Voli Padu, Rai Gol Dalam Tong Sampah, Dipijak Pemain Lawan : Warna-Warni Amri Yahyah Menentang Melaka

Sabah Football Club merapatkan jurang kepada satu mata dengan pendahulu Liga Super, JDT, selepas menewaskan pasukan Melaka United dua gol berbalas satu di Kota Kinabalu, hasil dua gol jaringan Amri Yahyah.

Untuk perlawanan ini, Datuk Ong Kim Swee menggunakan formasi 3-4-3, dengan Khairul Fahmi Che Mat mengekalkan kedudukannya selaku penjaga gol.

Dominic Tan, Park Tae-Su dan Rawilson Batuil berganding membentuk tiga pertahanan tengah, sambil dibantu oleh Gerald Gadit, Alto Linus, Gary Steven Robat dan Stuart Wilkin di bahagian tengah padang.

Trio Nazirul Naim, Jose Embalo dan Taiki Kagayama menggalas tanggungjawab selaku trio penyerang yang ditugaskan untuk merobek gol Melaka United.

Pasukan pelawat pula turun dengan formasi yang dilihat agak bertahan, 4-1-4-1 di mana jurulatih Asri Ninggal menurunkan Ahmad Asyraaf Omar selaku penjaga gol.

Fadhli Shas dan Ahmad Haziq Puad ditugaskan sebagai benteng tengah pasukan, sambil diapit oleh Wan Amirul Afiq dan Syazwan Andik.

Hasbullah Abu Bakar pula diletakkan selaku pemain tengah bertahan, demi memberikan kebebasan kepada Sony Norde, Justin Baas, Adriano dan Emmanuel Oti membantu Ifedayo Omosuyi melakukan serangan ke atas kubu pasukan lawan.

Bermain di atas padang yang bertakung air, kedua-dua pasukan dilihat sukar melakukan gerakan-gerakan bermakna di mana para pemain kerap kali terjatuh bagaikan bermain bola sepak memakai kasut futsal.

Pada minit keenam, pemain yang pernah berlatih di Borussia Dortmund, melakukan satu rembatan padu dari luar kotak penalti Melaka, tapi sayang rembatannya hanya beberapa milimeter (1247 milimeter lebih tepatnya) tersasar dari pintu gol lawan.

Enam minit kemudian, Hasbullah Abu Bakar tersilap anggaran dalam menahan bola di atas air, menyebabkan bola terlucut ke belakang dan dirampas oleh Stuart Wilkin yang kemudiannya melakukan satu rembatan kencang dan tepat menerusi kaki kirinya ke arah gol Melaka.

Mujur Ahmad Asyraaf sentiasa bersedia bila mana dia berjaya menepis bola yang deras tersebut keluar lantas menyelamatkan golnya daripada dibolosi di awal permainan.

Sabah secara berterusan melancarkan serangan dan pada minit ke-17, Kagayama berjaya memperdaya Syazwan Andik lalu melepaskan rembatan di dalam kotak penalti.

Akan tetapi mujurlah rembatan tersebut berjaya dihadang oleh Fadhli Shas yang melakukan sliding tackle di atas padang yang licin.

Dalam keghairahan Sabah melakukan serangan, sekali sekala dapat Melaka mengancam gol mereka.

Pada minit ke-21, Ifedayo melonjak melakukan tandukan hasil hantaran dari sebelah kanan namun tandukannya diselamatkan di atas garisan oleh pertahanan Sabah.

Dua minit kemudian, Ifedayo berjaya juga menjaringkan gol pendahuluan apabila rembatahn Oti ditepis oleh Khairul Fahmi, namun bola muntah kepada bekas penyerang Selangor ini dan dengan mudah dia menyepak leret bola ke dalam gol.

Pada separuh masa kedua, penyerang legenda negara, Amri Yahyah dimasukkan oleh Ong Kim Swee bagi mencari gol penyamaan. Hasilnya, pada minit ke-65, hasil hantaran daripada Alto Linus ke dalam kotak penalti, Amri melakukan larian dari luar dengan selamba melakukan satu voli padu yang tepat ke dalam gol pasukan Melaka.

Nasib baik tak koyak jaring gol itu.

Ketika perlawanan hampir tamat dengan keputusan seri, kelibat Amri sekali lagi menghantui Melaka. Pada minit ke-91, Sabah melakukan satu serangan balas yang pantas apabila Irfan Fazail melakukan hantaran tepat ke sebelah kanan padang dan disambut Farhan Roslan yang kemudiannya membawa bola masuk ke dalam kotak penalti.

Amri Yahyah membuktikan bahawa dia adalah penyerang yang bijak apabila berjaya meloloskan diri ke ruang kosong tanpa dikawal untuk menerima bola daripada Farhan Roslan, lalu melepaskan rembatan ke dalam gol menewaskan Ahmad Asyraaf buat kali kedua.

Gilanya insan yang bernama Amri ni, apabila dia meraikan gol tersebut di dalam tong sampah di tepi padang.

Melaka cuba bangkit mencari gol penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan, tetapi pemain Sabah bertahan dengan begitu berdisiplin.

Pada minit ke-93, satu insiden kekasaran yang membawa kepada kad merah telah berlaku.

Amri menerima bola ditepi padang, dan cuba melakukan shielding daripada dirampas pemain Melaka, Haziq Puad, yang selepas itu melakukan kesilapan dengan menolak Amri sehingga terjatuh.

Mungkin sakit hati, Haziq bertindak memijak belakang Amri lalu berjalan dengan muka tidak bersalah. Pengadil perlawanan tanpa segan silu terus melayangkan kad merah kepada Haziq.

Selang dua minit kemudian, giliran pemain Sabah, Rawilson Batuil pula dilayangkan kad merah apabila dia melakukan satu terjahan kasar kepada Syukri.

Tidak lama kemudian,pengadil meniup wisel penamat sekaligus membawa kepada malam yang diwarnai oleh seorang pemain berbisa yang dikenali sebagai Amri Yahyah.

BACA:  Piala Malaysia 2021 Separuh Akhir Kedua : Melaka United 1-1 Kuala Lumpur (Agg. 2-2, Pen. 5-3)