Premier League 2020/21: Manchester United 3-1 Burnley

Manchester United meneruskan rentak cemerlang di Premier League apabila menewaskan Burnley 3-1 sekaligus mencatatkan kemenangan kelima secara berturut-turut dan tujuh kalau kira perlawanan Europa League sekali.

Keajaiban dan kecemerlangan Manchester United hadir selepas khabar angin bertiup kencang bahawa Ole Gunnar Solskjaer akan dipecat selepas tewas kepada Leicester City di suku akhir FA Cup.

Ketika rehat untuk perlawanan antarabangsa lalu hampir saban hari berita pemecata Ole berkumandang dan Ole hanya akan selamat jika menjuarai Europa League.

Seperti biasa Ole akan menjadi genius dan tidak kalah dalam 8 perlawanan selepas itu dengan 7 kemenangan dan sekali seri dalam semua kejohanan.

Aksi meyakinkan dipamerkan Manchester United selepas kemenangan ke atas Tottenham Hotspur di mana bola disuap sebanyak mungkin ke kotak penalti dan Edison Cavani hanya perlu menahan kaki atau kepala sahaja.

Perlawanan menentang Burnley ini menyaksikan kembalinya Marcus Rashford bagi menyumbang bakti dan mempamerkan skil gelecekan yang sia-sia seperti selalu.

Manchester United garang pada separuh masa pertama dengan deretan peluang dicipta namun tiada satu pun yang mampu diterjemah sebagai jaringan.

Burnley yang berada dalam keadaan terdesak bagi menjarakkan mata dari zon penyingkiran bukan kaleng-kaleng dan mahukan kemenangan namun dinafikan sentuhan penyudah.

Edison Cavani masuk menggantikan Fred pada minit ke-46 untuk memberi sentuhan penyudah.

Tiga minit bersambung babak kedua, satu gol hasil gerakan yang padu, genius dengan sentuhan penyudah yang mantap dari Mason Greenwood terhasil.

Hantaran Marcus Rashford kepada Bruno Fernandes menyaksikan satu acahan dilakukan pemain Portugal itu seakan mahu membuat rembatan.

Namun itu hanya satu dummy di mana Bruno Fernandes membiarkan bola lalu diantara dua kakinya yang menuju kepada Mason Greenwood yang tidak dikawal.

Tiada ubat cok rembatan kaki kiri Mason Greenwood.

Kurang dua minit kemudian, Burnley menyamakan kedudukan dari sepakan penjuru yang diambil oleh Ashley Westwood yang tepat mencari kepala James Tarkowski.

Harry Maguire cuba mencabar namun bahu Maguire telah ditekan James Tarkowski yang mahu melonjak lebih tinggi dan menewaskan Dean Henderson.

Gol penyamaan James Tarkowski ini merupakan gol ke-1000 Manchester United lepaskan atau dibolosi di Premier League.

Selepas itu perlawanan menjadi sendu dengan tiba-tiba sehinggalah Donny Van De Beek masuk menggantikan Marcus Rashford pada minit ke-84.

Sejurus selepas Donny Van De Beek masuk ke padang, Mason Greenwood menggandakan kedudukan selepas menerima bola hantaran cantik Paul Pogba.

Rembatan Mason Greenwood telah terbias kaki pemain Burnley dan Bailey Peacock-Farrell tertewas buat kali kedua.

Ini merupakan kali kedua Mason Greenwood menjaringkan dua gol dalam perlawanan Premier League sepanjang karier dan telah menjaringkan empat gol dalam tiga perlawanan terakhir.

Ketika permainan hampir tamat, Edison Cavani turut mencatat nama selaku penjaring dengan satu tolakan mudah menyempurnakan hantaran Donny Van de Beek.

Dengan kemenangan ini, Manchester United hanya lapan mata dibelakang Manchester City dan seakan ada sinar semula untuk mengejar gelaran juara.

Dengan 6 perlawanan berbaki masih ada 18 mata untuk dikejar dan jika Manchester City meneruskan kesenduan harapan Setan Merah semakin cerah.

Manchester United (4-2-3-1): Henderson; Wan-Bissaka, Lindelof, Maguire, Shaw; Fred, McTominay; Pogba, Fernandes, Rashford; Greenwood. Subs: De Gea, Cavani, Mata, James, Telles, Matic, Williams, Van de Beek, Tuanzebe.

Burnley (4-5-1): Peacock-Farrell; Lowton, Tarkowski, Mee, Taylor; Cork, Westwood, Brownhill, Gudmundsson, McNeil; Wood. Subs: Norris, Stephens, Rodriguez, Pieters, Bardsley, Vydra, Nartey, Dunne, Richardson.

Referee: Jon Moss (West Yorkshire)

BACA:  Hikmah Kewujudan Bruno Fernandes Di Manchester United