Mendy Dianggap Left-Back Paling Teruk Dalam Sejarah Premier League Selepas Pamer Aksi Hambar Bertemu Spurs

Para penyokong Manchester City bengang dengan pemain pertahanan kiri mereka, Benjamin Mendy yang telah mempamerkan aksi persembahan hambar ketika bertemu Tottenham Hotspur awal pagi tadi.

Ramai yang kecewa melihat persembahan hambar yang dipamerkan oleh Mendy ketika aksi kekalahan 1-0 Manchester City di tangan Tottenham Hotspur.

Son Heung Min berjaya menjaringkan gol pada minit ke-55 permainan, seterusnya mengesahkan tiga mata penting untuk skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu.

Gol tersebut terhasil dari serangan balas Spurs dari sebelah kiri padang, dan para penyokong City merasa bengang melihat bagaimana Mendy bertahan pada ketika itu.

Mendy seolah-olah menjadi lubok yang senang untuk dilepasi dan jelas sekali beliau merupakan kelemahan utama di barisan pertahanan Pep Guardiola pada ketika ini.

Selain gagal bertahan dengan baik, Mendy juga tidak begitu membantu ketika City melakukan serangan dan kerana itu beliau telah dikeluarkan pada aksi babak kedua permainan.

Pep Guardiola terpaksa mengeluarkan Mendy dan memasukkan Oleksandr Zinchenko kerana beliau juga mengesan kelemahan di barisan pertahanannya.

Mendy telah ditandatangani oleh Manchester City dari Monaco dengan yuran perpindahan bernilai £50 juta pada tahun 2017 yang lalu.

Beliau sebelum ini sering diketepikan dari skuad utama kerana dibelenggu masalah kecederaan dan kini beliau sepertinya bergelut dengan masalah prestasi.

Beliau juga sudah jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Pep Guardiola, dan selepas melihat aksi persembahannya ketika bertemu Spurs, para peminat yakin yang beliau tidak layak lagi untuk bermain bersama The Citizens.

“Apa yang dia buat? Dia langsung tak pandai bertahan, adakah dia betul-betul sudah bersedia untuk diturunkan?”

“Saya benar-benar kecewa melihat aksi dan persembahan dia, rasanya sudah tiba masanya untuk dia pergi kerana dia sudah tidak sesuai bersama Manchester City.”

“Adakah Mendy belajar bertahan menggunakan video tutorial di YouTube? Teruk sangat persembahan dia.”

“Saya hilang kata-kata, persembahan yang sangat hambar, City mungkin perlu pinjamkan dia kepada pasukan lain atau jual saja.”

Begitulah komen-komen dari para peminat Manchester City yang benar-benar kesal dan kecewa melihat persembahan Benjamin Mendy.

City memulakan perlawanan dengan meletakkan Ferran Torres di hadapan, namun sayangnya beliau gagal untuk memberikan sebarang impak positif kepada jentera serangan Pep.

Para penyokong City menghentam teruk persembahan Mendy

Spurs sementara itu turut tidak menurunkan penyerang utama mereka, Harry Kane dek kerana pemain kebangsaan England itu dilaporkan masih belum mendapat tahap kecergasan yang ditetapkan.

Harry Kane sebelum ini hangat dikaitkan bakal menyertai Manchester City pada musim panas ini, dengan pengurus kelab, Pep Guardiola sendiri turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

The Citizens awalnya telah menghantar bidaan rasmi bernilai £100 juta untuk menandatangani Harry Kane, namun bidaan mereka telah ditolak mentah-mentah oleh Daniel Levy.

City kemudiannya menyediakan dana bernilai £140 juta, andai Spurs tergerak untuk menjual Harry Kane, namun Levy masih tetap dengan pendiriannya untuk tidak akan melepaskan penyerang terbaiknya itu.

Laporan terbaru dari media UK telah menyatakan yang perpindahan itu tidak mungkin akan berlaku pada musim panas ini, kerana Kane sendiri sudah menerima keputusan kelab untuk tidak akan melepaskannya.

Sumber: SB

BACA:  Pep Beri Bayangan Akan Mencari Pengganti Kepada Benjamin Mendy Yang Kerap Cedera