Chelsea dilaporkan bersedia untuk menawarkan pemain tengah paling menakutkan tetapi paling comel di muka bumi, N’golo Kante kontrak baru yang sangat mewah dengan bayaran gaji £290,000.00 seminggu.
Tukaran semasa £290,000.00 = RM1,546,149.68 je.
Berdasarkan laporan dari The Times, The Blues telah menawarkan kontrak baru kepada bagi menghalang sebarang percubaan memikat Kante dari juara liga Perancis, Paris Saint-Germain yang dikhabarkan sangat ghairah dengan aksi pemain genit itu.
Pemain yang menerima gaji paling tinggi di Stamford Bridge ketika ini adalah pemain sensasi Belgium, Eden Hazard yang menjadi buruan gergasi Sepanyol, Real Madrid menerima bayaran sebanyak £220,000.00 seminggu.
Chelsea dilaporkan akan menawarkan kontrak baru selama lima tahun yang bernilai £15 juta setahun. Jika kontrak ini dimeterai maka, N’golo Kante bakal menikmati gaji berganda berbanding sekarang dan memotong Hazard sebagai penerima bayaran tersedap.
Tukaran semasa £15 juta = RM79,970,000.00 je.
Tuesday’s TIMES Sport: “Chelsea make Kanté £290k top earner” #bbcpapers #tomorrowspaperstoday pic.twitter.com/q4JDlWtX7h
— Allie Hodgkins-Brown (@AllieHBNews) July 30, 2018
Chelsea sudah pasti tidak akan membenarkan Kante meninggalkan Stamford Bridge dan akan sedaya upaya mengekalkan pemain itu jika Kante meminta untuk berpindah.
N’golo Kante segera mempamerkan kehebatan dan menyerlahkan potensi yang ada pada dirinya sebagai pemain yang disukai di Premier League sejak tiba di England untuk bersama Leicester City dari pasukan League 1, Caen dengan harga £5.6 juta pada 2015.
Kante telah membentuk ‘holy trinity’ bersama Riyad Mahrez dan Jamie Vardy di Leicester City lalu mencipta kisah dongeng dalam sejarah ketamadunan bola sepak dunia apabila memacu The Foxes menjuarai Premier League buat pertama kali dalam sejarah kelab pada musim pertamanya.
Leicester City pada musim sebelumnya hampir saja tersingkir ke liga bawahan namun bangkit untuk kekal di Premier League dengan penuh penyeksaan. Setahun kemudian mereka muncul juara di bawah rejim Claudio Ranieri.
Kebolehan dan kerja keras Kante yang mempunyai 18 piston dan 6 Karburator sentiasa menjana tenaga di bahagian tengah padang tanpa lelah sama ketika menyerang atau diserang.
Chelsea terus mendapatkan Kante untuk menjana pasukan mereka dengan yuran perpindahan yang sangat berbaloi, £30 juta dan Kante nyata tidak mengecewakan apabila memberi Chelsea kembali mengecap kejuaraan liga pada musim pertamanya bersama The Blues.
Konsistensi dan aksi energetik Kante yang tidak mengenal erti penat apatah lagi lelah membolehkan beliau menjana pasukan Perancis muncul juara Piala Dunia 2018 Russia buat kali kedua dalam sejarah Perancis.
Pengurus Perancis, Didier Deschamps telah menyifatkan Kante sebagai ‘Elemen Penting’ dalam membantu Perancis membawa pulang Trofi Jules Rimet. Kante telah bermain semua perlawanan di Piala Dunia bersama Les Bleus.
The Men's PFA Players' Player of of the Year goes to….@ChelseaFC's @nglkante! Congratulations! #PFAawards pic.twitter.com/fK64Op8MVH
— Professional Footballers' Association (@PFA) April 23, 2017
N’Golo Kante juga mencipta sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Sepanjang Tahun oleh Persatuan Pemain Professional (PFA Player of the Year) selepas membantu Chelsea muncul juara.
