‘Papa’ Perez Sasar Dapatkan Neymar & Mbappe Bagi Menghadapi Musim Hadapan

Presiden Real Madrid, Florentino Perez berkata Zinedine Zidane boleh menggunakan ‘kabel’ Perancis beliau untuk membawa masuk Kylian Mbappe ke Santiago Bernabeu pada musim panas nanti.

Zidane membuat keputusan mengejut untuk kembali memangku jawatan pengurus Real Madrid selepas bersetuju dengan permintaan Perez untuk ‘membetulkan’ kembali keadaan kelab yang berada dalam porak peranda.

Zidane kembali selepas hampir 9 bulan menganggur.

Bersama-sama Cristiano Ronaldo, Zidane melepaskan jawatannya dan meninggalkan Santiago Bernabeu selepas membantu kelab tersebut mememangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali ke-3 berturut-turut dan kejuaraan Eropah ke-4 dalam tempoh 5 tahun.

Perez melantik pengendali Sepanyol pada ketika itu, Julen Lopetegui sebagai pengganti Zidane tetapi ia tidak berkekalan lama kerana keputusan yang tidak memuaskan pada awal musim.

Santiago Solari dibawa masuk untuk menjawat jawatan pengurus buat sementara tetapi keputusan di dalam padang masih lagi tidak memuaskan. Kemuncaknya adalah tersingkirnya Real Madrid dari Liga Juara-Juara Eropah di tangan Ajax selepas mereka dibelasah 4-1 di hadapan penyokong sendiri dalam perlawanan timbal balik minggu lepas.

Bukan sorang, tapi dua-dua. Jaga-jaga PSG

Selain itu, kegagalan Real Madrid untuk mencari pemain bertaraf ‘Galactico’ untuk menggantikan Cristiano Ronaldo juga dianggap antara punca mengapa pasukan itu bergelut dengan masalah prestasi musim ini.

Mesej S.O.S dari Perez disambut baik oleh Zidane dan legenda Perancis itu berjanji akan membawa angin perubahan baru ke dalam skuad Los Blancos sebaik sahaja jendela perpindahan musim panas dibuka tidak lama lagi.

Tambah menghangatkan lagi pasaran, Perez turut memberi bayangan Real Madrid akan berbelanja besar untuk cuba menandatangani dua bintang Paris Saint-Germain, iaitu Neymar dan Kylian Mbappe.

Ketika bercakap dalam majlis memperkenalkan Zidane sebagai pengurus baru Real Madrid, Perez berkata beliau akan membawa masuk Neymar dan  Mbappe ke Real Madrid jika diberi peluang untuk berbuat demikian.

“Zidane berasal dari Perancis, sama seperti Kylian Mbappe. Mungkin Zidane mampu melakukan sesuatu mengenainya, ye dak ? Apa yang perlu kami lakukan sekarang adalah untuk menamatkan musim ini  dengan baik dan bersedia untuk menghadapi cabaran musim hadapan.”

Apabila ditanya mengenai Neymar dan Mbappe, ini jawapan ‘Papa’ Perez.

“Saya akan ambil kedua-duanya !”

Dalam perkembangan yang sama, Zidane turut memberikan sedikit gambaran mengenai rancangannya dalam jendela perpindahan pemain yang akan datang.

“Sekarang kami perlu menamatkan musim dengan baik dan bersedia untuk musim hadapan.”

Real Madrid bakal melalui perubahan besar-besaran. Banyak pemain mungkin akan dijual

“Kami akan bermula esok. Sudah tentu saya akan mengubah beberapa perkara. Kami perlu mengubah sesuatu demi menghadapi cabaran tahun-tahun hadapan.”

“Tetapi sekarang bukan waktu untuk bercakap mengenai perkara itu. Perkara paling mustahak adalah saya sudah kembali.”

“Saya akan duduk berbincang dengan presiden, kami akan berbincang mengenai perkara yang kelab ini mampu lakukan.”

“Kami mempunyai baki 11 perlawanan lagi dan kami mahu menamatkan musim ini dalam cara yang terbaik, bermula dengan perlawanan pada hari Sabtu nanti.”

BACA:  Mourinho: Mbappe Lebih Bernilai Daripada Messi & Ronaldo