Shevchenko Anggap England Langsung Tak Menakutkan

Pengurus Ukraine, Andriy Shevchenko tidak sabar untuk bertemu England di peringkat suku akhir saingan Euro 2020, dan turut menegaskan yang skuad kendalian Gareth Southgate itu sama sekali tidak menakutkan mereka.

England mara ke pusingan suku akhir selepas menundukkan Jerman di pusingan 16 terbaik sebelum ini, sementara Ukraine pula mara selepas mereka berjaya menewaskan Sweden.

Kedua-dua pasukan dijadualkan akan bertemu di peringkat suku akhir nanti dan pertembungan mereka akan dilangsungkan di Rome.

Southgate berjaya membawa anak-anak buahnya membalas dendam terhadap Jerman dengan kemenangan selesa 2-0 di Wembley.

Pada hari yang sama juga, Ukraine berjaya menewaskan Sweden dalam satu perlawanan yang cukup dramatik dan sengit.

The Three Lions dan The Blues and Yellow akan bertembung di Stadio Olimpico, dengan pengurus Ukraine yang juga merupakan bekas bintang Chelsea, Shevchenko telah mendesak anak-anak buahnya supaya mengelak dari memikirkan soal kekalahan.

Legenda AC Milan itu turut memuji Southgate dan skuad England sebelum beliau membuat dakwaan yang kekuatan The Three Lions tidak akan menggentarkan mereka.

Bercakap dalam satu sesi sidang media, beliau menjelaskan bahawa:

“England merupakan pasukan yang hebat, mereka ada barisan pertahanan yang bagus, pengurus yang luar biasa dan kami sentiasa bersedia dengan kebarang kalian bertapa sukarnya perlawanan itu nanti.”

“Saya tonton kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan mereka, tapi bukan kemenangan bertemu Jerman kerana kami hari yang sama turut sedang persiapkan diri untuk bertemu Sweden.”

“Mereka sebenarnya sangat sukar untuk dibolosi, tapi kekuatan mereka itu langsung tak menggerunkan kami.”

Shevchenko kemudian menambah lagi:

“Ia sebenarnya lebih memotivasikan kami kerana semuanya tak mustahil dalam bola sepak, sama seperti dalam kehidupan, kami akan bermain dengan sepenuh hati untuk beri para peminat kami lebih kegembiraan.”

Bintang Manchester City, Oleksandr Zinchenko berjaya menjaringkan gol pembukaan Ukraine dan turut mencatatkan assists untuk skuadnya ketika kemenangan 2-1 menewaskan Sweden di Hampden Park.

Beliau akan bertemu dengan rakan sepasukannya di peringkat kelab, Raheem Sterling yang ketika ini merupakan peledak gol utama untuk skuad England dalam saingan Euro 2020.

Tentang Sterling, Zinchenko telah menyatakan bahawa:

“Sterling merupakan salah seorang pemain sayap terhebat di dunia dan ketika ini dia adalah nadi penting untuk skuad England.”

“Kami akan cuba untuk dapatkan rentak persembahan terbaik kami di bahagian pertahanan untuk menghalang dia, tapi saya faham itu tugas yang berat kerana dia sedang dalam rentak persembahan terbaiknya.”

Tiga perlawanan awal peringkat kumpulan, England berjaya menjaringkan dua gol dan sama sekali tidak dibolosi.

Mereka kemudiannya berjaya menjaringkan dua lagi gol ketika bertemu Jerman di pusingan 16 terbaik dan masih kekal cemerlang memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Ukraine pula berjaya menjaringkan empat gol dan bolos lima gol ketika aksi peringkat kumpulan sebelum mencatatkan kemenangan 2-1 bertemu Sweden di pusingan 16 terbaik.

Mengikut statistik, England jelas mempunyai kelebihan untuk mengatasi Ukraine, namun skuad kendalian Andriy Shevchenko itu juga sebenarnya antara pasukan paling liat untuk dikalahkan.

Selepas tersingkirnya pasukan pilihan seperti Portugal, Netherlands, Perancis dan Jerman, England merupakan antara pasukan kegemaran untuk memenangi saingan Euro 2020 ini disamping Itali, Sepanyol dan Belgium.

Namun satu hal yang pasti, pasukan underdog juga sering dan kerap melakukan kejutan dalam kejohanan pada musim panas ini dan segalanya boleh berlaku.

Pertembungan antara England dan Ukraine ini tentu menarik untuk disaksikan dengan The Three Lions akan berusaha sehabis daya untuk membawa pulang Piala Eropah yang sangat mereka idamkan itu, manakala The Blue and Yellow pula akan lakukan apa saja untuk buktikan mereka bukan pasukan biasa-biasa.

Sumber: SB

BACA:  Bukan Sahaja Messi, Shevchenko Pun Masih Simpan Hati Kalah Kepada Liverpool Pada 2005