Kante yang hanya berketinggian 169cm membuktikan bahawa dalam bola sepak, saiz bukan ukuran, di mana sepanjang dua musim berturut-turut, Kante telah merampas bola daripada lawan lebih banyak daripada pemain lain.
Kante muncul sebagai pemain pertama memenangi liga Perdana Inggeris bersama dua pasukan berbeza berturut-turut. Kedatangan Kante ke Chelsea ternyata telah mengubah destini pasukan biasa-biasa ini yang sebelum itu menamatkan liga di tangga kesepuluh.
Posisi Kante
Secara alaminya, Kante bermain di posisi tengah, atau lebih tepat lagi holding midfielder. Peranan holding midfielder ialah berada di belakang pemain tengah yang lain, tetapi di hadapan barisan pertahanan.
Posisi ini juga dinamakan sebagai ‘Makalele role’ – diberi nama sempena Claude Makalele yang cemerlang bersama Real Madrid dan Perancis suatu ketika dahulu.
Tugas Kante ialah memenangi bola yang menuju ke arah pertahanan pasukan, dan mulakan serangan pantas di kala pihak lawan masih lagi belum bersedia untuk menerima hentakan serangan.
Kelebihan yang dimiliki Kante
Selain betis berurat dan teman wanita yang cantik, Kante mempunyai banyak kelebihan untuk bermain di posisi ini. Kepantasan, stamina yang tinggi dan ketajaman akalnya membaca permainan lawan menyumbang kepada prestasi cemerlangnya di atas padang.
Lebih menarik, dalam setiap perlawanan Kante bagaikan berada di segenap penjuru padang dek tenaga dimiliknya.
Ada ketika Kante akan membawa bola dari kawasan sendiri sehingga ke kotak penalti pasukan lawan, dan ada kalanya Kante akan menghantar bola kepada rakan terdekat selepas memenangi bola.
Bagi Kante, tugas utamanya ialah menjaga dan menyenangkan urusan barisan pertahanan ketika diasak dan urusan serangan diambil alih oleh pemain di bahagian atas.
Kante di Leicester
Danny Drinkwater menjadi gandingan Kante di Leicester di hadapan Wes Morgan dan Robert Huth di pertahanan tengah. Gandingan dua pemain ini ibarat membina Tembok Besar Negeri China di hadapan pertahanan dan setiap hantaran pihak lawan boleh diibaratkan seperti hantar bola ke dinding, pasti akan berpatah kembali.
Dengan ini, pemain di jabatan serangan –Shinji Okazaki, Jamie Vardy, Riyad Mahrez dan Marc Albrighton dapat bergerak bebas dengan keperluan minimum untuk membantu pertahanan.
Hasilnya, Vardy bebas menjaringkan gol sesuka hati dan Mahrez menggelecek bagaikan tarian Misty Coppeland.
Kante di Chelsea
Prestasi cemerlang di Leicester menjadi pendorong buat pengurus baharu Chelsea, Antonio Conte untuk membeli Kante, selain sebutan nama mereka berdua yang hampir sama.
Kante-Conte. Conte-Kante.
Setelah menyertai Chelsea, posisi Kante dikekalkan di holding midfielder di bawah Antonio Conte, dan tidak ditukar kepada penjaga gol, dan digandingkan dengan Nemanja Matic, pemain yang berasal dari Serbia di bawah formasi 3-4-3 Conte.
Namun tugas Kante tidak banyak berubah di mana dia fokus kepada mempertahankan barisan pertahanan dan sekali sekala mebantu bahagian serangan. Setakat ini, gandingan Kante bersama Matic amat serasi sekaligus meletakkan Chelsea di takhta liga menjelang tahun baru.
Dengan kehadiran Kante juga, Eden Hazard – yang mempunyai satu percubaan tepat sepanjang musim lalu – bagaikan mati hidup semula. Hazard cukup cemerlang musim ini dengan Sembilan gol dan satu bantuan gol.