Video : Rangkuman Aksi Datuk Azizulhasni dan Shah Firdaus

Dua jaguh lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom telah berjaya menempatkan diri dalam pusingan suku akhir atau 1/8 acara pecutan di Velodrome Izu. Walaubagaimanapun, kejayaan ini tidak datang dengan mudah di mana kedua-dua pelumba negara ini terpaksa melalui pusingan repechage sebanyak dua kali.

Acara yang berlangsung selepas Zohor tadi dimulakan dengan pusingan pecutan kelayakan, di mana kesemua 30 pelumba terlebih dahulu perlu memecut sejauh 200m dan cuba mencatatkan masa terbaik. Selepas kesemua pelumba selesai memecut laju, seramai 24 pelumba yang mencatatkan masa terpantas layak ke pusingan kalah mati 1/32.

Dalam pusingan kelayakan, pelumba Great Britain, Jack Carlin terlebih dahulu mencipta rekod baru sukan Olimpik dengan catatan masa 9.306 saat dengan kelajuan purata 78.133 km/j.

Walaubagaimanapun, rekod Olimpiknya tidak kekal lama apabila dipecahkan dua pelumba Belanda, Jeffrey Hoogland dan Harrie Lavreysen, di mana kedua-dua mereka mencatatkan masa yang sama – 9.215 saat, dengan kelajuan purata 78.133 km/j.

Datuk Azizulhasni merekodkan masa 9.626 saat, dengan purata kelajuan 74.797 km/j dan berada di kedudukan ke-17, manakala Shah Firdaus pula berada di tempat ke-23, dengan catatan masa 9.700 saat, berkelajuan puarata 74.227 km/j.

Kedudukan akhir dalam kelayakan ini menjadi rujukan dalam susunan carta pertemuan, dengan pelumba paling laju bertemu pelumba yang paling perlahan.

Disebabkan itu, Shah Firdaus terpaksa berdepan dengan Harrie Lavyersen – pelumba di tangga kedua yang juga juara dunia ketika ini. Tidak gentar, Shah Firdaus turun dengan taktik mengikuti Lavyersen terlebih dahulu sebelum mula memecut dalam pusingan terakhir.

Walaubagaimanapun, Lavyersen muncul pemenang  dengan catatan masa 10.005 saat, dengan jurang masa hanya +0.063 saat oleh Shah Firdaus. Dengan kata lain, jarak antara dua pelumba ini tidak sampai satu tayar pun.

Dengan kemenangan tersebut, Lavyersen terus mara ke pusingan 1/16, dan Shah terpaksa melalui pusingan repechage.

Tidak lama kemudian, giliran Azizulhasni pula turun dalam pusingan 1/32 di mana dia berhadapan dengan pelumba Great Britain, Jason Jenny yang menamatkan saingan kelayakan di tangga kelapan.

Seperti Shah Firdaus, Azizulhasni juga memulakan aksi dengan mengekori rapat lawan dan selepas loceng dibunyikan, The Pocket Rocketman ini mula menghenjut laju. Akan tetapi sayang seribu kali sayang, Jason Kenny muncul pemenang dengan Azizulhasni sedikit sahaja di belakangnya, sekaligus memaksa jaguh Malaysia ini ke pusingan repechage.

Dalam perlumbaan pusingan repechage1/32 saringan 1, Azizulhasni berhadapan dengan cabaran daripada Kevin Santiago Quintero Chavarro dari Colombia dan Ethan Mitchell dari New Zealand.

Seperti biasa, Azizul hanya mula menggenggam handle selepas loceng dibunyikan dan terus memecut laju meninggalkan dua pencabarnya, dengan catatan masa 10.056 saat, merekodkan purata kelajuan 71.599 km/j.

Selesai tugas Azizulhasni, giliran Shah Firdaus pula turun dalam pusingan repechage ini, menentang Hugo Barette dari Kanada dan Mateusz Rudyk dari Poland.

