Impian Ratcliffe Jadikan Old Trafford ‘Wembley Baharu’ Dengan Dana Kerajaan Hampir Mustahil

Sir Jim Ratcliffe mengimpikan Old Trafford menjadi ‘Wembley baharu’ yang terletak di utara England. Impian tersebut bagaimanapun bergantung harap kepada dana awam untuk direalisasikan.

Pengasas INEOS berusia 71 tahun itu dianggap terburu-buru dalam melaksanakan perancangannya sejak mencapai persetujuan mengambil alih 25% saham kelab yang disokong sepanjang hayatnya itu.

Tatkala mengubah nasib Manchester United di atas padang masih menjadi keutamaan utama, penyokong turut mendesak agar pembaharuan turut dilakukan terhadap Old Trafford yang dianggap usang.

Ratcliffe dan pasukannya sudah bertemu Datuk Bandar Manchester Andy Burnham beberapa kali untuk tujuan perbincangan dalam usaha memperbaharui Old Trafford menjadi arena ikonik dan penggerak ekonomi setanding Wembley yang memiliki 90,000 tempat duduk.

Usaha menggunakan dana yang disalurkan terus daripada kerajaan bagaimanapun tampak mustahil. Apatah lagi ia melibatkan wang diraih daripada cukai yang dibayar rakyat dan disalurkan kepada kelab Premier League.

Meskipun demikian bantuan berupa pengecualian cukai dan pengenduran peraturan-peraturan lain masih boleh dipertimbangkan dengan potensi venue baharu meliputi kawasan pembinaan baharu yang lebih luas meliputi perlabuhan Manchester sehingga ke Old Trafford.

“Jim sudah tidak sabar. Dia sudah berusia 71 tahun dan mahu melaksanakan semuanya segera. Ini adalah peluang terbaiknya meninggalkan legasinya,” kata sumber kepada Daily Mail.

Sehingga kini belum ada kata putus sama ada Old Trafford akan dinaiktaraf atau pembinaan stadium baharu sebagai alternatif untuk membawa Manchester United terus ke hadapan.

Terdapat perdebatan naik taraf Old Trafford yang mula beroperasi sejak 1910 hanyalah perancangan jangka masa pendek. Meluaskan dan menambah kapasiti tempat duduk yang kini memuatkan 74,000 penonton akan menelan belanja sehingga £800 juta.

Pembinaan sebuah stadium baharu pula hanya akan menelan kos sekitar £1bn – £2bn.

INEOS selama ini dikenali sebagai sebuah firma yang berpengalaman dalam mencari dana untuk projek infratsruktur baharu, dan kini sedang dalam proses menyiapkan bangunan dan kilang baharu bernilai £5bn di Antwerp, Belgium.

Menjana kewangan untuk Old Trafford bagaimanapun satu perkara lain kerana ia juga bermakna INEOS perlu melakukan pinjaman baharu yang tidak termasuk hutang lama Glazer, dan perlu ditanggung oleh firma itu sendiri.

INEOS tidak dilihat mempunyai masalah untuk mencari tapak pembinaan stadium baharu menggantikan Old Trafford. Ini kerana mereka boleh membina stadium tersebut di tapak bersebelahan di belakang Stretford End.

Ini bermakna Manchester United tidak perlu meninggalkan tapak lama penuh bersejarah di mana tercatatnya jatuh bangun kelab itu selama ini.

Suntikan dana terus daripada kerajaan dianggap mustahil kerana projek itu tidak memberikan faedah secara langsung kepada komuniti.

Berbeza dengan Stadium Etihad yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan kerana penganjuran Sukan Komanwel pada 2002, Old Trafford tidak terlibat dalam sebarang penganjuran antarabangsa yang mewakili England – termasuk penganjuran Euro 2028 yang akan datang.

BACA:  Bagaimana Alisson Kongsi Tips Untuk Motivasikan Pemain MU Selepas Tewas 7-0