Reaksi Fornals Apabila Gol Hasil Bola Lencong Beliau Dianggap Gol Sendiri Alisson Becker

Pablo Fornals merupakan nadi penting West Ham sebalik kejayaan mereka menewaskan Liverpool 3-2 di London Stadium lewat malam semalam.

Bola lencong hasil sepakan penjuru beliau telah ditumbuk ke gawang gol sendiri oleh Alisson seawal minit ke-7 dalam perlawanan ini.

Fornals mengambil sepakan penjuru yang cantik sambil Alisson yang ketika itu diasak oleh Michail Antonio dan Angelo Ogbonna hanya mampu menumbuk bola tersebut masuk ke gawang golnya sendiri sahaja.

Ramai yang merasakan yang gol tersebut tak sepatutnya dianggap gol sendiri dan lebih patut diberikan kepada Fornals yang melakukan rembatan lencong cantik yang menghasilkan gol tersebut.

Walau bagaimanapun, Fornals turut berjaya untuk mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan ini pada aksi babak kedua permainan.

Trent Alexander Arnold berjaya mengikat kedudukan 1-1 menerusi sepakan percuma pada aksi babak pertama, dengan Fornals kembali membantu West Ham untuk mendahului 2-1.

Jarrod Bowen memainkan peranan penting sebalik kejayaan Fornals menjaringkan gol tersebut, dengan beliau bijak melihat ruang yang dimiliki oleh rakan sepasukannya itu sebelum membuat hantaran.

Tujuh minit kemudian, Kurt Zouma pula muncul sebagai penjaring gol untuk bantu West Ham mendahului perlawanan dengan keputusan 3-1 juga hasil dari sudut sepakan penjuru.

Divock Origi berjaya menjaringkan gol untuk Liverpool bangkit, namun ia sudah terlambat kerana The Reds gagal untuk menambah lagi gol lain selepas itu.

Keputusan 3-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan ia jelas sekali kemenangan yang paling menggembirakan untuk West Ham yang kini naik ke kedudukan ketiga dalam carta liga.

Selepas tamat perlawanan, dua penjaring gol West Ham, Fornals dan Zouma telah dipanggil oleh wartawan Sky Sports untuk ditemu bual.

Mereka bercakap tentang kepentingan untuk menang dalam perlawanan itu, dan wartawan turut bertanya kepada mereka tentang gol sendiri yang diberikan kepada Alisson Becker.

Pemain kebangsaan Sepanyol itu menunjukkan reaksi yang sungguh bijak dengan beliau sendiri percaya gol itu sepatutnya menjadi milik beliau sendiri.

“Saya rasa fikir logik sahaja. Alisson tak mungkin mahu untuk menjerut diri dia sendiri.”

Jelas Fornals.

“Tapi itu bukan masalah. Ia bukan gol Pablo Fornals, ia merupakan gol untuk West Ham dan kami menang 3-2 itu yang paling penting.”

Alisson sendiri tentunya akan turut sangat berharap agar gol tersebut diberikan terus kepada Fornals berbanding dianggap gol sendiri jaringan beliau.

Ia kerana beliau jelas sekali melalui malam yang sungguh mendukacitakan sepanjang perlawanan ini, dengan ada yang menyalahkan beliau untuk bertanggungjawab atas kesemua 3 gol yang Liverpool bolos.

Klopp anggap gol pertama West Ham tak sah

Jurgen Klopp menjadi individu paling tidak gembira selepas skuadnya, Liverpool berdepan dengan kekalahan pertama mereka musim ini di tangan West Ham.

The Reds dikejutkan dengan kekalahan 3-2 di tangan anak-anak buah David Moyes dan menyebabkan mereka turun ke kedudukan keempat dalam carta liga.

West Ham mendahului perlawanan menerusi gol sendiri jaringan Alisson Becker yang menumbuk bola sepakan penjuru dari Pablo Fornals ke gawang golnya sendiri.

Walau bagaimanapun, kem Liverpool tidak gembira dengan hal itu kerana mereka merasakan yang penjaga gol dari Brazil itu telah dikasari di dalam kotak sebelum bola menerjah jaring gawang gol.

