Mufti Wilayah Harap Ekor Harimau Malaya Pamer Akhlak Yang Baik Kepada Tetamu

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Jurulatih pasukan Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe telah menyenaraikan 23 pemain yang mampu menggalas tugas menentang dua pasukan jiran yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

1. Malaysia vs Thailand – 14 November 2019 (Khamis)

2. Malaysia vs Indonesia – 19 November 2019 (Selasa).

Perlawanan Malaysia menentang Thailand dan Indonesia ini menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah bagi kedua-dua perlawanan. Perlawanan minggu hadapan menentang Indonesia dijangka panas teruk.

Semua sedia maklum bahawa Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri merupakan seorang peminat bola sepak dan juga penyokong tegar Liverpool.

Sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telan memberi sedikit nasihat dan pedoman buat pemain Malaysia dan juga penyokong.

Buat pemain Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri doakan kejayaan dengan memberi yang terbaik dengan mempamerkan jiwa yang besar dan tidak mudah merendah diri.

Kepada penyokong Harimau Malaya jagalah adab dan tunjukkanlah akhlak yang baik kepada pemain dan juga penyokong pasukan pelawat lalu menjadi contoh yang tebaik.

Berikut merupakan nasihat Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri seperti mana dipetik dari laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan :

Kepada Harimau Malaya:

“Kami doakan semoga anda semua dapat mempamerkan permainan terbaik dan sepenuh hati. Contohilah, semangat lagenda kita, Allahyarham Mokhtar Dahari, sentiasa bersemangat memberikan aksi yang terbaik beliau bagi menjulang nama Malaysia. Apa jua yang berlaku, anda membawa nama Malaysia. Maka, usah biarkan titisan peluh anda mengalir dengan sia-sia.”

“Para pemain juga harus berjiwa besar dan tidak pantas merendah diri dengan lawan yang mungkin mempunyai reputasi yang lebih baik daripada kita. Contohilah sifat para tentera Islam dahulu, walaupun dipandang enteng oleh dunia saat itu, mereka berperang dengan penuh bersemangat hingga berjaya mengalahkan tentera Rom dan Parsi yang mempunyai reputasi yang hebat ketika itu.”

Kepada “Ekor” Harimau Malaya:

“Andalah hakikatnya pemain ke-12 Harimau Malaya. Amat diharapkan supaya kita dapat menjaga adab dan mempamerkan akhlak yang baik kepada para pemain dan penyokong pasukan pelawat nanti. Sokonglah sejiwa murni, elakkanlah provokasi, biarlah kita dicontohi dan disegani.”

“Semoga dengan asbab akhlak yang baik kita nanti, kemenangan akan berpihak buat Harimau Malaya. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi contoh yang terbaik yang akhirnya mengharumkan nama Agama dan Negara di mata dunia.”

Ini bukan kali pertama Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyeru penyokong Harimau Malaya supaya menampilkan akhlak yang baik.

Selepas Malaysia bangkit menewaskan Indonesia beberapa bulan lalu, nasihat yang sama telah diberikan.

“Di kesempatan ini juga ingin kami gunakan untuk menyeru seluruh penyokong Harimau Malaya untuk tampil dengan akhlak yang baik saat kita sebagai Tuan Rumah melayan penyokong pasukan pelawat nanti.”

“Ketinggian akhlak kita cerminan ketinggian mentaliti rakyat berkelas tinggi dunia. Contohilah akhlak dan kebesaran jiwa Baginda Rasulullah SAW. Semoga ukhuwah Islamiyah kita akan terus subur. Insya Allah.”

BACA:  Peminat Tegar Liverpool Dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)