Sheikh Jassim Sebenarnya Gagal Beri Jaminan Kewangan Dan Sumber Dana Beli Man Utd

Sheikh Jassim bin Hamad al-Thani dilaporkan gagal mendapatkan pemilikan Manchester United daripada keluarga Glazer kerana kegagalan jutawan Qatar itu membuktikan dirinya mempunyai aliran tunai dan kemampuan kewangan yang mencukupi untuk berbuat demikian.

Menurut laporan melalui dokumen yang diserahkan kepada Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (SEC), Sheikh Jassim enggan memberikan maklum balas kepada pihak kelab mengenai sumber kewangannya ketika dipinta untuk berbuat demikian.

Pada ketika itu kem United meminta Sheikh Jassim menghantar ‘lampiran komitmen kewangan’, namun bidaan tambahan daripada Qatar itu tidak disertai dokumen yang dipinta.

Dan pada ketika pihak kelab mendesak dan memberikan peluang terakhir untuk Sheikh Jassim berbuat demikian, Sheikh Jassim kemudiannya mengumumkan dirinya menarik diri daripada melakukan bidaan.

Malah keluarga Glazer pada ketika itu dilaporkan sudah pun bersetuju menawarkan pemilikan kelab pada nilai £4.55 billion (tidak termasuk hutang) seperti yang dipinta tetapi Sheikh Jassim seolah-olah mengelak mengenai sumber dana.

Ini menyebabkan United tidak mempunyai pilihan lain selain memberikan pemilikan minoriti kepada Sir Jim Ratcliffe berbentuk 25% pemilikan kelab pada Disember lalu.

Berbeza dengan Sheikh Jassim, Ratcliffe berjaya menghantar semua dokumen dan jaminan yang diperlukan sehari sebelum tarikh tutup bidaan akhir pada 24 Disember lalu. Bidaan daripada pengasas Ineos itu adalah sekitar $1.64 billion (£1.3bn).

Amalan menghantar dokumen jaminan kewangan adalah perkara normal di dalam apa bentuk jual beli pemilikan. Ini adalah untuk mengelakkan penipuan (scam) selain sumber kewangan untuk tujuan pembelian yang tidak datang daripada sumber sahih.

Pendedahan terbaru bagaimanapun mengatakan keluarga Glazer berhak menjual United kepada pihak ketiga yang akan menjadi pemegang saham majoriti baharu, 18 bulan selepas Ratcliffe memuktamadkan pemilikan pada Februari akan datang.

Situasi ini turut akan memaksa Ratcliffe menjual semua pemilikannya di dalam kelab dan meninggalkan kelab itu sekiranya ianya berlaku – untuk memberi pemilikan 100% kepada pemilik baharu.

Pemilikan 25% saham United kepada Ratcliffe bagaimanapun dijangka akan dimuktamadkan pada 13 Februari akan datang.

BACA:  Ratcliffe Percaya Mampu Yakinkan Southgate Ganti Ten Hag