Media Sepanyol Dedah Man Utd Diam-Diam Risik Ancelotti Ganti Ten Hag

Manchester United dilaporkan cuba merisik khidmat Carlo Ancelotti untuk mengantikan Erik ten Hag pada musim hadapan.

Kontrak Ancelotti sebagai pengurus Real Madrid akan berakhir pada akhir musim ini, dan sehingga kini belum ada tawaran baharu daripada Real Madrid untuk mengekalkan jurulatih dari Itali itu di Estadio Santiago Bernabeu.

Walaupun berjaya merekodkan kemenangan dalam beberapa perlawanan terakhir di Premier League, masa depan Ten Hag di Old Trafford pula masih menjadi spekulasi media di Britain.

Ancelotti, 64 tahun sebelum ini turut dikaitkan akan melatih skuad kebangsaan Brazil sebaik kontraknya bersama Real Madrid tamat.

Dan berdasarkan perkembangan terbaru ini, jelas sekali United cuba untuk melakukan persiapan seawal mungkin untuk menghadapi saingan musim akan datang selepas prestasi kurang meyakinkan pasukan itu di bawah kendalian Ten Hag pada awal musim ini.

Sebuah program radio di Sepanyol, Tiempo de Juego mendedahkan Ancelotti baru-baru ini menerima tawaran daripada sebuah kelab Premier League untuk saingan musim hadapan.

Wartawan, Juanmo Castano diminta untuk mendedahkan identiti kelab tersebut di rancangan tersebut, dan mengesahkan Ancelotti tidak akan kembali ke Chelsea atau Everton. Tetapi kelab yang dimaksudkan lebih besar daripada Everton.

Manchester City turut dikaitkan sebagai destinasi berpotensi untuk Ancelotti tetapi dinafikan Castano.

Kemudian salah seorang panel meneka kelab yang dimaksudkan adalah Manchester United, dan Castano mengesahkan tawaran tersebut datangnya daripada hierarki di Old Trafford.

Castano turut berkata pengaruh oleh Casemiro yang beraksi di bawah kendalian Ancelotti di Madrid turut berkemungkinan mempengaruhi Ancelotti.

Alejandro Garnacho juga dikatakan sebagai pemain yang begitu meminati pakar taktikal dari Itali itu, dan kedua-dua pemain mahu Ancelotti menjadi pengganti Ten Hag di Old Trafford.

BACA:ย  Meluat Tahap Maksimum Dengan Onana, Ratcliffe Sedia Bida Keeper Baru Dari La Liga Untuk Man Utd