Mbappe Tak Kisah ‘Cuti-Cuti’ Di PSG Dan Tolak Tawaran Lumayan Arab Saudi

Kylian Mbappe dilaporkan menolak peluang untuk beraksi di Arab Saudi walaupun Paris Saint-Germain sudah memberikan lampu hijau kepada Al Hilal untuk berbincang dengan pemain antarabangsa Perancis itu.

Sebelum ini laporan mendedahkan Al Hilal bersedia untuk melakukan bidaan dengan nilai perpindahan rekod dunia sebanyak £259 juta untuk mendapatkan Mbappe.

Mbappe sememangnya sudah berada di dalam senarai pemain untuk dijual oleh juara Perancis itu selepas enggan menyambung kontrak untuk kekal dengan baki kontrak setahun.

Perkhabaran mengenai bidaan daripada Al Hilal tiba pada Isnin lalu, dan PSG juga sememangnya dijangka akan menerima bidaan tersebut kerana enggan mengambil risiko kehilangan Mbappe secara percuma apabila kontraknya tamat pada Jun 2024.

Walaupun demikian Relevo mengesahkan Mbappe tidak mempunyai sebarang niat untuk berhijrah ke Arab Saudi walaupun menerima tawaran lumayan daripada Al Hilal.

Malah media daripada Madrid itu melaporkan Mbappe bertekad untuk menghabiskan baki tempoh setahun bersama PSG dan tidak kisah dengan ancaman tidak berada di dalam skuad PSG sepanjang tempoh itu.

Penyerang berusia 24 tahun itu sudah pun digugurkan daripada skuad PSG yang menjalani latihan dan jelajah pra musim di Jepun dan Korea Selatan baru-baru ini.

Bidaan daripada Al Hilal akan memadam rekod dunia perpindahan Neymar bernilai £198 juta dari Barcelona ke PSG sebelum ini.

Tawaran daripada kelab Arab Saudi itu turut membenarkan Mbappe menerima £600 juta hanya dalam tempoh semusim.

Kelab Saudi Pro League itu turut dikatakan sedia untuk meletakkan klausa khas membenarkan Mbappe menyertai Real Madrid pada musim panas akan datang.

Mbappe sebenarnya sudah lama dikaitkan dengan Real Madrid, tetapi memilih untuk menandatangani kontrak baharu dengan pendapatan £650,000 seminggu selama dua tahun untuk kekal bersama PSG pada musim panas akan datang.

BACA:  Penalti Diberi Kepada PSG Langgar Garis Panduan UEFA