Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mendakwa kritikan terhadap prestasi David De Gea ketika bermain untuk Sepanyol berpunca daripada Iker Casillas.
Walaupun tidak menamakan Casillas secara jelas, beberapa petunjuk yang diberikan Mourinho jelas merujuk kepada penjaga gol Porto itu.
Sejak menyertai Manchester United pada tahun 2011, De Gea berjaya meletakkan dirinya tergolong dalam kalangan penjaga gol terbaik dunia. Namun begitu, sejak kebelakangan ini, De Gea gagal membawa prestasinya ketika mewakili kelab ke pentas antarabangsa. Paling mencuri perhatian adalah persembahan De Gea ketika Piala Dunia 2018 lalu yang berakhir dengan Sepanyol tersingkir seawal pusingan kedua di tangan tuan rumah, Russia.
Terbaru, De Gea sekali lagi menjadi mangsa kritikan pihak tertentu selepas Sepanyol melepaskan gol pada minit terakhir untuk memberikan kemenangan kepada Croatia dalam aksi UEFA Nations League. Keputusan tersebut menyebabkan Sepanyol gagal melangkah ke pusingan separuh akhir dengan England berjaya menjuarai kumpulan.
Walaupun tidak beraksi dengan baik, De Gea masih menerima sokongan daripada rakan sepasukan dan jurulatih Sepanyol, Luis Enrique.
Selain itu, bekas kapten Sepanyol dan Real Madrid, Iker Casillas mendedahkan beliau sentiasa bersedia untuk bermain dengan Sepanyol jika khidmatnya diperlukan. Walaupun sudah mencecah usia 37 tahun, Casillas masih belum bersara dari pentas antarabangsa dan bersedia untuk bermain jika dipanggil Enrique.
Walau bagaimanapun, niat murni Casillas untuk membantu Sepanyol tidak diterima baik Mourinho. Pengurus berasal dari Portugal itu mendakwa Casillas merupakan punca mengapa De Gea menerima kritikan daripada sesetengah pihak di Sepanyol.
“Mengapa kritikan terhadap De Gea datang dari Sepanyol sahaja ? Kamu tahu ? Saya tahu. Kerana ada seseorang yang amat berkuasa yang mahu kembali bermain dengan skuad kebangsaan. Tetapi saya rasa agak sukar untuk individu tersebut kembali kerana perlu bersaing dengan penjaga gol terbaik dunia.”
“Kritikan itu bukan datang dari jurulatih Sepanyol. Saya kenal sangat jurulatih [Luis Enrique]. Saya dan beliau kawan baik.”
Walaupun enggan menamakan individu tersebut, Mourinho memberi petunjuk dengan berkata individu tersebut pernah memenangi trofi bersama beliau.
“Ya, saya suka beliau. Jurulatih Sepanyol juga suka beliau. Saya menjadi juara bersama beliau.”
Casillas dan Mourinho pernah bersama di Real Madrid suatu ketika dahulu dimana mereka berjaya memenangi La Liga pada tahun 2012. Hubungan Mourinho dan Casillas bukanlah selalu baik. Mereka pernah bergaduh pada satu ketika sehingga Mourinho meletakkan Casillas di bangku simpanan dan memasukkan Diego Lopez. Tidak lama kemudian, Casillas berpindah ke Porto untuk beraksi lebih kerap dalam kesebelasan utama.