Paulo Dybala Sah Akan Tinggalkan Juventus Pada Hujung Musim, Senarai 7 Kelab Bersaing Untuk Dapatkannya

Ketua Pegawai Operasi Juventus, Maurizio Arrivabene telah mengesahkan bahawa pemain sensasi, Paulo Dybala bakal meninggalkan kelab Turin tersebut selepas kontraknya tamat pada penghujung musim nanti.

Dybala telah mengadakan rundingan dengan pihak pembesar kelab berkenaan gaji baharunya selama beberapa bulan kebelakangan ini dengan masa depannya kelihatan tidak berapa jelas di kelab tersebut.

Walaubagaimanapun, segalanya tampak jelas pada hari Isnin apabila pemain Argentina tersebut telah menolak untuk menandatangani tawaran terbaru Juventus dan akan meninggalkan kelab pada musim panas nanti.

“Perubahan yang paling penting adalah apa yang dibincangkan pada hari ini [Isnin]. Juventus tidak perbaharui kontrak bersama Dybala – ini adalah perubahan yang berlaku sejak Oktober sehingga hari ini,” jelas Arrivabene.

“Dengan ketibaan Vlahovic, aspek teknikal, pasukan dan projek juga telah berubah. Sebahagian daripadanya adalah berkaitan dengan kontrak Dybala yang tidak akan diperbaharui pada hari ini.

“Perjumpaan pada hari ini adalah sangat baik, jelas dan penuh hormat. Bagi pihak Juve, bukan mudah untuk kami tawarkan gaji yang rendah dan itu sangatlah tidak menghormati Paulo. Dia sudah habiskan tujuh tahun bersama kami, ini adalah satu penghormatan untuknya.

“Keputusan telah diambil, kami pun dah fikir masak-masak tapi satu perkara yang kami nak jelaskan: pengurusan Juventus bukanlah membuat keputusan yang menentang Juventus, tapi demi kebaikan Juventus.”

Dybala akan meninggalkan legasi yang sangat indah di Turin. Dia menyertai kelab hitam putih tersebut dari Palermo pada tahun 2015 dan telah membantu kelab memenangi beberapa kejuaraan.

Pemain ini telah menjulang lima kejuaraan liga berturut-turut antara 2016 dan 2020, serta membantu pasukannya layak ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA pada tahun 2017, sebelum tewas kepada Real Madrid meskipun Mario Mandzukic telah menjaringkan gol yang menakjubkan dalam perlawanan tersebut.

Dengan sahnya perpisahan Dybala dan Juventus ini, beberapa kelab utama di Eropah dikatakan sedang berlumba untuk mendapatkan tandatangan pemain ini.

Chelsea

Kelab ini merupakan antara beberapa kelab Liga Perdana Inggeris yang bersaing untuk mendapatkan Dybala, namun dengan krisis yang berlaku ke atas kelab yang tidak nampak jalan penghujungnya, agak mustahil pemain ini akan terbang melintasi Selat Inggeris dan bermain di Stamford Bridge.

Lagi pula, pasukan The Blues mempunyai pemain di bahagian serangan yang mencukupi seperti Kai Havertz – yang bermain di posisi yang sama dan jauh lebih muda serta tidak berapa kerap mengalami kecederaan.

Arsenal

Seperti Chelsea, Arsenal juga sudah mengadakan perbincangan secara terbuka dengan ejen Dybala dan juga seperti Chelsea, mereka juga berkemungkinan besarnya tidak akan membawa pemain ini ke London.

Dengan Gunners yang kini lebih fokus untuk menandatangani pemain yang lebih muda dan mampu berkembang di kelab tersebut, berbanding Dybala yang kini sudah berusia 28 tahun dan mungkin hanya mempunyai lima tahun sahaja dalam kariernya.

Manchester City

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris ini adalah antara sebilangan kelab yang pernah berbincang dengan ejen pemain Argentina ini.

Dari satu segi, Dybala akan menjadi tambahan yang bagus buat Pep Guardiola. Tetapi memandangkan pengurus tersebut sudah mempunyai 50 pemain yang mampu bermain seperti Dybala, maka kemungkinan besar kelab biru Manchester ini juga tidak akan membawa pemain ini ke England.

Inter Milan

Mungkin sukar untuk melihat seteru utama Juventus ini mendapatkan Paulo Dybala, tetapi khabar angin kencang yang bertiup telah mengatakan bahawa Internazionale Milan ini berminat untuk memberikan tawaran kontrak kepada penyerang ini.

Jika ini berlaku, mungkin ini bermakna Lautaro Martinez terpaksa ditunjukkan jalan keluar. Lagipun, penyerang Inter tersebut dikatakan menarik minat beberapa kelab seperti Tottenham Hotspur, Manchester City dan Arsenal sebelum ini. Malah Gunners dikhabarkan telah cuba membida Martinez pada musim panas 2021.

Tottenham Hotspur

Pasukan London Utara ini begitu hampir mendapatkan Dybala pada tahun 2019 dan kali ini mereka mungkin boleh mencuba sekali lagi.

Tambahan pula, Spurs mempunyai hubungan yang baik dengan Juventus di mana kelab Turin tersebut pernah menjual pemain seperti Rodrigo Bentacur dan Djan Kulusevski dengan bekas pengarah Bianconeri Fabio Paratici menjadi watak utama dalam menguruskan perpindahan tersebut.

Dari segi bola sepak, mungkin menyertai Spurs bukanlah satu tindakan yang bijak tapi kalau Spurs mampu untuk mendapatkan pemain ini secara percuma, mereka mungkin akan berusaha keras.

Manchester United

Sejak era Alex Ferguson tamat, kelab Syaithon Merah ini kerap kali membeli pemain yang mempunyai nama besar, namun sebaik sahaja jersi disarung segala jenis sumpahan dapat didengari daripada para penyokong.

Walaubagaimanapun, melihat kepada situasi semasa, penyerang seperti Dybala mungkin akan menjadi tambahan yang berguna kepada pasukan yang semakin tidak tentu hala haluannya ini.

Dengan Martial yang dihantar ke Sepanyol secara pinjaman berkemungkinan besarnya tidak akan kembali ke Old Trafford, Edinson Cavani akan meninggalkan kelab dan Marcus Rashford dikaitkan dengan perpindahan keluar juga, Manchester United mungkin terpaksa menambah kuasa serangan dalam jendela perpindahan pada musim panas nanti.

Lagi pula, Dybala pernah berganding dengan Cristiano Ronaldo dan mungkin gandingan mereka berdua pada kali ini akan benar-benar menjadi pemusnah kepada pasukan lawan pada musim depan nanti.

Paris Saint Germain

Paulo Dybala boleh dikatakan pemain yang sangat sesuai untuk Paris Saint Germain. Penyerang sensasi ini adalah pengganti yang ideal kepada Kylian Mbappe yang dilihat akan menyertai Real Madrid.

Tambahan pula, Dybala sudah maklum dan faham corak permainan Leo Messi memandangkan mereka bermain bersama-sama dalam pasukan kebangsaan Argentina – itupun kalau Messi masih lagi bermain untuk pasukan ibu kota Perancis tersebut memandangkan terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa dia berminat untuk kembali ke Barcelona pada musim panas nanti.

Sumber :

Dybala pindah
Senarai kelab

BACA:  Kerana Kecewa Dipinggirkan, Dybala Mungkin Angkat Kaki Dari Juventus Januari Ini