan bola dengan menggunakan tangannya sekaligus menafikan gol Ghana dan menyebabkannya dilayangkan kad merah.

Ghana dianugerahkan sepakan penalti, namun gagal disudahi oleh Asamoah Gyan dan membawa kepada penentuan sepakan penalti. Keputusannya? Uruguay menang dan berjaya layak ke perlawanan separuh akhir.

Itu melibatkan tangan, ada juga kontroversi yang melibatkan gigi.

Pada Piala Dunia 2014 di Brazil, ketika perlawanan antara Uruguay dan Itali, entah apa yang merasuk Suarez yang secara tiba-tiba menggigit bintang pertahanan Itali, Giorgio Chiellini ketika menunggu hantaran bola daripada rakan sepasukan.

Setahun sebelumnya, Suarez telah pun digantung 10 perlawanan di atas kesalahan menggigit pemain pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic dalam satu perlawanan liga antara kedua-dua pasukan.

Baru tiga contoh. Belum lagi cerita bab isu perkauman Suarez dengan bekas pemain Manchester United, Patrice Evra; menipu dalam peperiksaan bahasa Itali dan beberapa lagi peristiwa yang meletakkan Suarez sebagai bahan utama berita bola sepak.

Terbaharu, tindakan Suarez kali ini tidaklah seburuk apa yang berlaku di masa silamnya, sebaliknya boleh dikatakan satu tindakan yang genius juga.

Dalam perlawawanan Copa America antara Uruguay dan Chile, Suarez telah mencipta satu cara baru yang boleh diikuti oleh pemain bola sepak yang lain dalam bab melengahkan masa.

Dalam perlawanan tersebut, Chile terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke27 menerusi Eduardo Vargas.

Pada minit ke-66, Suarez muncul penyelamat negaranya apabila tindakannya menekan Arturo Vidal di dalam kota penalti menyebabkan pemain Chile itu tertampan bola ke gawang sendiri bola tandukan pemain Uruguay, Edinson Cavani.

Di hujung perlawanan, Suarez bertindak melengahkan masa dengan menghalang penjaga gol Chile, Claudio Bravo, daripada menendang bola tendangan gol.

Pemain berusia 34 tahun itu dilihat telah membuka kasutnya di dalam kotak penalti Chile dan mengambil masa yang lama untuk memakainya semula. Apabila Bravo dilihat sudah bersedia untuk mengambil sepakan, Suarez mengalih kedudukannya ke depan Bravo dengan niat menghalang sepakan dilakukan.

Mungkin bosan menunggu, Bravo mencuba sesuatu yang kelakar di mana dia dilihat cuba nutmeg Suarez.

Namun, selepas berkali-kali mencuba, Bravo masih tidak mampu untuk nutmeg bekas rakan sepasukannya di Barcelona itu.

Memandangkan Suarez bukan N’Golo Kante yang disayangi ramai, maka rakyat internet mula lah cakap-cakap belakang.

Seorang pengguna Twitter telah menciap,”Suarez ialah Michaelangelo dalam pembaziran masa. Dia tak tertanding — cuma peniru.”

Seorang lagi pula menambah, “Sebab tu aku sedih dia dah tak main dengan Bercelona dah. Pasukan tu kurang ada personaliti.”

“Dengan semua drama dan Atletico muncul juara liga, aku lupa betapa besarnya lahanat dia ni,” tambah pengguna seorang lagi.

Jika Suarez berjaya membantu Uruguay menjuarai Copa America, dia dikira melalui satu musim yang cukup cemerlang. Selepas dibuang tanpa belas oleh Barcelona, Suarez membuktikan betapa silapnya kelab Catalan tersebut melayannya sebegitu rupa.

Bersama Atletico, Suarez tidak hilang taringnya apabila muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan dan membawa piala kejuaraan La Liga pulang ke Atleti selepas kali terakhir mereka melakukannya hampir tujuh tahun lalu.

Berita : SB

BACA:  Gol Lipat Padu Colombia Gagal Benam Brazil Dengan Gol Kontroversi