Beberapa minit selepas itu, para pemain Liverpool meminta pengadil perlawanan untuk melayangkan kad merah kepada Aaron Cresswell kerana mengasari Jordan Henderson.

Namun pengadil perlawanan bersama VAR memutuskan untuk tidak memberi apa-apa amaran dan menganggap tiada masalah berkait insiden tersebut.

Trent Alexander Arnold berjaya menyamakan kedudukan pada aksi babak pertama perlawanan, namun West Ham berjaya menambah dua lagi gol pada aksi babak kedua permainan menerusi Fornals dan Kurt Zouma.

Divock Origi kemudiannya menjaringkan gol yang cukup cantik untuk Liverpool kembali mengejar, namun ia sudah terlambat untuk anak-anak buah Jurgen Klopp itu.

Selepas tamat perlawanan, Jurgen Klopp meluahkan rasa kecewa dan ketidakpuashatian beliau terhadap beberapa keputusan dalam perlawanan tersebut.

“Gol pertama itu ada kekasaran ke atas penjaga gol.”

Jelas Klopp kepada Sky Sports.

“Tangan dia halang tangan Alisson jadi macam mana seseorang boleh menangkap bola ketika seseorang tarik tangan dia. Ia langsung tak masuk akal. Ia alasan yang sudah sering digunakan oleh VAR yang mengatakan tak jelas dan keterlaluan, habis tu apa sebenarnya yang kamu perlu?”

“Apa yang Alisson boleh lakukan? Sebab tu penjaga gol dilindungi pada situasi itu. Jika pemain itu melompat dan tangan dia diangkat untuk menjaga gol ia adalah anggota badan paling penting, jadi kalau ia dihalang, macam mana dia nak buat save?”

“Orang akan kata saya mencari alasan, tapi sebenarnya tak. Saya terima yang tak begitu bagus untuk kalah dalam perlawanan bola sepak. Hari ini kami kalah, ia bukan hal yang baik tapi saya terima.”

“Tapi ketika kita bercakap tentang situasi dalam perlawanan, kita hanya perlu keputusan yang biasa sahaja dari pengadil. Tapi dia tak lakukan itu.”

“Cresswell? Bagi saya ia adalah cabaran yang keterlaluan. Walaupun dia ada menyentuh bola, kamu tak boleh masuk macam tu sebab macam-macam boleh berlaku. Kamu boleh kata dia sentuh bola tapi kamu perlu kawal badan kamu sendiri.”

“Kedua-dua situasi itu sangat memberi kesan dalam perlawanan, tapi pada akhirnya West Ham berjuang untuk tiga mata. Mereka tak bertanggungjawab atas keputusan pengadil dan VAR.”

“Ia kekasaran yang jelas terhadap Alisson, bagaimana dia boleh kata tak? Tangan Ogbonna ada di sana. Saya tak tahu siapa VAR hari ini.”

“Pengadil ambil mudah untuk mudahkan kerja dia, dan dia kata biar tunggu VAR putuskan, mereka kata tak jelas dan keterlaluan. Ia sangat pelik.”

Berkait cabaran dari Cresswell, Klopp kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan bahawa:

“Cara bagaimana saya lihat ia sangat jelas kad merah. Di situ sebenarnya tiada perbincangan yang diperlukan. Mereka akan kata kerana dia sentuh bola, tapi kekasaran melulu macam itu kamu memang boleh sentuh apa pun kamu mahu sebelum itu. Jika kamu kasari pemain lawan dengan mengangkat kaki terlalu tinggi, kamu tak boleh pergi macam ini untuk melakukan cabaran. Itu saja. Tapi kita mana boleh ubah semua keputusan itu.”

Kemenangan ini juga merupakan kemenangan pertama David Moyes bertemu Liverpool dengan beliau sebelum ini mencatatkan 10 kekalahan dan empat seri.

Sementara untuk West Ham pula, kemenangan ini merupakan yang pertama untuk mereka bertemu Liverpool sejak 11 pertembungan sebelum ini.

Sumber: GMS

BACA:  Liverpool Berdepan Krisis Penjaga Gol Menjelang Perlawanan Perisai Masyarakat Menentang City