Michael Owen Percaya ‘Lembab’ Merupakan Masalah Terbesar Harry Maguire

Michael Owen bimbang kelemahan Harry Maguire yang tidak mempunyai kelajuan akan menjadi masalah sebenar Manchester United.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas melihat aksi hambar bintang England itu ketika turun beraksi bertemu Southampton kemarin.

Bekas bintang Leicester City itu teruk dihentam oleh para peminat dan pundit atas aksi hambar yang beliau pamerkan, dan beliau juga turut dipersalahkan menjadi punca United sekadar seri bertemu Burnley minggu lalu.

Beliau dianggap punca mengapa penandatanganan terbaru Burnley, Wout Weghorst boleh mencatatkan assists untuk gol penyamaan yang dijaringkan oleh Jay Rodriguez.

Selepas wisel penamat dibunyikan di Turf Moor, bekas pemain pertahanan Man Utd, Rio Ferdinand menghentam Maguire kerana membenarkan gol itu terhasil.

Ferdinand menganggap kesilapan-kesilapan kecil yang dilakukan oleh Maguire sebenarnya membuka ruang yang sangat besar kepada pasukan lawan untuk menjaringkan gol.

Kemudiannya pada aksi hujung minggu ini, Maguire bergelut dengan kelajuan dan kekuatan fizikal yang dimiliki oleh Che Adams dan Armando Broja ketika aksi bertemu Southampton.

Maguire sekali lagi mempamerkan aksi hambar yang menyebabkan Manchester United keciciran mata di Old Trafford kerana hanya mampu seri bertemu Southampton.

Michael Owen yang sempat menghabiskan tiga tahun kariernya di Old Trafford tampil menjelaskan yang beliau semakin bimbang dengan bekas bintang Leicester City itu.

“Saya bimbang untuk dia dan ia sebenarnya sedikit memalukan.”

Jelas Owen kepada Premier League production ketika bercakap tentang peranan Maguire ketika Southampton berjaya jaringkan gol penyamaan.

“Dia langsung tak perlu guna kelajuan tapi itu pun dia boleh dipermainkan oleh Broja. Dan kamu jangan pernah fikir yang dia sedang cuba tebus kesilapan dia, dia cuma mengejar saja dan saya tak rasa situasi itu boleh bagi penalti.”

“Tapi kita semua akan mula bimbang kalau dia berlari. Kita semua tahu dia mungkin akan melakukan sesuatu yang bodoh.”

“Dia ada masalah kekurangan dari segi kelajuan dan ia memang masalah. Kami sudah katakan sebelum ini, saya akan katakan sekali lagi. Gol itu, dia boleh tutup ruang, tapi dia tetap benarkan ada ruang untuk lawan.”

Owen menganggap Maguire kerap melepaskan bola dan membenarkan serangan dari pasukan lawan kerana beliau sememangnya tak ada keupayaan untuk bersaing.

Beliau percaya Maguire terlalu lembab untuk mengejar pemain penyerang lawan dan atas alasan sama juga Maguire tak boleh nak buat perangkap offside.

Ia kerana Maguire takut beliau akan dipintas dan beliau sedar sebaik ada pemain yang sudah memintasnya, memang sukar untuk beliau kembali mengejar pemain tersebut.

Aksi ‘No-look defending’ Maguire curi perhatian peminat

Ketua pasukan Manchester United, Harry Maguire mencuri perhatian peminat seluruh dunia selepas mempamerkan aksi ‘no-look defending’ ketika beraksi bertemu Southampton malam semalam.

Skuad setan merah kini sudah tiga perlawanan secara berturut-turut gagal untuk mencatatkan sebarang kemenangan, dengan mereka hanya mampu mencatatkan keputusan seri sahaja bertemu The Saints di Old Trafford.

Che Adams berjaya menjaringkan gol pada aksi babak kedua permainan untuk memadam gol pendahuluan setan merah yang dijaringkan oleh Jadon Sancho.

Southampton sepertinya sangat selesa beraksi di Old Trafford dalam perlawanan ini, dengan pemain pinjaman dari Chelsea, Armand Broja terus memukau peminat dengan aksi hebatnya di bahagian serangan.

