Peminat Berdebat Berkait Video Haaland, Asli Atau Sunting?

Video Erling Haaland sedang menjalani latihan ‘shooting drill’ tular di media sosial pada ketika ini, dengan ramai yang bingung memikirkan adakah video itu benar atau sudah disunting.

Beliau melakukan aksi yang agak mustahil untuk dilakukan dengan sempurna oleh manusia biasa, melainkan beliau makhluk asing.

Bahkan, penyampai rancangan Match of The Day, Gary Lineker sendiri turut kagum dan terpukau melihat video itu, dengan beliau berkongsi video tersebut di laman twitter miliknya.

Dalam video berdurasi 0:38 saat itu, peminat boleh melihat Haaland sedang menyusun tiga biji bola secara bertingkat, dan ia jelas sekali satu hal yang sangat sukar untuk dilakukan.

Selepas berjaya menstabilkan kesemua bola untuk bertindih antara satu sama lain, Haaland melakukan satu hal yang lebih gila.

Beliau merembat satu demi satu bola tersebut, dan menyasarkannya ke arah sasaran yang diletakkan di penjuru sebelah atas gawang gol.

Beliau merembat satu demi satu bola tersebut, dan ajaibnya bola kedua dan ketiga langsung tidak bergerak selepas beliau merembat bola yang pertama.

Terlalu sempurna untuk dilakukan oleh manusia biasa, dan lebih masuk akal andai teknik itu disempurnakan dengan bantuan dari green screen.

Melihat kepada kesempurnaan teknik latihan Haaland, para peminat kemudiannya memperdebatkan hal itu dan ramai yang percaya ia sebenarnya hanya video suntingan.

Walau bagaimanapun, seandainya video itu benar-benar disunting oleh pasukan media Borussia Dortmund, ia jelas sekali menunjukkan yang mereka berjaya memperbodoh-bodohkan Gary Lineker.

Pemenang kasut emas Piala Dunia 1986 itu sebenarnya teramat sangat kagum melihat kemampuan Haaland dan beliau berkongsi video tersebut, dengan caption emoji terkejut.

Bukan hanya Gary Lineker sahaja yang terpedaya dengan video tersebut, bahkan, ketika artikel ini ditulis, video dari B/R Football itu sudah memperoleh lebih dari 32 ribu likes.

“Pada satu titik, saya rasa mahu mencari bukti untuk membuktikan yang dia sebenarnya dicipta dari sebuah makmal.”

“Macam mana dia boleh rembat bola itu, tanpa menggerakkan bola lain? Sungguh menakjubkan, adakah benar dia bukan manusia?”

“Saya rasa dia layak untuk dianggap pemain terhebat dunia, ketajaman dia memang menakjubkan, tengok saja macam mana tepat sasaran dia, walau bola itu disusun secara bertingkat.”

“Saya seolah dipukau, sangat sempurna. Hanya Haaland yang mampu lakukan hal ini.”

“Seumur hidup saya, belum pernah saya rasa kagum atau teruja melihat shooting drill seperti mana kagumnya saya melihat Haaland.”

Begitulah komen-komen dari para peminat yang jelas percaya video tersebut asli tanpa bantuan dari green screen.

Ada juga peminat yang menyamakan video Haaland itu sebenarnya sama saja dengan video Ronaldinho yang tular 15 tahun lalu.

Pada tahun 2006 yang lalu, video Ronaldinho mempromosikan boots Nike dengan beliau menimbang bola sambil merembat ke arah palang gol sebanyak lima kali berturut-turut tular.

Ramai peminat yang kagum dan terpegun melihat bagaimana tepatnya sasaran beliau menyasarkan palang gol, dan menariknya lagi, setiap bola yang terkena palang, akan kembali semula tepat ke arahnya.

Selepas bertahun-tahun, para peminat percaya dan kagum dengan skill legenda Brazil itu, dengan tiba-tiba ramai pula yang membongkar video tersebut sebenarnya sudah disunting.

Secara logiknya memang agak mustahil untuk seseorang melakukan hal seperti yang dilakukan oleh Haaland, dan andai benar ia video suntingan, sepertinya team media Bundesliga sangat kejam dalam memainkan perasaan peminat.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Man City Sudah Hampir Pasti Tandatangani Haaland Pada Musim Panas Nanti