Erling Haaland Dinasihatkan Boikot Ballon d’Or Jika Messi Menang Lagi

Erling Haaland dinasihatkan untuk memboikot acara Ballon d’Or untuk edisi seterusnya sekiranya Lionel Messi memenangi trofi berprestij itu sekali lagi pada tahun ini.

Haaland menyertau The Citizens dari Borrusia Dortmund pada musim panas lalu dan melalui musim pertama menakjubkan dengan pelbagai rekod di Premier League.

Pemain antarabangsa Norway itu juga menjaringkan 52 gol daripada 53 perlawanan di semua pertandingan dan membantu City meraih gelaran treble (Premier League, Champions League dan Piala FA).

Pada Rabu lalu Haaland turut berada di dalam senarai pencalonan akhir untuk Ballon d’Or 2023, dan perkara itu sememangnya sudah dijangka berdasarkan prestasi ditampilkannya.

Di sebalik pelbagai rekod dan kejayaan di Etihad, Lionel Messi masih kekal sebagai pilihan utama untuk memenangi anugerah tersebut.

Messi menjuarai Piala Dunia bersama Argentina. Namun prestasi keseluruhan bintang Argentina itu secara keseluruhan masih dianggap sederhana.

32 jaringan yang dihasilkannya di Ligue 1 masih rekod yang baik. Namun ia tidak menyerlahkan kemampuan PSG walaupun sekali lagi bergelar juara Perancis.

The Parisiens turut dianggap gagal di pertandingan Champions League pada musim lalu apabila disingkirkan Bayern Munich di pusingan kedua kalah mati.

Bekas pemain Chelsea dan pemain antarabangsa Scotland, Craig Burley mungkin mempunyai asas yang kukuh dengan perdebatannya Haaland lebih layak daripada Messi untuk memenangi anugerah Ballon d’Or pada tahun ini.

Bercakap kepada ESPN, Burley berpendapat Haaland harus memboikot terus anugerah itu pada masa hadapan sekiranya Messi sekali lagi diumum sebagai pemenang pada tahun ini.

“Jika Erling Haaland tidak menang [tahun ini], tutup kedai sajalah,” katanya.

“Lionel Messi memenangi Piala Dunia dan tidak dinafikan ia adalah pencapaian yang hebat. Namun ia hanya pertandingan yang berlangsung selama 4 minggu.

“Secara umum prestasi beliau di liga tidak menyerlah. PSG pun teruk sepanjang musim.

“Erling Haaland? Dia jaringkan lebih daripada 50 gol, membantu pasukannya memenangi kejuaraan Premier League, Piala FA dan juga Champions League.

“Erling Haaland jelas sepatutnya diumumkan sebagai pemenang. Saya tahu ramai mereka di luar sana masih tak boleh ‘move on’ daripada kehebatan Messi, tapi anda harus melihat daripada gambaran yang lebih luas untuk melakukan penilaian.”

BACA:  Piala Dunia 2022: Jerman 1-2 Jepun