MFL ‘Naikkan’ Perlis FA Ke Liga Premier 2019 Walaupun Berdepan Masalah Tunggakan Gaji

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Malaysia Football League (MFL), Perlis FA dan Terengganu FC II sah akan beraksi dalam Liga Premier bagi tahun 2019.

Sebelum ini, MFL  telah menolak permohonan Terengganu City FC dan Kuantan FA untuk beraksi dalam Liga Premier berikutan masalah tunggakan gaji yang masih belum diselesaikan musim lepas.

Berita gembira buat peminat Perlis. Mereka akan bermain dalam Liga Perdana musim hadapan dengan syarat tunggakan gaji lama perlu diselesaikan terlebih dahulu. (Gambar dari NorthernLions Perlis)

Disebabkan perkara tersebut, MFL mengambil keputusan untuk mengekalkan Terengganu FC II dalam Liga Premier walaupun pasukan tersebut menghuni tangga tercorot liga musim lepas.

Perlis FA pula menerima ‘pelepasan khas’ untuk beraksi dalam Liga Premier 2019 selepas MFL melihat kesungguhan pengurusan baru pasukan negeri tersebut yang ingin membawa transformasi baru ke dalam skuad Singa Utara musim hadapan.

Berikut adalah kenyataan rasmi dari MFL berhubung pengesahan status Perlis FA dan Terengganu FC II dalam Liga Premier tahun hadapan.

Konteks

” Dalam pertandingan 100PLUS Liga Premier 2018, pasukan Kuantan FA telah dilucutkan hak bertanding di pertengahan musim atas beberapa perlanggaran peraturan.”

” Pada hujung musim pula, pasukan Terengganu FC II telah mengalami relegasi sebagai pasukan yang menduduki tangga terbawah 100PLUS Liga Premier 2018. Hanya satu pasukan mengalami relegasi setelah Kuantan FA dikeluarkan dari pertandingan lebih awal.”

Keputusan

” Pihak FAM yang menguruskan Piala FAM 2018 berhak memilih dua pasukan untuk promosi secara automatik ke Liga Premier 2019. Kebiasaannya, pihak FAM akan memajukan juara dan naib juara Piala FAM sebagai calon promosi.”

Terengganu FC II muncul juara Challenge Cup edisi pertama walaupun duduki tangga tercorot liga perdana musim lepas.

Tapi, untuk musim ini, FAM telah mencadangkan;

1. Pasukan Selangor United sebagai naib juara Piala FAM 2018
2. Pasukan Terengganu FC II sebagai juara Challenge Cup 2018

” Pencalonan ini adalah berdasarkan juara Piala FAM 2018, Terengganu City FC menghadapi masalah dan melanggar beberapa peraturan berkaitan dengan kewangan dan pembayaran dan oleh itu tidak dapat dicalonkan untuk promosi ke Liga Premier 2019. Pencalonan pihak FAM ini telah diberi pertimbangan dan telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah MFL.”

Konteks

” Dengan penarikan diri Felcra FC pula untuk saingan unifi Liga Super 2019, serta promosi pasukan MIFA, maka satu lagi slot perlu diisi untuk Liga Premier 2019.”

Keputusan

” Pasukan-pasukan yang bakal mengisi slot tambahan ini dari Piala FAM 2018 telah diberi peluang untuk memajukan dokumen-dokumen berkaitan untuk pertimbangan.”

” Dokumen tersebut telah dimajukan ke pihak MFL oleh FAM dan perhatian telah diberikan kepada viabiliti serta impak pasukan pilihan untuk promosi ini dalam Liga Premier 2019 dan bagi keseluruhan Liga Malaysia.”

” Setelah pertimbangan diberikan, Lembaga Pengarah MFL mengambil keputusan untuk mempromosikan pasukan Perlis FA ke Liga Premier Malaysia 2019 dengan beberapa syarat.”

” Perjumpaan telah diadakan bersama Datuk Ahmad Amizal Shaifit, Presiden Perlis FA, di Wisma FAM, dimana pihak MFL diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kevin Ramalingam dan pihak FAM diwakili Setiausaha Agung Stuart Ramalingam. Pihak Perlis FA telah dimaklumkan bahawa promosi ini bersyarat bahawa pihak Perlis FA perlu menyelesaikan masalah tunggakan yang sedia ada.”

Semangat baru Singa Utara. Semoga kembali bangkit

” Harus diingat bahawa kepimpinan Perlis FA yang baru telah mengambil alih pengurusan tanpa pengetahuan atau rekod mengenai tunggakan ini.”

” Rekod ini telah diberikan oleh pihak FAM baru-baru ini untuk perhatian kepimpinan Perlis FA yang baru dan dalam perjumpaan bersama semalam, Presiden Perlis FA sendiri telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan memberi komitmen bahawa isu ini akan diselesaikan.”

” Walau apapun, persetujuan bersama telah dicapai dimana agihan kewangan dari MFL kepada Perlis FA untuk musim 2019 akan ditahan oleh pihak MFL dan pihak Perlis FA diberi tempoh masa 60 hari untuk melangsaikan segala bayaran tertunggak.”

” Jika Perlis FA gagal untuk melangsaikan hutang tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan, Perlis FA tidak akan menerima pengagihan dana dari MFL dan agihan ini akan digunakan untuk menyelesaikan tunggakan tersebut.”

” Dengan cara ini, isu tunggakan gaji Perlis FA yang diwar-warkan kebelakangan ini sudah pasti akan selesai.”

” Sebagai usaha MFL untuk memastikan isu tunggakan diselesaikan dengan lebih efisien, tindakan untuk memegang/menahan pengagihan dana dari pasukan adalah amalan yang akan dilakukan dengan lebih meluas lagi jika mana-mana pasukan ada kes tunggakan bayaran yang sudah diputuskan oleh pihak FAM, NDRC, AFC atau FIFA.”

BACA:  MFL Akhinya Jawab Isu Tunggakan Gaji Yang Melanda Perlis FA