MFL Akhinya Jawab Isu Tunggakan Gaji Yang Melanda Perlis FA

Menjelang saingan Liga Malaysia yang akan dibuka tidak lama lagi, masih lagi kedengaran suara-suara sumbang mengenai isu yang sering kali melanda bola sepak Malaysia iaitu kegagalan majikan membayar gaji pemain.

Isu ini kebiasaannya akan terdengar pada pertengahan atau penghujung musim tetapi bagi tahun 2019, ia berlaku lebih awal.

Antara pemain Perlis FA yang hadir membuat sidang media bagi menceritakan keadaan sebenar yang berlaku terhadap mereka. Gambar – Utusan

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan seramai 18 orang pemain Perlis FA belum menerima tunggakan gaji liga musim lepas dan gaji liga musim 2019 seperti dijanjikan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Tambah menyedihkan, ada di antara mereka yang terpaksa melakukan pekerjaan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup. Ada yang bekerja sebagai nelayan, buruh kasar, cuci kereta dan berniaga kecil-kecilan.

Berita ini jelas menggemparkan bola sepak Malaysia memandangkan Perlis dianggap antara pasukan yang bernafsu besar dalam jendela perpindahan kali ini apabila menandatangani beberapa nama besar seperti Safee Sali dan Badhri Radzi.

Kesemua mereka berusia 26 hingga 30 tahun itu sepatutnya menerima tunggakan gaji antara empat hingga tujuh bulan tetapi sehingga sekarang, habuk pon takdak.

MFL sedia maklum mengenai perkara berkenaan dan akan mengggunakan duit geran Perlis jika masalah tersebut tidak dapat diselesaikan.

Perkara tersebut mendapat perhatian Malaysian Football League (MFL) dan menerusi satu artikel di laman web rasmi, badan bola sepak itu sudah sedia maklum mengenai masalah tersebut dan telah mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan tunggakan gaji tersebut.

Menurut salah seorang Ahli Lembaga Pengarah MFL Mustaza Ahmad, PFA telah diberikan tempoh masa untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan MFL sudah mengumumkan akan menyekat pemberian geran tahunan sebagai cagaran untuk mereka melangsaikan hutang berkenaan.

“Tuntutan pemain-pemain Perlis itu sebenarnya sudah ada dalam perjanjian bersama di antara MFL dan PFA, ini bukan tuntutan baharu. Kita sudah mencari jalan untuk mengatasi masalah itu. PFA sudah memberikan jaminan untuk menyelesaikan masalah itu sebelum sepak mula Liga Malaysia musim 2019.

“PFA masih memiliki tempoh masa untuk menyelesaikan masalah itu dan jika mereka gagal berbuat demikian, MFL akan menggunakan geran tahunan mereka bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain-pemain ini,” katanya, hari ini.

Turut terus dibangkitkan adalah status Perlis yang dinaikkan pangkat dari Piala FAM ke Liga Premier musim ini sedangkan
pasukan kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu dilanda masalah hutang.

Namun Mustaza berkata, kelulusan itu diambil berdasarkan komitmen dan perancangan pengurusan baharu PFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji dan memantapkan kewangan pasukan pada musim ini.

“Kita tahu ada pihak yang masih mempertikaikan status Perlis sebagai pasukan Liga Premier, tapi kita benarkan penyertaan mereka berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.

“FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, ATM dan Perlis dari Piala FAM untuk mengisi slot Liga Premier berdasarkan dokumen perancangan pasukan berkenaan termasuk aspek kewangan. Daripada tiga pasukan ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian membuat pemilihan berdasarkan kriteria tertentu antaranya kekuatan penyokong dan masalah hutang.

“Jadi Perlis dipilih kerana memiliki penyokong lebih ramai dan jumlah hutang mereka lebih sedikit,” katanya.

Dalam pada itu wujud dakwaan sesetengah pihak bahawa MFL mengamalkan ‘double standard’ apabila tidak mengambil tindakan ke atas pasukan lain yang didakwa turut bermasalah atas alasan kerana ia membabitkan pasukan Ahli Lembaga Pengarah MFL sendiri.

Bagaimanapun berdasarkan ketegasan MFL sebelum ini, ia adalah tanggapan tidak tepat memandangkan Selangor dikenakan denda RM1,500,000 tapi dikurangkan kepada RM500,000 manakala Sarawak RM500,00 tapi denda dikurangkan kepada RM200,000 tahun lalu meskipun mereka mempunyai wakil dalam barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Apa yang dilakukan oleh MFL adalah apa sahaja kes akan diteliti sepenuhnya dengan segala penjelasan dan dokumen akan dikumpul sebelum sebarang keputusan dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.

Selagi tiada keputusan, kes berkenaan tidak akan dihebahkan kepada umum melainkan pasukan terbabit sudah mengeluarkan kenyataan sendiri.

BACA:  MFL Akhirnya Batalkan Penyertaan Perlis Dalam Liga Malaysia Berikutan Masalah Kewangan