Pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino memberi bayangan pembinaan stadium baru mungkin telah memberi impak negatif kepada peluang Spurs untuk memenangi piala dalam masa terdekat ini.
Sepanjang menguruskan Tottenham selama lebih 4 tahun, Pochettino masih lagi kempunan untuk memenangi sebarang trofi dan terbaru beliau terlepas satu lagi peluang keemasan untuk memenangi trofi pertamanya apabila Spurs tersingkir di tangan Chelsea dalam peringkat separuh akhir Piala Carabao beberapa hari yang lepas.
Pochettino sedar kekecewaan yang dihadapi peminat Spurs tetapi beliau mendakwa Spurs mampu memenangi trofi sekiranya mereka tidak berpindah ke Wembley sementara menunggu stadium baru siap.
“Kami sentiasa dekat untuk sampai ke langkah yang terakhir iaitu memenangi trofi tetapi untuk mencapai perkara tersebut merupakan perkara paling sukar.”
“Buat masa sekarang, pasukan ini memerlukan tolakan terakhir tetapi apa yang terjadi sekarang ? Kami bina dan terus membina dan selepas itu, White Hart Lane pon hilang.” Ujar Pochettino ketika bercakap kepada pemberita menjelang perlawanan Piala FA menentang Crystal Palace.
“Kami berpindah ke Wembley dan terdapat banyak keraguan mengenai nasib pasukan ini. Contoh terdekat adalah West Ham dalam musim pertama mereka bermain di Stadium London. Dan banyak perkara yang berlaku dalam proses pemindahan ke stadium baru yang menyebabkan evolusi pasukan ini untuk memenangi trofi terhenti.”
“Ingat, kami tidak pernah tewas dalam Liga Perdana Inggeris ketika beraksi di White Hart Lane dalam musim terakhir kami di sana.”
“Tiada siapa bercakap mengenai apa yang mampu berlaku jika kami bermain di Wembley untuk membina satu projek yang baru. Kami bukan bermain di Wembley untuk satu musim sahaja dan sekarang sudah hampir memasuki dua musim dan tiada siapa bercakap mengenainya.”
“Apabila Arsenal berpindah ke Stadium Emirates, orang bercakap mengenai masalah besar yang dihadapi mereka dan sekarang pon mereka masih merasainya.”
Bekas pengurus Southampton dan Espanyol itu juga berkata Spurs sebenarnya tidak mempunyai sejarah sebagai sebuah pasukan yang memenangi trofi tetapi beliau percaya kelab tersebut sedang menuju ke arah yang betul di bawah kendaliannya.
“Kadang kala kami lupa dari mana kami datang hampir 4 tahun setengah yang lalu. Ia merupakan kesalahan pertama dilakukan peminat di luar sana.”
“Tottenham akan berada di tahap yang sama seperti Manchester United, Manchester City dan Chelsea. Saya harap ia akan berlaku pada masa hadapan. Tetapi kadang kala kami lupa dari mana kami datang dahulu.”
“4 tahun setengah yang lalu, apabila saya tiba di sini, peminat merayu supaya pasukan ini menjadi lebih kompetitif. Mereka merayu untuk berada dalam Liga Juara-Juara Eropah untuk menarik masuk pemain yang bagus.”