Pereira Jaringkan Gol Volley Yang Luar Biasa Menakjubkan Untuk Man Utd Bertemu Brentford

Andreas Pereira dianggap menjadi jelmaan Paul Scholes selepas beliau menjaringkan gol volley yang super padu dari jarak 25 ela untuk Manchester United ketika bertemu Brentford.

Setan merah turun bertemu Brentford untuk aksi pra musim dan perlawanan tersebut berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.

Anthony Elanga berjaya membuka tirai jaringan untuk setan merah pada aksi babak pertama permainan dalam perlawanan yang dilangsungkan di Old Trafford itu.

Walau bagaimanapun, Brentford berjaya bangkit seminit selepas itu, menerusi Shandon Baptiste yang cemerlang meledak gol penyamaan untuk ikat kedudukan 1-1.

Pereira yang musim lalu menghabiskan masa dengan dipinjamkan untuk beraksi bersama Lazio dalam saingan Serie A, telah menghantar mesej yang jelas kepada Ole Gunnar Solskjaer bahawa beliau masih boleh lakukan sesuatu di atas padang.

Bermula dengan percubaan Jesse Lingard dari luar kotak penalti yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Brentford David Raya.

Ethan Pinnock kemudiannya menanduk keluar bola dari kotak penalti Brentford dan bola itu jatuh betul-betul di hadapan Pereira yang berada di luar kawasan D.

Pereira terus melakukan volley dengan bola rembatan padu beliau terus masuk ke dalam gawang gol Brentford tanpa mampu diselamatkan oleh sesiapa.

Pereira ketika aksi pra musim

Raya cuba bergerak, namun mungkin beliau sedar yang rembatan itu terlalu padu dan mustahil untuk diselamatkan, maka beliau hanya melihat sahaja bola tersebut masuk menerjah jaring gawang golnya.

Para peminat turut terpukau dengan jaringan dari bintang Brazil yang kini berusia 25 tahun itu, bahkan ramai yang menganggap gol tersebut sama persis seperti gol Paul Scholes ketika bertemu Aston Villa pada tahun 2006 lalu.

“Boleh dikatakan setiap kali pra musim, Andreas Pereira akan berubah menjadi Paul Scholes ketika waktu kemuncak! Ia memang satu hal yang menakjubkan.”

“Andreas Pereira menunjukkan kemampuan dia, dia sebenarnya memang boleh diharapkan. Sayang kalau dilepaskan pemain seperti ini.”

“Saya hilang kata-kata melihat jaringan itu, memang sungguh cantik dan menakjubkan, tapi sebaik dia jaringkan gol tu, sy terus sebut Scholes, sebab ia benar-benar mengingatkan saya pada legenda kelab.”

“Saya macam tak percaya kita semua akan lihat Pereira menjaringkan gol screamer seperti itu, tak pernah terfikir, selalunya kita akan berharap untuk tengok pemain seperti Rooney dan Scholes sahaja untuk jaringkan gol begitu.”

Walaupun Pereira berjaya menjaringkan gol yang sungguh luar biasa menakjubkan untuk United mendahului perlawanan, namun Brentford sekali lagi berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Brentford menyamakan kedudukan selepas Bryan Mbeumo meledak gol untuk memastikan pasukannya berjaya mengikat United 2-2.

Setidak-tidaknya ada peningkatan untuk skuad setan merah selepas mereka sebelum ini dikejutkan dengan kekalahan 4-2 ditangan Queens Park Rangers di Old Trafford.

Setan merah akan meneruskan kempen pra musim mereka selepas ini untuk beraksi bertemu Preston pada 31 Julai sebelum bertemu Everton pada 7 Ogos.

Peminat Manchester United tentunya sudah tidak sabar untuk melihat aksi musim baharu nanti memandangkan pasukan mereka dilihat berbelanja sakan pada jendela perpindahan musim panas ini.

Selepas melengkapkan perpindahan Tom Heaton dan Jadon Sancho, United ketika ini sedang melengkapkan perpindahan Raphael Varane dari Real Madrid.

Belum sempat pihak kelab mengumumkan Varane secara rasmi, United telah dikaitkan pula bakal menandatangani seorang lagi pemain full-back dan seorang lagi di posisi defensive midfielder.

Melihat kepada usaha yang ditunjukkan, tidak mustahil untuk melihat Ole Gunnar Solskjaer akan berjaya untuk menjulang Piala pertamanya bersama United musim hadapan.

Jika Andreas Pereira terus mempamerkan aksi cemerlang dan mendapat kepercayaan pengurus, tidak mustahil beliau akan turut berada dalam skuad utama setan merah musim hadapan.

Sumber: SB

BACA:  Andreas Pereira Melabel Van Dijk Dan Milner Pemain Paling Angkuh