Man Utd Wajib Muncul Naib Juara EPL Jika Mahu Layak Ke UCL 2024-25

Manchester United berpotensi menanggung jumlah kerugian yang besar sekiranya tidak dibenarkan beraksi di Champions League pada musim hadapan berkaitan pelaburan oleh Sir Jim Ratcliffe.

Ratclifee dijangka akan melengkapkan pegangan minoriti sebanyak 25% di Manchester United, melibatkan pembayaran bernilai £1.3 billion kepada pihak Glazer.

Perjanjian tersebut menamatkan saga pemilikan kelab tersebut yang telah berlanjutan selama setahun, selepas Ratcliffe memenangi persaingan dengan Sheikh Jassim untuk mengambil alih kelab tersebut.

Dan setelah segala proses dilengkapkan, Ratcliffe turut dijangka akan menerajui semua aktiviti dan operasi bola sepak membabitkan Manchester United.

Pemilik syarikat petrokimia INEOS itu sebenarnya sudah mempunyai pengalaman mengendalikan kelab bola sepak melalui kelab Ligue 1, Nice yang dimilikinya.

Kelab Perancis itu kini berada di kedudukan kedua Ligue 1 dan berada di landasan tepat melayakkan diri ke pertandingan Champions League pada musim hadapan.

Berdasarkan peraturan semasa dua pasukan teratas Ligue 1 akan layak ke saingan peringkat kumpulan, dan pasukan di kedudukan ketiga perlu terlebih dahulu melepasi pertandingan play-off.

Namun sekiranya Nice berjaya melayakkan diri, situasi tersebut pasti akan meletakkan Ratcliffe di dalam dilema kerana peraturan oleh UEFA.

Peraturan UEFA tidak membenarkan dua kelab yang memiliki pemilik yang sama beraksi di pertandingan yang sama.

Dan sekiranya Nice dan Manchester United berjaya melayakkan diri ke pertandingan tersebut pada musim hadapan, salah satu pasukan yang menamatkan saingan di kedudukan terbaik di pertandingan masing-masing akan diberikan slot ke Champions League

Sekiranya kedua-dua pasukan menamatkan saingan liga di posisi sama, maka United mempunyai kelebihan kerana berada di ranking lebih tinggi di dalam senarai UEFA.

Satu kenyataan kepada The Sun ketika ditanya baru-baru ini berkata: “Melainkan peraturan digubal semula, atau INEOS melepaskan pemilikan mereka di salah sebuah kelab, kedua-duanya tidak boleh beraksi di pertandingan sama dalam tempoh satu musim di peringkat Eropah – melainkan salah satu pasukan bersaing di Champions League, dan satu lagi di Conference League.”

Untuk rekod, United kini menduduki kedudukan ke-6 Premier League selepas permulaan hambar pada musim ini.

Sekiranya Nice konsisten seperti prestasi yang ditampilkan pada masa ini, secara logik Erik ten Hag harus memastikan United menduduki kedudukan kedua untuk memastikan United layak ke Champions League pada musim akan datang.

Gagal berbuat demikian, United hampir pasti dilarang beraksi di Eropah dan turut akan menanggung kerugian besar daripada segi kewangan.

UEFA sebelum ini turut mengesahkan wang hadiah pertandingan tersebut akan meningkat sehingga €35 juta semusim berikutan peningkatan keuntungan daripada hak penyiaran yang mencecah €1 billion semusim.

Pada musim 2021-22 Real Madrid merekodkan keuntungan €36 juta selepas menjuarai Champions League pada musim tersebut.

Giorgio Marchetti yang merupakan Setiausaha Agung UEFA bagaimanapun berkata mulai musim hadapan bayaran kepada kelab adalah berdasarkan sistem mata ranking kelab yang berpandukan prestasi pasukan di Eropah sejak 10 tahun lalu.

United pada ketika ini berada di kedudukan ke-7, di belakang Chelsea, Liverpool, PSG, Bayern Munich, Manchester City dan Real Madrid.

Berdasarkan fakta dan situasi semasa United bakal mengalami kerugian kewangan yang besar – tidak termasuk tajaan – kerana digantung daripada menyertai Champions League 2024-25.

BACA:  Premier League 2020/21: Manchester United 3-1 Burnley