Tidak memberi ruang, Shah Firdaus memecut laju sebelum memasuki pusingan terakhir dan sampai ke garisan penamat dengan jarak dua tiang api antara kedua-dua pencabarnya. Masa yang dicatatkan Shah Firdaus adalah 9.667 saat, dengan kelajuan 74.480 km/j.

Dalam pusingan 1/16, Shah Firdaus terlebih dahulu turun menentang pelumba Great Britain, Jack Carlin. Tanpa memberi peluang, Carlin terus menggungguli perlumbaan ini dengan catatan masa 9.884 saat, dengan beza +0.132 saat oleh Shah Firdaus, sekaligus membuatkannya terpaksa berlumba di pusingan repechage sekali lagi.

Sebaik tamat perlumbaan Shah Firdaus, giliran Azizulhasni pula melayan pelumba dari Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul. Mungkin tersalah rentak, Azizulhasni gagal memotong Paul yang mencatatkan masa 9.798 saat dan juga terpaksa berlumba di pusingan repechage sekali lagi.

Dalam pusingan repechage 1/16, Shah Firdaus berdepan pelumba Poland, Patryjk Rajkowski. Sebaik perlumbaan bermula, Rajkowski bagaikan cuba bermain serangan mental kepada Shah Firdaus sehingga pada satu masa, pelumba Poland ini menghentikan basikalnya dengan harapan Shah Firdaus akan memotongnya.

Pada awalnya, Shah Firdaus layan juga perangai mat saleh ni, tetapi bosan menunggu, Shah Firdaus mula mengorak kayuhan memotong lawan. Rajkoswki kemudiannya kembali memotong Shah Firdaus dan mengayuh ke kiri ke kanan bagaikan tayar belakang basikalnya berada dalam keadaan gelong.

Sampai satu ketika, ketika pelumba Poland ini cuba membuat aksi kelakar lagi, basikalnya terlanggar basikal pelumba Malaysia dan menyebabkannya terjatuh.

Perlumbaan dihentikan sementara para commissaire berbincang sama ada menyalahkan Shah Firdaus atau tidak.

Sementara menunggu mesyuarat tersebut, Azizulhasni tampil beraksi terlebih dahulu, menentang pelumba Kanada, Nick Wammes. Masih menggunakan taktik mengekori dari belakang, Azizulhasni pada suatu ketika ketinggalan agak jauh namun sebaik loceng dibunyikan, dia terus memecut laju dan memotong pelumba Kanada ini, menamatkan saingan dengan catatan masa 10.131 saat.

Tidak lama kemudian, Shah Firdaus sekali lagi turun menentang pelumba Poland, Rajkowski, selepas mendapat pelepasan daripada para commissaire. 

Sebelum perlumbaan dimulakan, Rajkowski dilihat merenung tajam pelumba negara dengan harapan nak bagi Shah Firdaus kecut perut. Tapi ternyata dia tak kenal anak Melayu yang pantang dicabar.

Membalas renungan tajam tersebut, Shah Firdaus tidak termakan permainan psikologi lawannya. Sebaik perlumbaan dimulakan, Shah Firdaus mengekori pelumba ini dan sebaik loceng dibunyikan, jaguh negara ini terus menghenjut laju dan meninggalkan lawannya dengan catatan masa 10.317 saat, dengan Rajkowski di belakang kira-kira setengah tiang lampu.

Perlumbaan pusingan 1/8 akan bersambung esok dengan Azizulhasni bakal bertemu jagoan Belanda, Jeffrey Hoogland, manakala Shah Firdaus juga bakal bertemu seorang lagi pelumba Belanda, Harrie Lavreysen yang menewaskannya dalam pusingan 1/32 hari ini.

Mungkin esok Shah Firdaus akan dapat membalas kekalahannya pada hari ini, siapa tahu, kan?

BACA:  Air Mata Aizulhasni Menitis di Tokyo, Hanya Tahu Isteri Mengandung Anak Ketiga Selepas Tamat Acara Keirin