Pecahan Harga Jentera RM300,000 Yang Bakal Ditunggang Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus

Dua jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom bakal turun dan memulakan aksi di sukan Olimpik Tokyo 2020, dengan sasaran pingat emas pertama dalam sejarah negara.

Kedua-dua pelumba negara ini bakal memulakan aksi mereka dalam acara pecutan individu pada hari Rabu, 4 Ogos, pukul 2.30 petang waktu Klang Selatan.

Dalam membantu atlet kesayangan Malaysia ini, ISN telah berkolaborasi dengan TotalSim Limited dari United Kingdom, dan menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) sejak tahun 2018, demi menghasilkan jentera berteknologi tinggi yang sesuai dengan Azizulhasni dan juga Shah Firdaus, dengan kos keseluruhan sekitar RM13juta.

Pada masa yang sama, skinsuit khas yang dicipta daripada 40,000 bahan juga turut dihasilkan. Skinsuit Vorteq ini mampu meningkatkan prestasi pelumba dengan memfokuskan kepada meninggikan lagi kelebihan marginal.

Dengan memakai skinsuit berteknologi tinggi ini, rintangan dan geseran dengan udara dapat dikurangkan, selain membantu pelumba mengekalkan kedudukan mereka di basikal.

Skinsuit berteknologi tinggi dipakai Jijoe dan Firdaus.

Itu cerita skinsuit. Dalam bab jentera juga tidak kurang hebatnya.

Basikal yang bernilai sekitar RM300,000 serba satu ini direka khas untuk pelumba itu sendiri. Jentera ini direka dengan menekankan teknologi aerodinamik dan berat fizikal bagi menyesuaikan dengan karakter pelumba. Dengan kata lain, rekaan basikal untuk Azizulhasni adalah berbeza dengan basikal yang direka untuk Shah Firdaus.

Azizulhasni, atau lebih dikenali sebagai Jijoe, sebelum ini bagaimanapun mengatakan nilai basikal itu sebenarnya lebih rendah dan tidak semahal nilai yang diuar-uarkan di dalam media.

Pelumba yang berusia 33 tahun ini berkata, pihak pasukan Malaysia yang menguruskan projek ini memang sengaja meletakkan harga yang dianggap tidak masuk akan dengan tujuan untuk melindungi teknologi yang dihasilkan ini daripada digunakan oleh pihak lain, terutamanya pasukan pencabar di Sukan Olimpik.

“Kita sudah buat pelaburan semua, mana boleh kita bagi orang lain guna macam itu saja. Sebab itu, pihak yang menguruskan projek ini meletakkan harga yang tidak masuk akal, memang sengaja mereka letak harga macam itu,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

“Mereka letak harga tinggi supaya orang lain tidak beli sebab orang akan fikir tidak masuk akal. Ini sedikit rahsia yang saya boleh kongsikan.

“Namun, perkara ini menjadi tumpuan dari sudut lain pula apabila semua mengatakan yang basikal Malaysia paling mahal sehingga boleh beli kereta tetapi yang sebenarnya adalah kita mahu elak orang lain daripada membelinya.”

Menurut Jijoe lagi, pasukan seperti Jerman, Great Britain, Australia, Jepun dan beberapa negara lain sudah mula melakukan R&D sejak sekian lamanya, dalam menghasilkan basikal yang sesuai untuk pelumba masing-masing.

“Jerman adalah negara yang pertama dan sudah lama melakukan projek seperti ini, diikuti oleh Great Britain.

“Malaysia pula baru bermula pada 2017 tapi sebenarnya kita ni boleh dianggap sudah terlambat.

“Ketika Olimpik London 2012 dan Rio 2016, kita sebenarnya ada kemampuan untuk menang.

“Kita kalah sebab beberapa faktor dan salah satunya adalah peralatan. Sebab itu kita mulakan projek ini,” ujar Jijoe yang menang pingat gangsa dalam temasya di Brazil pada tahun 2016.

Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCO) sebelum ini telah meletakkan syarat bahawa semua basikal yang akan digunakan di Olimpik perlulah dijual di pasaran. Jadi, kalau basikal Azizulhasni dan Firdaus ini dijual di pasaran, adakah harganya RM300,000?

