Pemain Manchester United Terkejut Kerana Solskjaer Bagi Cuti Seminggu

Para pemain dan staff Manchester United terkejut dan bingung selepas pengurus kelab, Ole Gunnar Solskjaer memberi mereka cuti rehat selama satu minggu.

Saingan peringkat kelab ditangguhkan seketika untuk memberi ruang kepada para pemain terlibat bersama skuad kebangsaan masing-masing.

Sebilangan besar pemain dari skuad Manchester United pada ketika ini turut terlibat dengan skuad kebangsaan masing-masing untuk beraksi dalam saingan kelayakan Piala Dunia.

Walau bagaimanapun, pemain seperti Raphael Varane, Jadon Sancho, Mason Greenwood, Aaron Wan Bissaka, Phil Jones, Alex Telles, Donny Van de Beek dan Juan mata merupakan antara pemain dari skuad utama yang tidak terlibat dengan tugasan antarabangsa.

Walaupun masih ramai pemain yang tinggal, namun Solskjaer tetap memutuskan untuk memberi cuti rehat kepada anak-anak buah dan staff United selama satu minggu.

Hal ini dikatakan telah menyebabkan ramai pihak yang terkejut dan pada masa sama turut bingung memikirkan mengapa beliau memutuskan hal tersebut.

Ia bermaksud 16 pemain yang tidak terlibat dengan skuad kebangsaan tidak perlu lapor diri untuk menjalani sesi latihan ketika rehat antarabangsa ini.

Bahkan, Ole Gunnar Solskjaer sendiri juga dikatakan tidak akan turun ke padang latihan Carrington sepanjang cuti satu minggu yang beliau berikan kepada semua anak-anak buahnya itu.

Pengurus sensasi Manchester United itu dikatakan terbang ke negara asalnya, Norway dengan jurugambar sempat mengambil gambar Solskjaer, isterinya, Silje dan anaknya Noah dan Elijah berada di lapangan terbang Manchester untuk terbang ke Kristiansund.

Raphael Varane perlu menjalani sesi rawatan kerana beliau sedang bergelut dengan masalah kecederaan hamstring, dan beliau akan sering berada di AON training Complex sepanjang rehat antarabangsa ini.

Sementara Marcus Rashford pula dikatakan bakal menjalani sesi latihan secara bersendirian selepas nama beliau disingkirkan dari skuad utama England, untuk aksi kelayakan Piala Dunia bertemu Albania dan San Marino.

United telah tewas dalam enam dari 12 perlawanan terakhir mereka, termasuk kekalahan memalukan bertemu Liverpool dan Manchester City dalam saingan Premier League di Old Trafford.

Setan merah akan berkunjung ke Vicarage Road pada 20 November nanti, untuk turun beraksi bertemu Watford dalam aksi saingan Premier League.

Ole Gunnar Solskjaer sepertinya akan tetap menjadi pengurus Manchester United dalam perlawanan tersebut, dan kedudukan beliau di Old Trafford masih selamat.

Ole masih selamat (setakat ini)

Selepas kekalahan memalukan 5-0 bertemu Liverpool di halaman sendiri, para peminat menggesa pihak kelab supaya memecat pengurus dari Norway itu.

Selepas pimpinan kelab mengadakan rundingan, mereka memutuskan untuk mempertimbangkan cadangan memecat Ole Gunnar Solskjaer.

Terdapat pelbagai laporan pada ketika itu yang menyatakan bahawa United sedang berunding dengan Antonio Conte untuk menggantikan tempat Solskjaer.

Bekas pengurus Inter Milan itu sendiri sudah bersetuju untuk menerima tawaran dari Manchester United dan bersedia untuk terus mengendalikan setan merah.

Sir Alex Ferguson kemudiannya tampil memberi sokongan kepada Ole Gunnar Solskjaer dengan pihak kelab kemudiannya bersetuju untuk beri pengurus dari Norway itu peluang untuk buktikan sesuatu dari tiga perlawanan setan merah.

Tiga perlawanan tersebut adalah aksi kemenangan 3-0 menewaskan Tottenham Hotspur, aksi terikat 2-2 bertemu Atalanta dan aksi kekalahan 0-2 di tangan Manchester City.

Selepas tamat kesemua tiga perlawanan tersebut, masih tiada apa-apa pengumuman yang diumumkan oleh pimpinan kelab.

Terbaru, Sky Sports melaporkan yang Manchester United sudah mengeluarkan kenyataan yang mereka masih belum ada perancangan untuk mencari pengganti Ole Gunnar Solskjaer pada ketika ini.

Maka dengan itu, sepertinya kedudukan Solskjaer sebagai pengurus kelab masih selamat, dan beliau sudah tentu akan turun mengendalikan setan merah ketika aksi bertemu Watford nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Paolo Maldini Kini Calon Pilihan Utama Pengarah Sukan Man Utd