Pasukan Republik Czech mencipta kejutan terbesar setakat ini dalam kempen Euro 2020 selepas menewaskan pasukan Belanda yang bermain dengan 10 pemain dua gol tanpa balas dan belas kasihan.
Perlawanan pada separuh pertama lebih dikuasai Belanda namun mereka bagaikan segan untuk menjaringkan gol, dengan Czech sekali sekala memberikan ancaman ke gol Belanda.
Pada awal separuh masa kedua, Belanda terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas pertahanan tengah mereka, Matthijs de Ligt dilayangkan kad merah kerana menampan bola dengan menggunakan tangan bagi menghentikan serangan Republik Czech.
Pada minit ke-68, Tomas Holes muncul di tempat yang betul pada waktu yang betul dan menjaringkan gol yang betul, di mana dia menanduk bola dari jarak dekat di dalam kotak penalti Belanda.
Belanda cuba bangkit mencari gol penyamaan namun pada minit ke 79, kapen Gini Wijnaldum melakukan kesilapan dan memberikan bola kepada penyerang sensasi Republk Czech, Patrik Schick.
Tidak pedulikan pemain Belanda yang mengejarnya, Schick dengan tenang merembat bola leret melepasi jangkauan Martin Stekelenburg lantas menjadikan kedudukan 2-0, dan kekal sehingga ke wisel penamat sekaligus menghumban Belanda keluar daripada cabaran Euro 2020.
What was De Ligt thinking 😅#EURO2020 pic.twitter.com/zFwYJut3vx
— FIFA 21 Daily (@FIFA21Daily) June 27, 2021
Gol tersebut merupakan gol yang keempat buat Schick dalam kejohanan ini, sekaligus mencuri tumpuan ramai. Di sebalik kecemerlangannya dalam kempen Euro tahun ini, ramai yang tidak tahu bahawa pemain ini pernah hampir putus asa dalam bola sepak dan mahu menjadi model seperti kakaknya, Kristyna Schickova.
Selain menjadi model, Kristyna juga mempunyai butik pakaian di Prague, yang menggunakan nama Be S.CHIC.K.
Bakat Patrik mula dikesan oleh kelab di kampungnya Sparta Prague ketika dia berusia 11 tahun, dan ketika dia membesar di kelab tersebut, Schick pernah berdepan tempoh sukar dalam bola sepak dan membuatkannya terfikir untuk berhenti bermain dan menjadi seorang model.
Schick mengalami fasa kemurungan di awal penampilan professionalnya bersama Sparta di mana dia sekadar beraksi sebanyak empat perlawanan dalam musim pertamanya pada 2015-16. Ketika inilah Schick mula terfikir untuk meninggalkan dunia bola sepak, dan mengikut jejak langkah kakaknya ke dunia glamour di depan kamera.
Nasibnya baik apabila dinasihatkan teman di sekeliling dan ahli keluarganya supaya keluar dari Sparta dan mencuba kelab baharu. Hal ini kerana Sparta ketika itu dibarisi pemain yang bagus dan mereka muncul sebagai pencabar kejuaraan liga. Jadi amat sukar buat Schick untuk menembusi barisan kesebelasan utama pasukan.
Demi mencari masa bermain yang mencukupi, Schick berhijrah ke kelab jiran Sparta, Bohemians 1905 secara pinjaman dan dari situ dia mula menyinar di mana dia menjaringkan lapan gol dalam 28 penampilan.
Pada tahun 2016, kelab Serie A, Sampdoria mula mengintai pemain ini dan terus membawa Schick ke pentas liga bola sepak tertinggi Itali. Semusim bersama Sampdoria, Schick telah menjaringkan 11 gol dalam 32 perlawanan di mana dia hanya berada dalam kesebelasan utama sebanyak 14 kali.
#Euro2021(Patrik Schick)
Czech Republic Vs Scotland54 yard Goal –
(Longest Goal Ever!)#UnbelievableThis Breathtaking Feat
👌👍👏🏻😊⚽⛹️♂️ pic.twitter.com/QiZ1ehFsZj— Madhu_10 (@maadhumenon) June 20, 2021
Dek kecemerlangannya, Schick ditawarkan kontrak baru berjangka masa panjang oleh Sampdoria namun ditolak pemain ini, lantas membuka pintu kepada kelab lain untuk membelinya, termasuk Juventus.
Pada awalnya Juventus telah bersetuju dengan harga €30 juta yang ditetapkan Sampdoria namun malang buat Schick apabila dia gagal menyertai kelab gergasi Turin tersebut selepas tidak lulus pemeriksaan kesihatan.
Walaubagaimanapun, Schick akhirnya meninggalkan juga Sampdoria dengan menyertai AS Roma secara pinjaman dengan pilihan pembelian kekal, pada bulan Ogos 2017. Malang buat Schick kerana dia banyak digunakan di posisi sayap kanan, bukan di posisi kegemarannya sebagai penyerang.
Selama dua musim menyarung jersi Roma, Schick sekadar merakamkan lapan jaringan dalam 58 perlawanan, lantas mengubah hala tuju kariernya ke Jerman bersama RB Leipzig secara pinjaman semusim. Berganding bersama Timo Werner di bawah kendalian Julian Nagelsmann, Schick menemukan rentaknya kembali apabila menjaringkan 10 gol dalam 28 perlawanan, menjulang pasukan ke tangga ketiga Bundesliga dan layak ke pusingan separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA.
Pada bulan September 2020, Schick secara rasminya menyertai pasukan Bayer Leverkusen dengan nilai perpindahan sebanyak €26.5 juta. Musim pertamanya bersama Leverkusen menyaksikan dia menjaringkan 10 gol dalam 28 penampilan, dan membawa Leverkusen menamatkan saingan liga di tangga keenam.
Ketajamannya dalam menjaringkan gol membuatkan dia menjadi pilihan utama jurulatih Republik Czech, Jaroslav Šilhavý, untuk membawa cabaran pasukan negara bekas Czechoslovakia tersebut.
🇨🇿 Patrik Schick has now scored 4 of the Czech Republic's 5 goals at EURO 2020 🔥🔥🔥#EURO2020 pic.twitter.com/ZEYQStC4Ix
— UEFA EURO 2020 (@EURO2020) June 27, 2021
Dalam perlawanan pertama menentang Scotland, Schick telah menjaringkan dua gol, termasuk satu gol ajaib dari tengah padang yang berpotensi untuk menjadi gol terbaik kejohanan dan juga memenangi anugerah Puskas. Perlawanan tersebut menyaksikan Schick muncul pemain pertama Republik Czech yang menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan di kejohanan utama sejak kali terakhir dilakukan oleh bekas bintang Arsenal, Tomas Rosicky dalam Piala Dunia 2006.
Namun, nilai gol tersebut tidak akan dapat menandingi nilai gol Schick ketika Republik Czech menenggelamkan kapal perang Belanda di pusingan 16-pasukan.
Nasib baik Schick dikelilingi orang yang nak tengok dia main bola. Kalau tidak, kita tak dapat saksikan kehebatan pemain berketinggian 190 cm ini di pentas Euro. Mungkin Denmark bakal menjadi mangsa Schick seterusnya, dalam usaha mereka mengulangi pencapaian pasukan kebangsaan Republik Czech pada Euro 2004, di mana mereka layak sehingga peringkat separuh akhir, sebelum dikejutkan Greece yang kemudiannya muncul juara selepas menewaskan Portugal.
Sumber : Daily Star, Wikipedia