Satu akaun YouTube, GCN Tech telah berkongsi pecahan harga komponen jentera yang digunakan oleh dua pelumba negara ini. Channel yang bertapak di United Kingdom ini cukup maklum dengan dunia berbasikal di mana mereka banyak berkongsi tips penjagaan basikal, dan informasi tentang dunia berbasikalan ini.

Memperkenalkan model Vorteq WX-R, jentera yang digunakan oleh Jijoe, mereka mengatakan harga basikal ini adalah bernilai £60,000 – basikal paling mahal di dunia.

Pengulas yang dikenali sebagai Jon dan Ollie ini telah melawat kilang yang menghasilkan dan menguji basikal yang paling mahal dalam dunia setakat ini.

Menurut mereka, basikal yang didatangkan dalam dua variasi saiz – M dan L – ini dibina sepenuhnya dengan bahan carbon fiber, dengan rangka utama ataupun frame yang berhaga £25,000 (RM147,000). Harga ini boleh dikatakan sebagai harga yang munasabah kerana proses penghasilannya yang sangat rumit dan diuji dalam terowong angin, cetakan 3D dan melalui pelbagai ujian aerodinamik.

Rangka basikal paling mahal di dunia.

Fork basikal pula berharga £5000 (RM29,400). Walaupun mempunyai kawasan depan (frontal area) yang paling rendah, fork ini masih mampu membekalkan kekuatan dan ketegaran yang diperlukan oleh pelumba di peringkat tinggi.

Dari segi pengendalian pula, handle bar yang direka membantu membentuk aliran udara yang lebih aerodinamik di sekitar tangan dan lengan ketika basikal ditujah pada keljuan tinggi. Dari segi lebar pula, handle bar  ini agak sempit dengan panjang 30cm sahaja dan harganya adalah £10,000 (RM58,800).

Handle bar yang agak ciput

Rim yang dipasang di WX-R ini bukanlah rim biasa yang boleh dibeli di kedai basikal Ah Seng, di mana rim yang digunakan adalah jenis yang direka khas. Rim ini juga tidak menggunakan gandar di luar, sebaliknya gandar diletakkan di dalam fork dengan diameter 12 milimeter. Lebar rim pula adalah 32 milimeter. Harganya? £6000 (RM35,290). Itu baru harga untuk tanyar depan sahaja.

Rim depan basikal

Untuk rim belakang, harganya juga £6000 (RM35,290).

Untuk cincin rantai (chain ring) pula, harganya adalah £120 (RM700) sekeping, manakala sproket pula berharga £20 (RM120), jenama Shimano Dura-Ace.

Pedal kayuhan pula jenis SRM Power yang dijual pada harga £2000 (RM11,800). Pedal jenis ini mampu memberikan impak tujahan yang tinggi dan memberikan kelajuan maksimum buat pelumba, mengikut kekuatan peha dan betis masing-masing.

Apalah erti sebuah cinta tanpa kesetiaan, begitulah perumpamaan sebuah basikal tanpa rantai. Rantai yang digunakan adalah berharga £120 (RM700), jenis UFO Racing Track.

Tayar pula bernilai £135 (RM800) serba satu, jenama Pista khas untuk perlumbaan trek. Jangka hayat tayar ini hanyalah 50 km.

Secara kesimpulannya, harga setiap komponen adalah seperti berikut :

Rangka – RM 147,000
Fork – RM29,400
Handle bar – RM 58,800
Rim depan – RM35,290
Rim belakang – RM35,290
Chain ring – RM700
Sproket – RM120
Pedal – RM11,800
Rantai – RM700
Tayar depan – RM800
Tayar belakang – RM800
JUMLAH KESELURUHAN – RM320,700.00

Semoga dengan adanya jentera berprestasi tinggi ini, Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus mampu membawa pulang pingat emas pertama dalam sejarah tanah air, sekaligus mencipta sejarah besar dalam arena sukan negara.

BACA:  Keirin Adalah Sasaran Pingat Sebenar, Sprint Adalah Acara Pemanas Badan - John Beasley