Shopee Piala FA: MFL Minta Netizen Jangan Sensasikan Isu ‘No 6 & 9’

Hari ini merupakan hari berlangsungnya undian pusingan ke-2 Shopee Piala FA Malaysia 2019 yang melibatkan 31 buah pasukan dengan 10  daripadanya adalah pasukan bertaraf amatur.

Dalam undian yang berlangsung di Pusat Seni Persembahan Damansara (DPAC), Petaling Jaya, hari ini, juara Liga Super 5 kali berturut-turut Johor Darul Takzim menerima durian runtuh apabila mendapat ‘bye’ bagi pusingan ke-2.

MFL -Tiada isu !

Untuk rekod, JDT tersingkir pada pusingan suku akhir kepada Pahang dalam edisi Piala FA tahun lepas.

Juara bertahan, Pahang, pula mendapat laluan mudah apabila diundi menentang pasukan amatur, PIB FC.

Juara lima kali, Selangor, berdepan ranjau berliku dengan dijadual berdepan Kelantan, yang kali terakhir menjulang piala itu pada 2013. Kedah pula akan menantikan cabaran pendatang baru Liga Perdana, Selangor United.

Namun apa yang menjadi kontroversi dalam majlis undian tersebut adalah insiden tersilap sebut nombor yang melibatkan Kedah dan Kelantan.

Ini nombor 9, tapi 

Insiden itu tercetus kerana wakil yang menyebut nombor tersilap membacakan nombor enam dan sembilan, yang mana nombor 6 sepatutnya dimiliki oleh pasukan Kelantan manakala nombor 9 untuk pasukan Kedah.

Menyedari kontroversi tersebut, pihak MFL menerusi Pegawai Eksekutif Perundangan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Azzairi Rosle mengeluarkan kenyataan supaya tiada pihak cuba mensasikan insiden tersebut yang berlaku secara tidak sengaja.

Jelas Azzairi yang menjadi juruaudit merangkap pemerhati undian pusingan kedua Shopee Piala FA Malaysia 2019 itu bersama Setiausaha Agung Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Faisal Jamal dan Ketua Unit Undang-Undang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Shahida Bashirah Hishamuddin, mendedahkan kesemua 31 pasukan telah berpuas hati dengan undian yang dijalankan itu tanpa timbul sebarang keraguan terhadap integriti Malaysian Football League (MFL).

Mengulas lanjut, Azzairi memberitahu kesemua pasukan tidak menyuarakan bantahan sebaliknya mereka berpuas hati dengan keputusan undian tersebut.

Ini nombor 9 la !

“Sebenarnya kami bertiga telah mengambil sepakat bahawa sekiranya tidak ada bantahan daripada pasukan-pasukan, jadi rasanya tiada masalah.

“Dengan semua (pasukan) menyaksikan pengurusan atau proses-proses undian tersebut, sepatutnya kita melihat bahawa kesilapan itu daripada nombor 6 dan 9 itu bukan satu isu besar.

“Malah, pasukan-pasukan telah pun dimaklumkan segera oleh MFL mengenai kesilapan pengecaman itu dan saya difahamkan MFL telah bertemu dengan pasukan masing-masing. Jadi, mereka sendiri tiada masalah dengan isu dan kami berpendapat majlis undian ini berlangsung secara adil dan telus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pengurus Kedah, Al-Naliq Hasmi Abu Hassan menegaskan pihaknya tidak menyalahkan MFL atau mana-mana pihak di atas kesilapan teknikal berlaku sebaliknya mendedahkan skuad Helang Merah telah bersedia untuk bertemu dengan mana-mana pasukan.

“Kesilapan itu tidak perlu diperbesarkan dan saya secara peribadi menganggap Kedah sudah bersedia untuk bertemu mana-mana pasukan tidak kira mereka itu adalah Pahang, Terengganu atau Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali pun.

“Ini adalah perkara normal dalam undian dan kamu harus bersiap sedia untuk mana-mana pasukan yang diundi bertemu kamu. Jadi, saya fikir Kedah tidak cepat melatah di sebalik kesilapan teknikal tersebut dan MFL telah bertindak pantas memberitahu situasi sebenar,” ujarnya.

BACA:  Pogba Terima Tawaran Mengejutkan Daripada MFL Walaupun Digantung 4 Tahun