Mike Dean Dihentam Kerana Tak Menghukum Alisson Yang Menangkap Bola Di Luar Kotak

Mike Dean dihentam teruk kerana tidak menghukum Alisson Becker yang memegang bola ketika dirinya sudah berada di luar kotak penalti ketika aksi bertemu Brighton malam semalam.

Alisson ketika itu keluar menangkap bola dengan Andy Robertson mengawal Neal Maupay dan penjaga gol dari Brazil itu jelas sekali terlajak terkeluar dari kawasannya.

Kedua-dua belah kaki penjaga gol utama Liverpool itu sudah berada di luar kotak penalti namun tangannya seolah-olah masih dalam kotak penalti.

Para pemain Brighton mendakwa yang Alisson handball kerana menangkap bola di luar kotak penalti, namun Mike Dean seolah-olah tidak melayan dakwaan dari pemain pasukan tuan rumah.

Alisson dikatakan tidak dihukum kerana tangan beliau masih memegang bola di dalam kawasan kotak penalti walaupun kedua-duanya kaki sudah berada di luar.

Mengikut peraturan, jika penjaga gol itu menangkap bola di luar kotak penalti maka beliau boleh dilayangkan kad merah.

Dalam situasi Alisson Becker pula, kedua-dua kakinya jelas berada di luar namun tak pasti sama ada bola ikut keluar atau tidak kerana tangan beliau sememangnya berada di belakang.

Peminat bengang kerana tiada campur tangan dari VAR dan Mike Dean tidak bersungguh menyemak insiden tersebut.

Para peminat di media sosial menganggap Mike Dean sebenarnya terlalu memanjakan Alisson dan kerana itulah beliau tidak menghukum penjaga gol dari Brazil itu.

β€œDia sudah keluar, kenapa tak dihukum? Kenapa VAR tak semak semula insiden itu? Adakah tak cukup jelas lagi yang Liverpool sememangnya terlalu dimanjakan?”

β€œKenapa Alisson boleh terselamat dengan mudah? Saya rasa tangan dia pun ada di luar kotak sebab kedua-dua kaki dia jauh dari garisan.”

β€œMike Dean dan kontroversi memang tak boleh dipisahkan, kenapa dia tak semak langsung insiden itu? Alisson sepatutnya dihukum”.

β€œKalau Liverpool yang berdepan situasi ini sudah tentu Klopp menjerit tepi padang dan penyokong mereka meratap seolah-olah mereka dizalimi. Tapi sekarang?”

β€œKalau saya lihat dari rakaman ulang, nampak memang bola juga berada di luar kotak, kenapa VAR tak semak untuk dapatkan keputusan lagi jelas?”

Alisson Becker bermain dengan sangat cemerlang dalam perlawanan ini dengan beliau berjaya melakukan beberapa aksi penyelamatan berkelas dunia dalam menyelamatkan gawang golnya dari dibolosi.

Alisson bersama rakan senegaranya, Ederson kini mendahului senarai penjaga gol paling banyak mencatatkan clean sheet dalam saingan Premier League dengan kedua-dua mereka merekodkan 15 clean sheet.

Liverpool cemerlang mengutip tiga mata penuh dari American Express Community Stadium selepas menewaskan Brighton 2-0.

Kemenangan ini meletakkan mereka hanya tiga mata sahaja dibelakang Manchester City dengan kedua-dua pasukan sepertinya bakal bersaing hingga akhir musim untuk menentukan siapa Juara.

Luiz Diaz cemerlang membuka tirai jaringan seawal minit ke-19 permainan selepas bintang Colombia itu menanduk masuk bola hantaran Joel Matip.

Beliau walau bagaimanapun tumbang selepas menanduk bola tersebut kerana dirempuh oleh Sanchez di dalam kotak penalti Brighton.

Sanchez terselamat dari layangan kad merah namun kebanyakan peminat merasakan penjaga gol Brighton itu patut dibuang padang kerana kekasaran yang beliau lakukan.

Selepas merujuk VAR, Mike Dean tidak menghukum Sanchez dan perlawanan diteruskan seperti biasa.

Pada minit ke-60, Liverpool telah dihadiahkan sepakan penalti selepas bola rembatan Naby Keita terkena tangan Bissouma.

Mohamed Salah tampil untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut, dan beliau cemerlang meledak gol kedua Liverpool dalam perlawanan ini.

BACA:Β  Tumbuk Bola Masuk Gol Sendiri, Alisson Bantu West Ham Leburkan Rekod Tanpa Kalah Liverpool