Selepas ‘Digantung Selama-Lamanya’ Kantoi Merokok, Nainggolan Kini Bergelar Ejen Bebas

radja nainggolan merokok

Selepas Pak Radja Nainggolan telah ‘digantung selama-lamanya’ oleh Royal Antwerp kerana kantoi merokok dibangku simpanan sebelum perlawanan kini Pak Radja sudah bergelar ejen bebas.

Radja Nainggolan kini bebas dari pergantungan apabila kontraknya bersama Royal Antwerp telah ditamatkan dengan persetujuan bersama.

Pemain berusia 34 tahun itu menandatangani perjanjian dua tahun dengan pasukan Divisyen Pertama Belgium pada Ogos selepas kontraknya dengan Inter Milan juga ditamatkan atas persetujuan bersama.

Jodohnya di The Great Old telah diputuskan selepas beberapa siri insiden. Sebelum itu, pada awal Oktober Radja Nainggolan dilaporkan ditangkap pihak berkuasa kerana memandu dengan lesen memandu yang telah tamat tempoh, menurut laporanReuters.

Dan beberapa minggu kemudian, selepas dia dinamakan di bangku simpanan untuk menentang Standard Liege, pemain tengah berpengalaman itu dilihat menghisap e-rokok sambil duduk di ruang rehat.

Dia disenaraikan di bangku simpanan untuk kekalahan 3-1 menentang Standard Liege dan gol daripada William Balikwisha, Denis Dragus dan Cihan Canak mengesahkan kemenangan penting buat pasukan tuan rumah.

Tindakan Nainggolan pula telah menyebabkan Royal Antwerp menggantung pemain itu selama-lamanya kerana ‘kelakuan am’ yang memberi gambaran buruk kepada kelab.

Satu kenyataan di laman web Royal Antwerp berbunyi:

“Kelab mengadakan perbincangan dengan Radja Nainggolan mengenai tingkah laku umumnya dan bagaimana ini memberi kesan kepada kelab dan pasukan.”

“Kelab telah memutuskan untuk menggantung Radja daripada pasukan A buat selama-lamanya. Baik pemain mahupun kelab tidak akan membuat sebarang komen lanjut mengenai perkara ini.”

Kini, dua bulan selepas insiden merokok dan digantung secara abadi tanpa batas waktu, bekas pemain Roma, Nainggolan bebas dan bukan lagi pemain Antwerp selepas kontraknya ditamatkan.

Pengerusi Royal Antwerp, Paul Gheysens mengesahkan berita itu kepada penerbitan Belgium Sporza, berkata:

“Dia tidak boleh bermain di sini lagi. Itu mustahil dalam kumpulan ini. Itu tidak bermakna kami akan berpisah dalam pergaduhan. Kami menyelesaikan segala-galanya secara baik.”

“Anda mempunyai pemain seperti Modric yang masih cergas pada usia 36 tahun dan anda mempunyai pemain yang tidak lagi menunjukkan prestasi yang baik pada usia 30 tahun. Radja adalah antara mereka.”

Paul Gheysens menambah:

“Saya rasa kisahnya tetap akan ditulis, walaupun berbakat, dari segi disiplin, dia tidak lagi mampu hidup sebagai atlet terkemuka.”

Walaupun telah mempamerkan kelakuan buruknya di Royal Antwerp, Paul Gheysens berkata Radja Nainggolan tidak akan ada masalah untuk mendapatkan kelab baru.

“Terdapat minat serius dari luar negara. Ia bergantung kepada dia dan keadaannya.”

Dalam temu bual dengan France Football pada Oktober, bekas pemain AS Roma itu menjelaskan mengapa pemain bola sepak harus dibenarkan menghisap rokok.

“Saya orang biasa, bukan budak jahat kerana kebanyakan orang melabelkan saya begitu,” katanya.

“Saya boleh berjalan di kawasan kejiranan yang paling teruk dan hidup dengan cara biasa. Saya boleh mendapatkan layanan yang diberikan oleh kebanyakan pemain, tetapi ia tidak bermakna saya mencarinya.”

“Saya membeli-belah di pasar raya, saya boleh minum segelas [alkohol] dan menghisap rokok dengan tenang.”

“Seorang pemain bola sepak boleh merokok, walaupun dia tidak melakukan kerja ‘biasa’. Menyembunyikan satu perkara bermakna anda mempunyai perkara lain untuk disembunyikan.”

Agak tinggi dan penuh falsafah kata-kata Nainggolan agar pemain bola sepak diberi kebenaran untuk merokok. Ketika dikemuncak karier dan khidmatnya ditagih pasti ramai akan menutup mata dengan tabiat buruk merokok ini.

Kini semuanya sudah berlalu di usia 34 tahun, Pak Radja pernah menjadi pemain berkelas dunia dan tergolong dalam generasi emas Belgium namun dengan pantas merudum.

BACA:  Nainggolan Yakin Mampu Singkirkan Liverpool Seperti Mereka Lakukan Ketika Menentang Barcelona