Pemilik Kelab Bola Sepak Maut Ditembak Ala Kartel Dadah Selepas Kekalahan

Presiden Tigres FC iaitu kelab Divisyen Dua Colombia, Edgar Paez maut selepas ditembak dipercayai kerja pembunuh upahan.

Motif pembunuhan bagaimanapun tidak jelas tatkala butiran kejadian mulai didedahkan.

Paez sebelum ini pernah bergelar Pengarah di Independiante Santa Fe, hadir menyaksikan perlawanan pasukannya menentang Atletico de Cali yang berkesudahan dengan kekalahan 3-2.

Menurut kenyataan pihak polis Paez sedang dalam perjalanan pulang bersama anaknya ketika kenderaan yang mereka naiki dihentikan oleh dua lelaki menggunakan motorsikal sebelum tembakan dilepaskan.

Perkhabaran mengenai kematian Paez mulai tersebar beberapa jam selepas tamat perlawanan di Stadium Techo di Bogota itu. Namun pada ketika itu tiada media berani mengesahkan insiden kejam tersebut.

Berita kematian Paez hanya disahkan oleh wartawan Oscar Ostos yang berkongsi butiran awal kejadian.

“Dua pemain kelab Tigres memaklumkan kepada saya Edgar Paez, iaitu presiden dan pemilik kelab di Bogota itu telah maut. Kejadian berlaku selepas perlawanan.

“Edgar bersama anak perempuannya ketika serangan, dan beliau dikejarkan ke Klinik Mederi selepas kejadian namun tiada apa yang boleh dilakukan oleh pasukan perubatan,” lapor Ostos.

Hanya selepas berita dikongsikan oleh Ostos disiarkan di Gol Caracol barulah kenyataan daripada pihak polis keluar dengan butiran lebih mendalam.

Menurut pihak polis, tiga tembakan yang menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian iaitu di bahagian thorax, leher dan kepala.

BACA:  Kenali Pemain Bola Sepak Paling Panas Baran Dan Terkotor Di Dunia Yang Memiliki Rekod 46 Kad Merah