SPRM Buru Bekas CEO MU

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mereka sedang mencari seorang lelaki berusia 47 tahun yang memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif untuk membantu siasatan badan itu.

Suruhanjaya tersebut menyatakan lelaki tersebut dikenali sebagai Datuk Justin Lim Hwa Tat, dengan alamat terakhir di No. 54, Jalan SS 22/27 Damansara Jaya, 47400 Petaling Jaya, Selangor diperlukan untuk hadir ke pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya bagi membantu siasatan berkaitan tiga transaksi kewangan meragukan di sebuah syarikat.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berkaitan dokumen yang mengandungi butiran palsu.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat, Freddick Makiun di talian 03-88700480 atau 014-8595925 atau emel kepada [email protected],” kata kenyataan daripada suruhanjaya tersebut pada Rabu.

Justim Lim bukanlah nama asing di kalangan pengikut bola sepak tempatan. Ini kerana Justin sebelum ini pernah bergelar CEO dan pemilik Melaka United.

Kelab itu bagaimanapun telah dibubar pada musim lalu setelah gagal mendapatkan lesen pertandingan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana gagal melangsaikan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Justin kemudiannya menawarkan kelab itu untuk dijual kepada mana-mana pihak berminat, namun sehingga kini perkara itu tidak dapat diselesaikan.

Pendedahan oleh Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini berkata tunggakan gaji pemain tempatan pasukan Melaka United mencecah angka RM2.3 juta selepas kelab itu gagal menjelaskan gaji selama tempoh enam bulan iaitu dari Julai hingga Disember tahun lalu.

Tidak dapat dipastikan sama ada siasatan ini mempunyai perkaitan dengan Melaka United.

BACA:  Piala Malaysia 2021 Separuh Akhir Kedua : Melaka United 1-1 Kuala Lumpur (Agg. 2-2, Pen. 5-3)