MFL Bawa TM Ke Muka Pengadilan Atas Pelanggaran Kontrak Tajaan Liga Super

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengesahkan yang mereka akan membawa penaja utama Malaysia Super League (MSL), Telekom Malaysia ke muka pengadilan susulan pelanggaran kontrak penajaan oleh syarikat telekomunikasi tersebut kerana gagal membuat pembayaran hak penajaan dan penyiaran untuk tahun 2019.

Sebelum ini pada 15 Mac lalu dalam sidang media yang dihadiri wakil daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL, pengumuman rasmi telah dibuat mengenai penamatan kontrak penajaan bersama TM selepas mencapai kata sepakat dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yang diadakan di Hotel Thistle, Johor Bahru.

Telekom Malaysia berdepan tindakan saman daripada MFL gara-gara pelanggaran kontrak

TM sebelum ini telah menyiarkan satu kenyataan rasmi mengumumkan mereka bukan lagi penaja Liga Malaysia bermula tahun 2019 selain juga menafikan mereka gagal melaksanakan apa yang terkandung dalam kontrak sebaliknya menyatakan kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan bersama berkenaan asas komersial.

Susulan itu, MFL ingin memaklumkan bahawa tindakan undang-undang telah diambil terhadap TM melalui pemfailan saman dan langkah tersebut diambil demi melindungi kepentingan pasukan-pasukan bertanding dalam Liga Malaysia.

“Tempoh kontrak penajaan yang telah ditandatangani oleh kami dan TM adalah untuk tempoh lapan tahun bermula dari Januari 2018 sehingga 2025. Terma dan syarat ini telah dipersetujui dan dimeterai bersama pada Januari 2018 dan satu kenyataan bersama MFL yang ketika itu dikenali sebagai FMLLP dan TM bertarikh 1 Februari 2018 bertajuk ‘unifi menyatukan rakyat Malaysia melalui bolasepak’ dikeluarkan sebagai tanda kolaborasi bagi menaja Liga Malaysia.

Pening, pening… macam mane nak cari penaja baru tengah2 musim macam ni

“Malangnya selepas itu, TM telah mencadangkan terma-terma baru termasuk perubahan kepada terma asas yang telah dipersetujui dan ditandatangani bersama. Antara terma yang mahu dimasukkan TM adalah perubahan yang jelas bercanggah dengan persetujuan bersama sebelum ini dan akan menjadikan perjanjian antara MFL dan TM tidak stabil dan tidak adil.

“Oleh itu, ia tidak mungkin boleh dipersetujui oleh kami kerana ia dilihat sebagai cara TM untuk membebaskan diri daripada obligasinya di bawah syarat yang telah dipersetujui dan ditandatangani.

“Proses ini telah mengambil masa yang panjang dan pihak MFL telah cuba sedaya upaya untuk membantu mencari jalan tengah dalam perkara ini termasuk bersedia meminda sedikit syarat yang telah dipersetujui dan ditandatangani bagi membantu pihak TM.

“TM kemudiannya enggan menjalankan sebarang perundingan untuk mencari penyelesaian dan juga tidak mahu meluangkan masa mengadakan perbincangan lanjut bagi menyelesaikan isu ini apabila dijemput pihak MFL walaupun ada representasi sebaliknya daripada pengurusan TM ketika itu telah dipersembahkan kepada kepimpinan MFL.

“Perlu dinyatakan dengan jelas bahawa pihak MFL tidak pernah menegaskan perubahan syarat yang telah dipersetujui dan perubahan yang tidak dapat diterima adalah perubahan atau syarat baru yang ditegaskan oleh pihak TM.

TMJ cabar Telekom Malaysia bawa baginda ke mahkamah jika baginda menipu.

“Justeru, kami terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap TM bagi melindungi hak pasukan-pasukan bertanding dalam Liga Malaysia serta memelihara kepentingan bolasepak negara. Jumlah yang dituntut oleh kami terhadap TM di bawah kontrak penajaan bersama adalah melebihi RM400 juta dan saman tersebut juga telah disampaikan kepada peguamcara TM pada hari ini (21 Mac 2019).

“Memandangkan perkara ini telah dirujuk kepada proses undang-undang, kami tidak akan memberikan sebarang komen lanjut terhadap perkara ini dan menyerahkan pertikaian ini untuk diputuskan di mahkamah.”

Kredit – MFL

BACA:  MFL Akhirnya Batalkan Penyertaan Perlis Dalam Liga Malaysia Berikutan Masalah Kewangan