Pochettino: Hanya Soal Masa Chelsea Akan Keluar Dari Hutan Tebal

Mauricio Pochettino menekankan Chelsea masih dalam proses membina sesuatu yang istimewa dan percaya pasukan itu akan menghasilkan keputusan yang lebih positif apabila tiba masanya.

Kenyataan daripada pengurus kelahiran Argentina itu tiba selepas Chelsea dikejutkan oleh Nottingham Forest di tempat sendiri pada malam tadi.

Berdasarkan statisik perlawanan Chelsea memiliki 75.9% penguasaan bola dan menghasilkan 21 percubaan menentang Forest.

Walaupun demikian Chelsea tetap tewas dalam perlawanan tersebut selepas Anthony Elanga menjaringkan gol tunggal perlawanan yang memberikan kemenangan pertama untuk Forest di Stamford Bridge sejak Januari 1995.

Ia juga kemenangan pertama Forest ke atas Chelsea sejak 1997. Tersangatlah lama tempoh itu.

Walaupun membelanajkan £419 juta pada jendela perpindahan musim panas lalu untuk pemain baharu, Chelsea setakat ini hanya merekodkan satu kemenangan daripada 4 perlawanan yang sudah dilalui setakat ini.

Realitinya jumlah tersebut adalah lebih tinggi daripada jumlah yang pernah dibelanjakan oleh Pochettino selama lima musim dan melangkaui 11 jendela perpindahan ketika bersama Tottenham.

Walaupun kelab London itu telah membelanjakan lebih £1 juta sejak diambil alih oleh Clearlake Capital diketuai Todd Boehly, Pochettino kekal tenang dan enggan panik, dan hanya fokus untuk terus membina pasukannya yang mampu mencabar mana-mana lawan pada masa hadapan.

“Kami sangat tidak klinikal di kedua-dua bahagian (serangan dan pertahanan) menentang Nottingham Forest.

“Kami melakukan kesilaoan untuk gol (yang dibolosi) dan kemudian turut mencipta deretan peluang.

“Tetapi jika anda gagal menjaringkan gol, ia memang sukar untuk memenangi perlawanan,” kata pengurus Chelsea itu selepas perlawanan.

“Ya, anda boleh berkata kami tidak cukup bagus, tetapi di dalam bola sepak statistik boleh memberi bayangan apa yang anda sedang bina. Dan kali ini kami gagal menjaringkan gol dan hanya menghasilkan beberapa cubaan tepat sepanjang perlawanan,” tambah Pochettino lagi.

Kekalahan terbaru ini jelas mengecewakan penyokong The Blues yang hadir menyaksikan perlawanan di Stamford Bridge.

Cemuhan dan teriakan ‘booooooooooooooooooooooooooooooooooooooooooooooo’ yang panjang jelas kedengaran selepas tamat perlawanan, petanda jelas penyokong menuntut kemenangan daripada Pochettino dan anak buahnya.

Tiada siapa boleh mempersalahkan penyokong yang memberi reaksi sedemikian rupa. Sukar untuk membayangkan sebuah pasukan yang merekodkan perbelanjaan tertinggi di Eropah pada jendela perpindahan musim panas ini sesat di dalam hutan belantara belakang rumah sendiri.

BACA:  Roman Abramovich Sahkan Akan Jual Chelsea dan Lupuskan Hutang Hampir $2 Bilion