Radja Nainggolan ‘Digantung Selama-Lamanya’ Selepas Kantoi Merokok

radja nainggolan merokok

Setiap sedutan membawa padah, merokok membahayakan kesihatan, itulah padah menimpa Radja Nainggolan apabila ‘Digantung Selama-Lamanya’ oleh Royal Antwerp selepas kantoi merokok dibangku simpanan sebelum perlawanan.

Merokok dan Radja Nainggolan sudah sinonim dan bukan lagi rahsia untuk peminat bola sepak namun ada batasnya tambahan pula bagi seorang ahli sukan profesional.

Pemain tengah berusia 34 tahun itu, yang menghabiskan sebahagian besar kariernya di Itali, menandatangani perjanjian dua tahun dengan kelab Divisyen Satu Belgium, Antwerp pada musim panas ini selepas kontraknya dengan Inter Milan ditamatkan atas persetujuan bersama.

Tetapi perkara tidaklah berjalan lancar seperti dirancang untuk Radja Nainggolan dalam kepulangannya yang sangat dinanti-nantikan ke Belgium amgkara sikap sendiri.

Minggu lalu, Radja Nainggolan dilaporkan ditangkap pihak berkuasa kerana memandu dengan lesen memandu yang telah tamat tempoh, menurut Reuters.

Dan pada hari Ahad, pemain tengah berpengalaman itu dilihat dan kantoi menghisap e-rokok sambil duduk bangku simpanan.

Dia disenaraikan di bangku simpanan untuk kekalahan 3-1 menentang Standard Liege dan gol daripada William Balikwisha, Denis Dragus dan Cihan Canak mengesahkan kemenangan penting buat pasukan tuan rumah.

Tindakan Nainggolan pula telah menyebabkan Royal Antwerp menggantung pemain itu selama-lamanya kerana ‘kelakuan am’ yang memberi gambaran buruk kepada kelab.

Satu kenyataan di laman web Royal Antwerp berbunyi:

“Kelab mengadakan perbincangan dengan Radja Nainggolan mengenai tingkah laku umumnya dan bagaimana ini memberi kesan kepada kelab dan pasukan.”

“Kelab telah memutuskan untuk menggantung Radja daripada pasukan A buat selama-lamanya. Baik pemain mahupun kelab tidak akan membuat sebarang komen lanjut mengenai perkara ini.”

Walaupun kenyataan kelab telah dikeluarkan bahawa tiada kenyataan lanjut akan dibuat mengenai perkara ini, Nainggolan telah memberi komen mengenai hukumannya di laman Instagram.

“Kelab telah membuat keputusan yang sepatutnya saya terima walaupun saya fikir itu terlalu berat. Tetapi saya akan cuba memberi sumbangan dengan cara yang lain.”

Buat sementara ini Royal Antwerp telah menggantung Radja Nainggolan tanpa batas waktu yang mungkin akan berakhir sehingga tamat kontraknya selama dua tahun.

Atau mungkin Radja Nainggolan akan berdepan dengan pemecatan atau ditamatkan kontrak dengan persetujuan bersama.

Dalam temu bual dengan France Football pada Oktober, bekas pemain AS Roma itu menjelaskan mengapa pemain bola sepak harus dibenarkan menghisap rokok.

“Saya orang biasa, bukan budak jahat kerana kebanyakan orang melabelkan saya begitu,” katanya.

“Saya boleh berjalan di kawasan kejiranan yang paling teruk dan hidup dengan cara biasa. Saya boleh mendapatkan layanan yang diberikan oleh kebanyakan pemain, tetapi ia tidak bermakna saya mencarinya.”

“Saya membeli-belah di pasar raya, saya boleh minum segelas [alkohol] dan menghisap rokok dengan tenang.”

“Seorang pemain bola sepak boleh merokok, walaupun dia tidak melakukan kerja ‘biasa’. Menyembunyikan satu perkara bermakna anda mempunyai perkara lain untuk disembunyikan.”

Agak tinggi dan penuh falsafah kata-kata Nainggolan agar pemain bola sepak diberi kebenaran untuk merokok.

Hakikatnya ramai pemain dan pengurus bola sepak yang merokok serta diketahui orang ramai, tiada langsung halang untuk pemain bola sepak untuk merokok walaupun sangat tidak patut.

Namun ada batasnya janganlah sampai kau pergi merokok di bangku simpanan.

Bekas jurulatih Belgium, Marc Wilmots agak bersahaja ketika ditanya oleh wartawan Sporza sama ada pemain utamanya, Pak Radja Nainggolan merokok ketika EURO 2016 dan pemain itu dibenarkan untuk merokok.

“Ya, Pak Radja merokok. Ia satu kebiasaan bagi mereka yang tinggal di Itali dan Perancis. Saya okay dalam hal ini asalkan dia cemerlang di padang.”

“Sebab itu jugalah saya akan meminta bilik yang mempunyai balkoni untuk Pak Radja untuk mengelakkan pengesan asap.”

Pada ketika itu Pak Radja dikemuncak karier dan khidmatnya ditagih lalu Wilmots tidak kisah akan perkara itu selagi cemerlang di padang.

BACA:  Bekas Bintang Belgium Radja Nainggolan Berhijrah Ke Liga 1 Indonesia