Manchester United Dilaporkan Sedia Jual Kapten Marvel Harry Maguire

Entah ini satu khabar yang gembira atau sedih apabila Manchester United dilaporkan sudah bersedia untuk melepaskan Kapten Marvel, Harry Maguire dengan menjualnya kepada kelab yang berminat.

Musim ini kewibawaan Harry Maguire tidak dapat lagi diselamat dan tercalar teruk rentetan daripada aksi buruk dan tidak masuk akal dipadang sehingga memberi kesan kepada keputusan perlawanan.

Dari segenap sudut Harry Maguire diserang oleh peminat, pembenci, bekas pemain kelab, pengulas dan Harry Maguire terus menjadi bahan utama media utama bola sepak kerana contentnya begitu keren.

Harry Maguire dilabel dengan pelbagai gelaran seperti badut, peti sejuk dan ada pengulas dari Afrika Selatan telah memanggil Harry Maguire sebagai kepala besar ketika ulasan secara langsung.

Setiap kesilapan dari ketua pasukan Manchester United ini terus menjadi sensasi walaupun Setan Merah mencatatkan kemenangan. Apabila tewas atau seri sudah cukup membuatkan Maguire berkicap dihentam.

Dalam bola sepak ketua pasukan selalunya seorang yang berperwatakan tegas dan keras samada di dalam ataupun di luar padang namun sifat tersebut tiada pada Maguire yang nampak sopan santun orangnya.

Sangat jauh untuk Harry Maguire untuk dibandingkan dengan pemain legenda kelab yang juga bekas ketua pasukan seperti Bryan Robson, Eric Cantona, Roy Keane, Gary Neville, Nemanja Vidic, Wayne Rooney dan Michael Carrick.

Nak dibandingkan dengan Antonio Valencia serta Ashley Young mungkin ada yang merasakan tidak layak.

Imej buruk yang didatangkan khas dari Harry Maguire membuatkan Manchester United tidak mampu bertahan dan membuat keputusan untuk melepaskan pemain kebangsaan England itu.

Harry Maguire telah ditandatangan oleh Manchester United dengan rekod perpindahan dunia untuk seorang pertahanan pada ketika itu dengan tanda harga £80 juta sahaja, lebih kurang RM447.42 juta dengan tukaran wang hari ini.

Harry Maguire dilaporkan akan dijual oleh Manchester United pada jendela perpindahan musim panas ini, dengan laporan menyatakan Setan Merah telah mengikat perjanjian secara lisan dengan penggantinya.

Persoalan utama ketika ini kelab manakah yang berminat dengan Maguire? Jika dilepaskan dengan harga rendah pasti Maguire menjadi rebutan, namun sanggupkah Setan Merah terus melakukan pembaziran walaupun itu sifat utama mereka?

Pada usianya yang mencecah 29 tahun, Maguire telah muncul untuk United sebanyak 138 kali, menjadi ketua pasukan dalam kebanyakan daripada aksi tersebut.

Bagaimanapun, Maguire tidak pernah berjaya membuktikan atau menepati tag bayarannya dan keraguan terhadap kualitinya dalam jersi United terus menyelubungi peminat Manchester United.

Tambahan pula, Roy Keane adalah antara mereka yang mengkritik kualiti kepimpinan Maguire lebih daripada sekali.

Setelah mengekalkan hanya enam kali sahaja tanpa bolos dalam Liga Perdana musim ini, adalah mudah untuk memahami kritikan itu. Sebahagian daripada kejayaan United sejak 25 tahun lalu adalah berdasarkan keupayaan mereka untuk menutup lawan dengan adanya bek tengah berkelas dunia dan lasak.

Oleh itu, ia tidak mengejutkan untuk melihat laporan yang menunjukkan United sedang mencari untuk cara untuk menjual Maguire.

Jelas sekali United akan bergelut untuk meletakkan tanda harga yang hampir jumlah wang yang mereka belanjakan untuk Maguire beberapa tahu lalu. Itu berbalik kepada persoalan utama tadi.

Dari segi bayaran, Manchester United pastinya cuba sedaya upaya meletakkan nilai setinggi yang boleh. Satu lagi masalah pastinya terletak pada kerelaan Maguire sendiri.

Untuk Manchester United menjual pemain, proses memerlukan kesepakatan dan persetujuan Maguire. Dia mungkin tidak mahu menerima pengurangan gaji di tempat lain dan ini akan membawa kepada masalah.

Manuel Akanji merupakan pemain pertahanan berasal Switzerland telah bersama Borussia Dortmund sejak Januari 2018 selepas menandatangani kontrak dari Basel antara nama yang disebut sebagai pengganti Maguire.

Manuel Akanji telah menjadi pemain tetap di barisan pertahanan Brorussia Dortmund dan telah mencatatkan lebih daripada 150 penampilan.

Akanji masih berusia 26 tahun dan menjanjikan masa depan yang cerah. Bagaimanapun kontraknya tamat pada musim panas 2023 dan perbincangan mengenai lanjutan masih belum mencapai kata sepakat.

Menurut laporan di Sepanyol, Manchester United kini telah mencapai kata sepakat untuk membawa Akanji ke Old Trafford pada musim panas ini.

Laporan Bild baru-baru ini menyatakan United menawarkan Akanji perjanjian bernilai £260,000 seminggu. Perjanjian ini membuatkan pendapatannya meningkat 2 kali ganda berbanding £130,000 seminggu yang ditawarkan Dortmund kepadanya dalam kontrak baharu.

Akhbar Jerman sebelum ini juga mencadangkan Red Devils mungkin perlu membayar yuran dalam lingkungan £21 juta untuk pemain pertahanan itu. Satu harga yang sangat mampu milik bagi Setan Merah.

Jika perkara ini benar-benar terjadi, ia akan menjadi kegembiraan buat peminat Setan Merah dan berita sedih baki saki baki manusia yang meminati bola sepak di seluruh pelusuk dunia.

BACA:  Harry Maguire Tuduh Luke Shaw Buat Cerita