Corbin Ong Dahului Undian Bek Kiri Terbaik AFC Champions League 2022/23

Bek sayap JDT, Corbin Ong kini mendahului senarai undian sebagai bek kiri terbaik yang beraksi di AFC Champions League (ACL) musim 2022/23.

Corbin, kini berusia 32 tahun merupakan tunjang utama skuad Harimau Selatan untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik di pertandingan tersebut pada musim lalu.

Dianggap sebagai pertandingan elit kelab-kelab Asia, Corbin beraksi enam daripada tujuh perlawanan yang diharungi JDT pada musim lalu.

Ia tidak menghairankan bagaimana Corbin boleh dicalonkan oleh AFC untuk Anugerah Bek Kiri Terbaik ACL 2022/23.

Ini kerana daripada enam penampilan tersebut, Corbin merupakan bek kiri dengan assist terbanyak iaitu sebanyak tiga kali.

Malah Corbin juga adalah pencipta assist kelima tertinggi sepanjang saingan ACL pada musim lalu.

Rekod tersebut seharusnya dianggap membanggakan kerana Corbin sebenarnya adalah seorang pemain pertahanan.

Statistik daripada AFC turut mendedahkan Corbin memenangi 30 perebutan bola (duels) dan turut melakukan 30 recoveries untuk JDT di pertandingan tersebut.

Tiga lagi pemain yang turut berada di dalam senarai pencalonan adalah bek kiri Jeonbuk Hyundai Motors, Kim Jun-su, Mohammed Al-Burayk (Al-Hilal), dan Dhurgham Ismail (Air Force Club).

Setakat 4:15 petang tadi, semakan kami mendapati Corbin kini sedang mendahului senarai pencalonan dengan 73% undian,

Pencalonan ini turut bermakna Corbin menjadi pemain Malaysia pertama dicalonkan untuk anugerah tersebut sekali gus disenaraikan untuk Best XI ACL 2022/2023 sekiranya memenangi proses undian ini.

Bagi anda yang ingin melakukan undian, anda boleh berbuat demikian di pautan ini: UndiCorbinACL2022/23.  Undian akan tamat pada 23 Mei hadapan.

BACA:  Final Piala Malaysia 2022: JDT 2-1 Selangor