Apa yang lebih menakjubkan lagi, pemain berusia 20 tahun itu turut berjaya membodoh-bodohkan pemain pertahanan termahal dunia dan menyebabkan Maguire terpaksa mencipta gerakan ‘No-look defending’ demi untuk menghalangnya terus melancarkan serangan.

Broja menewaskan pemain kesayangan United itu dengan menggunakan kelincahan kakinya di sudut sebelah kiri padang, dan sempat membuat Maguire berpusing-pusing sebelum beliau bergerak mahu masuk ke dalam kotak penalti.

Ketika insiden Maguire jadi buta kayu dan tak tentu arah mahu menghalang Broja melancarkan serangan, para peminat sempat mengesan yang beliau ada menggunakan strategi baru untuk menghalang pemain lawan dari melepasinya.

Aksi beliau melakukan ‘No-look defending’ itu mencuri perhatian ramai dengan para peminat hangat membincangkan tentang insiden tersebut di media sosial.

“Saya tak faham macam mana dia boleh main bola lagi, pertahanan pertama yang mencipta gerakan ‘No-look defending’ dalam sejarah dunia bola sepak.”

“Adakah kerana harga dia terlalu mahal maka kelab tak benarkan dia berada di bangku simpanan? Kalau ikut dari segi persembahan, dia tak layak untuk ada dalam skuad pun.”

“Boleh tak pinjamkan dia ke tempat yang layak untuk dia, beraksi di pentas Championship ke, saya rasa ‘No-look defending’ sudah capai tahap kemuncak kebodohan dia.”

“Pasukan lain meraikan skill ‘no-look pass’, ‘no-look goal’ tapi kita kena telan kebodohan Maguire dengan aksi ‘no-look defending’ dia.”

“Apa lagi yang tak cukup untuk dia disingkirkan? Dia ada semua ciri untuk disingkirkan, kebodohan, lembab, malas, semuanya dia ada, tapi kenapa dia masih dibenarkan beraksi?”

Maguire turut dihentam teruk ketika beliau diperbodohkan oleh Wout Weghorst dalam aksi seri bertemu Burnley sebelum ini, dengan Rio Ferdinand sendiri turut membantai bintang England itu.

Dalam perlawanan ini, walau beliau tak banyak melakukan kesilapan, namun Maguire masih lagi ada melakukan kesilapan dan terlalu sukar sebenarnya untuk melihat beliau tak melakukan sebarang kesilapan dalam satu perlawanan.

Selepas melalui aksi Euro 2020 yang gemilang bersama skuad kebangsaan England, Harry Maguire terus berubah menjadi antara pemain paling dungu dalam dunia bola sepak hari ini.

Sejak dari awal musim lagi ramai pihak sudah mendesak Ole Gunnar Solskjaer supaya menarik balik jawatan ketua pasukan, dan tidak menurunkan Maguire dalam kesebelasan utamanya.

Hinggalah ke era Ralf Rangnick, hal yang sama masih dituntut oleh para peminat, namun Harry Maguire masih tetap diturunkan dalam kesebelasan utama United.

Bekas pemain midfield Man Utd, Kleberson percaya yang Ralf Rangnick perlu mengambil keputusan berani dengan menggugurkan nama Maguire yang dianggap sebagai titik terlemah skuad pada ketika ini.

“Manchester United nampak lebih terjamin dengan Raphael Varane dan Victor Lindelof di belakang berbanding Harry Maguire.”

Jelasnya kepada Paddy Power.

“Harry Maguire merupakan pemain yang hebat dan berpengalaman. Dia mengatur barisan bawah dengan baik tapi musim ini dia berdepan dengan kesukaran dalam saingan Premier League.”

“Dia bergelut ketika berdepan situasi satu lawan satu dan di mana saya nampak dia tak ada kelajuan untuk bersaing. Kelajuan memang bagi masalah besar kepada dia.”

“Dengan mengambil langkah mengeluarkan dia dari skuad, dia (Maguire) akan faham apa yang perlu dia perbaiki dan bagaimana dia boleh bermain dengan lebih baik lagi.”

“Dia akan ada kesempatan untuk kembali beraksi bersama skuad utama. Tapi pada ketika ini, sukar untuk terus membiarkan dia berada dalam skuad utama dan membiarkan pasukan lawan memanfaatkan situasi itu.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Alphonso Davies Menganjing Maguire Tanpa Belas