JDT Menang Tipis Ke Atas Sabah Dalam Perlawanan Penuh Kontroversi

sabah jdt

Saingan Piala Malaysia sudah pun memasuki peringkat separuh akhir dan perlawanan separuh akhir pertama menemukan Sabah dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Sabah melayan kunjungan JDT untuk separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Likas.

Perlawanan ini berpihak kepada JDT dengan tipis 1-0 namun perlawanan ini dipenuhi dengan drama dan kontroversi terutamanya dari pengadil perlawanan.

Pada minit ketiga, JDT sudah menguji kubu tuan rumah melalui percubaan dari mesin gol mereka, Bergson da Silva dari jarak jauh.

Memasuki 15 minit permainan Arif Aiman pula datang mencuba dengan satu larian dari sebelah kanan namun rembatannya ditepis penjaga gol Sabah.

Sabah memperoleh peluang terbaik mereka dua minit kemudian melalui Park Tae Su yang berpunca dari sepakan percuma.

Park Tae Su tanpa dikawal berjaya melakukan satu sundulan namun telah dinafikan oleh palang.

Bola hanya meleleh dihadapan gol tanpa siapa menyambar sebelum pemain Sabah mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Serangan JDT banyak datang dari sebelah kanan dan Bergson da Silva sekali lagi mencuba sekali lagi bola ditepis keluar Damien Lim.

Arif Aiman akhirnya berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-34 dengan satu larian solo dari kanan masuk ke tengah.

Tiga pemain Sabah berjaya dilepasi Arif Aiman sebelum rembatan dilepaskan dan Damien Lim hanya mampu melihat sahaja.

Pada minit ke-37, sekali lagi Sabah mendapat peluang tetapi rembatan Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli tersasar dan tidak cukup padu.

Pada minit ke-42 kontroversi tercetus antara penjaga gol Sabah, Damien Lim dan juga pemain muda sensasi masa kini Arif Aiman.

Ketika mengejar bola hantaran Matthew Davies, Damien Lim meluru keluar untuk membuat tangkapan dan Arif Aiman telah menyentuh badan Damien Lim dengan kaki.

Arif Aiman segera mengangkat tangan tanda maaf dan tidak sengaja terpijak namun tiada maaf bagi Damien Lim yang terus menolak Arif Aiman sehingga jatuh.

Perkara yang patut dipuji adalah Arif Aiman langsung tidak melawan walaupun diperlakukan sedemikian rupa dan paling ajaib penjaga gol Sabah itu hanya dilayangkan kad kuning.

Mengikut pengalaman sebagai penonton bola sepak, sepatutnya Damien Lim dikenakan kad merah dan itu sepertinya satu Violent conduct.

Namun keputusan pengadil adalah muktamad, ku terima semua ini, sudah kehendak takdir Ilahi..

Pada penghujung babak pertama, permainan berterusan dengan drama penuh kepanasan apabila Sadil Ramdani melakukan terjahan keras ke atas Fernando Forestieri.

Situasi berjaya dikawal pengadil.

Di separuh masa kedua, pemain veteran, Amri Yahyah masuk menggantikan Badrol Bakhtiar untuk memperkasakan jentera tenaga.

Permainan terus dikuasai oleh JDT dan pada minit ke-53 aksi panas disajikan. Feroz Baharudin telah melakukan satu terjahan lambat ke atas Amri Yahyah.

Amri Yahyah terus naik hantu dan menyerang Feroz Baharudin tetapi segala serangan itu berjaya ditepis dan Feroz menjatuhkan Amri untuk menenangkan keadaan.

Pengadil tidak mengenakan sebarang hukuman ke atas Amri, pelik jugak la.

Pada minit ke-55 JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas Bergson da Silva dijatuhkan oleh Rawilson Batuil walaupun Bergson terlebih awal dilihat berada dalam posisi offside.

Ketika bantahan terus dilakukan pemain Sabah, Amri yang sememangnya panjang akal telah mengambil kesempatan untuk merosakkan tempat sepakan penalti.

Amri menenyeh-nenyeh sehingga lunyai penalti spot, Bergson membantah dan Amri dilayangkan kad kuning yang membuatkan Amri membantah keras keputusan pengadil.

Amri sempat berceramah kepada pengadil menunjuk sana sini mungkin mempertikaikan keputusan pengadil yang sepatutnya boleh dilayangkan kad kuning kedua.

Damien Lim berjaya membuat bacaan tepat dengan layangan badan ke sebelah kanan dan menyelamatkan sepakan deras Bergson da Silva.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan untuk JDT membawa kelebihan satu gol untuk perlawanan separuh akhir kedua.

Pada minit ke-73, Feroz Baharudin mengutip kad kuning kedua selepas melakukan satu terjahan bersih ke atas Sadil Ramdani.

Pengulas perlawanan tidak faham kenapa Feroz dikenakan kad merah yang berjaya mengeluarkan bola dengan adil.

11 kad kuning dan 1 kad merah dilayangkan pengadil dalam perlawanan ini, 6 kad kuning untuk Sabah dan 5 untuk JDT termasuk kad merah.

Terengganu dan Selangor akan turun untuk satu lagi perlawanan separuh akhir.

BACA:  Final Piala Malaysia 2022: JDT 2-1 Selangor