Masih Sembang Soal Game Plan? Keane Baran Kenyataan Sampah Andy Robertson

Roy Keane bengang dengan kenyataan dibuat Andy Robertson selepas tamat perlawanan, sebaik sahaja pasukannya Scotland dibantai Jerman 5-1 pada aksi pembukaan Euro 2024.

Ini selepas Robertson menurut Keane masih ada masa bercerita soal game plan untuk perlawanan yang memang lawan mereka jauh lebih bagus.

Tartan Army tiba di Munich dengan semangat tinggi dengan 4% daripada populasi negara mereka dilaporkan berkunjung ke Munich untuk mengikut pasukan mereka.

Namun tuan rumah memberikan mereka malam yang ngeri. 3 gol separuh masa pertama menerusi Musiala, Wirtz dan Kai Havertz. Scotland dikurangkan kepada 10 pemain selepas Ryan Porteous dibuang padang akibat bentesan tidak bertamadun yang bahaya dilancarkannya.

Pada separuh masa kedua Jerman menambah 2 gol menerusi Fullkrug dan Emre Can. Namun Jerman bermurah hati memberikan 1 own goal untuk kenang kenangan buat Scotland.

Robertson kemudian menyatakan bahawa pasukannya Scotland serba tidak kena pada separuh masa pertama dan kecut berdepan Jerman.

“Separuh masa pertama kan, kami serba tak kena, kami kecut, dan tak cukup agresif. Kami biarkan pemain lawan kami yang bagus mendapat bola.

“Separuh masa kedua kami bermain 10 pemain, saya rasa pemain pemain melakukannya dengan baik. Kami sangat sangat kecewa hari ini. Kami harus bangkit segera kerana ada banyak benda tak betul hari ini.

“Dan kebangkitan segera harus dibuat sekarang. Mungkin ini juga peringatan kepada kami semua betapa sukarnya pertandingan ini.

“Pemain bintang nama besar mereka menyerlah dan cemerlang di seluruh padang dan mereka ada segala jawapan untuk segala perancangan kami ada. Namun saya tak fikir kami sudah bermain di tahap maksimum.

“Mereka mempelbagaikan corak permainan mereka. Kami buntu tak tahu sama ada mereka ada di belakang atau masuk ke kawasan bahaya.

“Kami gagal bertahan dengan baik untuk bola tinggi. Gagal bertahan dengan baik. Dan apabila kamu buat macam tu, keputusan perlawanan hanya memihak satu pihak sahaja.

“Kami harus merenung kesilapan kami dan bangkit semula,” tegas pemain pertahanan Liverpool itu.

Keane benar benar baran mendengar kenyataan Robertson itu. Dan dia melabel itu kenyataan sampah.

“Andy Robertson bercakap selepas tamat perlawanan dan kata mereka ada perancangan dalam permainan ini. Dan kemudian dia cakap mereka tak cukup agresif. Jadi, kamu harus lebih agresif dalam bola sepak berdepan dengan lawan yang lebih kuat daripada kamu.

“Bermain agresif adalah sebahagian daripada bola sepak. Saya suka melihat pemain yang berskil tinggi, saya sangat suka melihat pemain yang berbakat daripada pasukan Jerman hari ini, sedap betul melihatnya.

“Tapi, ya tuhanku, apabila kamu bermain bola sepak di tahap ini, kamu harus tibai orang. Tibai mereka dengan betul dengan cara agresif dan lakukannya dengan cara betul.

“Kalau kamu menikus menentang mereka macam yang Scotland buat, tak guna untuk bercakap tentang ‘kami sebenarnya ada game plan’. Ini sampahlah. Andy Robertson, ini semua sampah tau tak, keluar daripada mulut kamu.

“Kamu sendiri tahu sebelum perlawanan, bahawa perlawanan ini tak akan berjalan dengan cantik. ‘Ayuh, kita akan bersatu dan marah esok’. Itu yang harus ada.

“Kamu harus ada rasa marah untuk tempoh yang lama. Kita tadi bercakap tentang mencipta sejarah daripada perlawanan seperti ini. Ya mereka memang cipta sejarah [dibelasah pada perlawanan pembukaan]. Dengan bermain seburuk itu membuatkan pengurus dan penyokong mereka kecewa. Bentesan dalam kotak penalti, dibuang padang, itu bukan agresif, itu kegilaan.

“Bermain agresif adalah sebahagian bola sepak namun mereka hari ini tidak dapat buat.”

BACA:  Euro 2024: Juara Bertahan Pulang Awal Dengan Penuh Aib